Majlis Jamuan Raya Mahasiswa UTM 2010

TARIKH : 30 SEPTEMBER 2010 (KHAMIS)

MASA: JAM 2.00 PETANG.

TEMPAT: Dewan Sultan Iskandar, UTM.

Ayuh kita sama-sama meriahkannya!

Student Power!

Nurul Izzah: Tukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa

Kuala Lumpur, 28 Sept: Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mempersoalkan kenapa pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa universiti tidak ditukarkan kepada biasiswa penuh, sebagai memenuhi semangat Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas cabaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang dilaporkan menolak jemputan debatnya berhubung kedudukan istimewa orang Melayu, Nurul Izzah berkata, NGO itu tentu setuju sekiranya pendapatan Petronas disalurkan kepada dana pendidikan untuk tujuan itu.

"Perkara ini tidak mustahil kalau akaun Petronas didedahkan kepada umum melalui Parlimen. Usaha melaksanakan tadbir urus yang cekap ini semestinya selaras dengan perjuangan mempertahankan hak-hak orang Melayu," katanya.

Menulis dalam blognya, anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memperli PERKASA dengan berkata, tindakan itu lebih bermanfaat daripada laungan meminta orang Melayu mendapat lebih banyak biasiswa daripada kaum lain.

"Dalam bahasa mudah, apa gunanya orang Melayu mendapat tujuh biasiswa, dan kumpulan lain mendapat tiga tempat sahaja. Apa yang saya perjuangkan ialah banyakkan biasiswa kepada 100 tempat (contohnya) sudah pasti ramai orang Melayu mendapat manfaat," jelasnya.

Beliau juga menimbulkan kembali tentang kuota universiti yang diubah pada zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri supaya lebih bersemangat meritokrasi.

"Bukankah ini mencabuli hak keistimewaan orang Melayu, kalau mengikut apa yang telah dilaung-laungkan PERKASA?" katanya mempersoalkan tindakan penasihat PERKASA itu.

Dalam tulisan bagi menjelaskan kegusarannya tentang perjuangan PERKASA dan kedudukan istimewa orang Melayu itu, Nurul Izzah mengambil peluang membela dirinya setelah digelar "pengkhianat", "tidak matang" dan "buta sejarah" dalam isu peruntukan kedudukan istimewa Melayu.

'Saya hanya mahu bincang pelaksanaan'

"Saya sudah jelaskan, bukan niat untuk meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan orang Melayu, tetapi sekadar mencari penjelasan tentang apa yang dilaung-laungkan oleh PERKASA tentang perjuangan mereka untuk melindungi orang Melayu.

"Apa saya hujahkan dalam tulisan sebelum ini, bukan mempersoal kedudukan istimewa orang Melayu, tetapi pelaksanaan dasar-dasar yang hanya menguntungkan segelintir orang Melayu dipersoalkan," kata puteri sulung ketua pembangkang itu.

"Sayangnya, jemputan saya itu ditolak mentah-mentah oleh pimpinan PERKASA dengan alasan soal kedudukan orang Melayu tidak boleh didebatkan, sedangkan yang saya mahu bincang hanyalah pelaksanaan dasar-dasar yang dikatakan dibuat atas peruntukan perlembagaan," kata Nurul Izzah.

Dalam tulisan itu juga, Nurul Izzah turut membangkitkan beberapa perkara, antaranya:

(1) Bagaimana dasar kuota dalam perkhidmatan awam selaras dengan keperluan untuk menunjukkan kepelbagaian dalam sektor awam?

(2) Adakah ini liberalisasi 27 sub-sektor ekonomi bertentangan dengan perlembagaan dan memberi kesan kepada "hak Melayu"?

(3) Kenapa soal perlembagaan tidak dibangkitkan ketika Dr Mahathir pada tahun 2003 memperkenalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingggeris (PPSMI), yang kini sudah dihapuskan?

(4) Adakah memperuntukkan pegangan minimum 30 peratus ekuiti bumiputrea akan mengayakan seluruh orang Melayu dan nenaikkan taraf hidup orang Melayu; sekali gus menyelesaikan masalah kemiskinan bandar?

Sumber: Malaysiakini

Nota:

Pro-Mahasiswa UTM menyokong penuh tindakan Pantai Nurul Izzah atas usahanya membela kebajikan mahasiswa dengan mencadangkan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dtukarkan kepada biasiswa.

Tindakan dan usaha perbincangan dengan golongan yang selalu mempersoalkan "hak melayu" harus diadakan dan diperhalusi supaya kita tidak keliru dengan momokan dan salah tafsir daripada sesetengah pihak da Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan dijamin dengan dengan benarnya bukan dengan keuntungan sesetengah pihak.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang terkenal dengan hak melayu masih gagal memanfaatkan perjuangan mereka untuk kebajikan mahasiswa serta tidak membela "hak sebenar" telah melambangkan agenda sebenar mereka.

Student Power! -Admin

Saman pemula empat pelajar UKM cabar AUKU ditolak

Kuala Lumpur, 28 Sept: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman pemula dikemukakan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mencabar tindakan tatatertib UKM ke atas mereka yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.

Keempat-empat mereka mencabar tindakan universiti itu yang mendakwa mereka bawah Akta Universiti dan Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dengan menghalang mereka daripada terlibat dalam aktiviti politik.

Hakim Aziah Ali yang menyampaikan keputusan itu di kamar berkata Seksyen 15 akta itu - yang mana tindakan dikenakan berdasarkannya - tidak melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga membatalkan perintah injuksi sebelum itu yang menghalang UKM daripada mengambil tindakan terhadap mahasiswa terbabit.

Bagaimanapun, hakim membenarkan peguam Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah - yang bertindak bagi keempat-empat mahasiswa itu - membenarkan injuksi Erinford bagi menangguhkan keputusan itu supaya dikemukakan rayuan.

Hakim Aziah juga menolak dengan kos permohonan injunksi oleh pelajar berkenaan untuk menyekat UKM daripada mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka.

Dalam penghakiman setebal 23 muka surat, Aziah berkata larangan yang terkandung dalam Seksyen 15(5)(a) itu bertujuan mencegah kekacauan yang berpotensi berlaku di universiti, yang juga boleh disifatkan sebagai mengganggu ketenteraman awam.

Aziah berkata beliau bersetuju dengan peguam yang mewakili UKM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bahawa larangan yang dikenakan itu adalah penting atau wajar untuk memelihara disiplin pelajar, yang merupakan sebahagian daripada akhlak orang ramai dan yang wajib dipatuhi oleh pelajar.

"Lagipun, larangan itu bukan sesuatu yang mutlak kerana Seksyen 15(4) membenarkan naib canselor memberi pengecualian kepada seseorang pelajar yang memenuhi syarat dan keadaan yang beliau fikirkan wajar, jika ada permohonan," kata Azizah.

Beliau juga bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha Abu Bakar bahawa semua hal berkaitan disiplin dan tingkah laku pelajar terletak di bawah bidang kuasa universiti tempat mereka belajar dan tidak pernah wujud sebarang tindakan bersifat menindas terhadap mana-mana pelajar. Ashok kemudian memberitahu pemberita, pendengaran penuh injuksi itu akan dilakukan pada 7 Oktober.

Semua siswa - Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha, dan Wong King Chai - ditahan polis pada 22 April lalu di pekan Rasa dan Ampang Pecah dan didakwa menyokong parti politik semasa pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Mereka didakwa di mahkamah UKM kerana melakukan kesalahan menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) AUKU.

Bagaimanapun, keempat-empat mereka menafikan tuduhan itu dan mendakwa berada di Hulu Selangor bagi tujuan kajian penyelidikan akademik.

Sementara itu, lebih 50 mahasiswa berkumpul di perkarangan mahkamah bagi memberi sokongan moral kepada mereka.


Bercakap kepada pemberita, selepas itu, peguam Haris Mohd Ibrahim, yang mewakili pelajar berkenaan, berkata Aziah meluluskan permohonan secara lisan mereka untuk mendapatkan perintah sementara yang menghalang UKM daripada mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka sementara menunggu keputusan rayuan mereka berhubung keputusan mahkamah tersebut hari ini.

Aziah menetapkan 7 Okt sebagai tarikh mendengar permohonan rasmi tentang penangguhan itu.

Sumber: Malaysiakini

ESOK: Himpunan Sempena bersama UKM4

Skudai, 27 Sept:
Nota:

Pro-Mahasiswa UTM menyeru supaya mahasiswa turun hadir menyertai himpunan bersama empat orang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia yang dikenakan tindakan tatatertib di bawah Akta Universti dan Kolej Universiti (AUKU) pada esok hari.

Justeru, sebelum mahasiswa sekalian hadir ke perhimpunan tersebut bagi mengkaji fakta yang berkaitan dengan kes tersebut di web LoyarBuruk.com . Pada link ini mahasiswa dapat mengetahui dengan fakta-fakta dan auta-auta yang berkaitan kes tersebut.

Kursus Perubatan, lapangannya di hospital dan klinik. Kursus Kejuruteraan, lapangannya di pelantar, pencawang, kilang dan sebagainya. Kursus Undang-undang, lapangannya di mahkamah. Kursus Pendidikan lapangannya di sekolah dan kolej-kolej. Kursus Sains Politik ke mana lapangan mereka? Salahkah mereka ke medan pilihanraya? Salah mereka belajar?

Salam Juang - Admin.

Himpunan Sempena Perbicaraan UKM4

Himpunan Sempena Perbicaraan UKM4

Salam perjuangan buat seluruh anak muda & warga Malaysia sekalian...

Serasanya masih 'panas' lagi semangat, kegembiraan & inspirasi kemenangan yang diraih oleh 5 orang anak muda & mahasiswa Malaysia dalam perbicaraan kes "Bini Puaka" beberapa hari yang lepas.

Ianya secara hakikatnya telah memberikan satu simbol signifikan untuk kebangkitan gerakan mahasiswa & anak muda Malaysia di kancah sosial & politik. Ianya juga telah dilihat mampu untuk menggerakkan minda massa lainnya bahawa kerja-kerja kotor untuk menghalang kebangkitan kesedaran masyarakat tidak akan mampu bertapak sekalipun ianya didokong & dicatur tangan-tangan ghaib yang menguasai seluruh sistem di negara ini.

Justeru, sebagai satu usaha untuk melestarikan (continous) kebangkitan kesedaran terhadap perubahan khususnya di kalangan anak muda, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan mengadakan himpunan sempena bacaan keputusan perbicaraan 4 orang mahasiswa Sains Politik UKM yang telah bertindak untuk mencabar pertuduhan kes mereka di kampus. Untuk makluman semua, pertuduhan yang telah dikenakan ke atas mereka telah dibuat di bawah peruntukan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) selepas pindaan 2009.

Ianya juga secara tidak langsung merupakan perjuangan yang digerakkan mereka untuk mencabar keabsahan (validity) AUKU yang telah maklum oleh semua, terlalu banyak melanggar hak-hak mahasiswa sebagai warganegara Malaysia, khususnya dalam bab kebebasan berpolitik.

Oleh yang demikian SMM telah mengambil pendirian untuk menyokong perjuangan 4 orang mahasiswa ini & bersetuju untuk menganjurkan himpunan besar-besaran pada 28hb September ini, tepat jam 2 petang, sebagai satu usaha menunjukkan kesatuan kita atas nama penuntutan hak yang telah terkandung dalam perlembagaan.

Akhirnya, SMM mengharapkan agar seluruh mahasiswa, anak muda & segenap warga Malaysia agar dapat sama-sama turun ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta KUala Lumpur pada 28hb September ini untuk sama-sama kita dengar keputusan kes & pada masa yang sama menyatakan sokongan untuk menolak penganiayaan yang telah dikenakan ke atas 4 orang mahasiswa UKM ini.


"Independen, Intelektual, Integriti, Responsif, Progresif"

Shazni Munir Mohd Ithnin
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia

Sumber: Blog Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Sambutan Graduasi Aktivis Mahasiswa Disambut Meriah

Skudai, 26 Sept: Hujan selepas majlis tidak menghalang para aktivis mahasiswa yang bergraduasi utuk disambut oleh rakan-rakan aktivis yang lain. Semalam, aktivis mahasiswa yang terdiri daripada Persatuan Mahasiswa Islam UTM dan Pro-Mahsiswa UTM menyambut rakan-rakan mereka yang bergraduasi pada Majlis Monvokesyen Ke-45 Universiti Teknologi Malayisa.

Sambutan dimulakan dengan ucapan daripada Persiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM, Mohd Khairul bin Abdullah Halim. Dalam ucapannya, beliau telah menyampaikan pesanan-pesanan dan juga harapan kepada aktivis Mahasiswa yang baru bergraduasi.

"Terima kasih kepada sahabat-sahabat aktivis terutama sahabat yang bergraduasi hari ni atas jasa dan pengorbanan sahabat daripada sudut tenaga, buah fikiran dan idea untuk PMIUTM yang mana telah mencorakkan PMIUTM sebagai prsatuan mahasiswa yang lebih terkehadapan".

"Ijazah bukan satu noktah kepada perjuangan sahabat. Ribuan terima kasih atas segala tunjuk ajar dan pedoman yang diberikan sahabat2 sekalian. Dapat lagi aktif untuk bersama-sama mahasiswa bagi memeberi tunjuk ajar kepada mereka yang masih belajar." antara pesanan beliau.

Kemudian, acara diteruskan dengan ucapan daripada Naib Presiden (Fakulti) Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM merangkap Pengerusi Pro-Mahasiswa UTM, Saudara Nur Azim Fahada. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada para graduan UTM khususnya para aktivis yang telah bergraduasi.

"Para aktivis yang bergraduasi hari telah membuktikan aktivis mahasiswa mampu bergraduasi dengan jayanya." katanya sebagai motivasi kepada rakan-rakan aktivis mahasiswa yang masih menuntut.

"Dengan kejayaan sahabat-sahabat aktivis telah mendorong kami untuk pergi lebih jauh lagi dalam mendalami ilmu. Perjuangan tidak berhenti di kampus sahaja idealis dan perjuangan harus diteruskan di luar kampus."

Beliau berharap aktivis-aktivis yang telah bergraduasi dapat bergerak kerja dengan lebih agresif diluar.Di samping itu, beliau juga menyarankan kepada aktivis-aktivis supaya memasuki pertubuhan-pertubuhan, NGO-NGO yang terlibat dalam mempejuangkan masyarakat dan agama.

Acara yang terakhir adalah ucapan daripada bekas MPMUTM, Saudara Muhammad Hafiz bin Muhammad. Pada majlis sambutan tersebut, beliau menyatakan terima kasih kepada semua aktivis mahasiswa yang hadir memberi sambutan pada hari ini.

Beliau berkata dengan gerak kerja yang dilakukan aktivis-aktivis mahasiswa dapat memastikan dakwah Islam di bumi UTM berjalan lancar. Beliau juga menasihati supaya akedemik seharusnya dijadikan sebagai prioriti dalam diari hidup sebagai seorang aktivis mahasiswa.

"Amatlah lagi hina, jika tidak bergerak kerja tetapi dalam masa yang sama akademik juga tidak dijadikan sebagai prioriti. Maka, amatlah malu di hadapan Allah Taala". antara peringatan dan juga harapan daripada beliau.

Majlis sambutan tersebut diakhiri dengan acara bergambar beramai-ramai bersama aktivis dan para graduan.

Tahniah Graduan Aktivis Mahasiswa!

Student Power! - Admin

Kes "Rosmah Puaka" : Semua tertuduh dibebaskan


Kuala Lumpur, 24 Sept: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memutuskan tiada prima facie dalam kes Rosmah 'bini puaka' terhadap lima mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Sehubungan itu, Hakim Rozana Ali Yusoff mengarahkan mereka - yang berdepan dengan tuduhan cubaan melakukan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah - dibebaskan.

Rozana membuat keputusan tersebut di Mahkamah Sesyen 2, di Kompleks Jalan Duta Kuala Lumpur.

Lima mahasiswa berkenaan - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya - dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Semua itu, gara-gara mahasiswa berkenaan dikaitkan dengan contengan perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rozana dalam penghakimannya pagi ini berkata dalam pertuduhan seksyen 436 pihak pendakwaraya gagal membuktikan elemen-elemen penting dalam pertuduhan bahawa semua tertuduh telah melakukan khianat dan mempunyai niat bersama.

Katanya lagi, tiada keterangan bagi mengenal pasti bahan api serta kesan kerosakan daripada bahan api berkenaan.

Manakala bagi seksyen 447 pula, pendakwaraya gagal membuktikan niat bersama tertuduh untuk melakukan kesalahan tersebut.

Sementara bagi seksyen 427 pula, Rozana berkata pihak pendakwaraya turut gagal membuktikan bahan api yang digunakan ke atas permaidani merah berkenaan adalah bahan petrol.

"Setelah meneliti dan menimbang semua keterangan daripada saksi pendakwaraya, exibit dan hujah, mahkamah mendapati, di atas penilaian mahkamah, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

"Dengan ini melepaskan tertuduh dan membebaskan terhadap tiga pertuduhan itu tanpa memanggil untuk pembelaan," kata Rozana.

Sumber: Malaysiakini

Nota kaki:

Pro-Mahasiswa UTM mengucapkan syabas kepada lima orang mahasiswa Universiti Malaya atas pembebasan mereka daripada pertuduhan yang tidak lengkap daripada pendakwaraya yang tidak bertanggungjawab.

Sesungguhnya sikap mereka dalam menghadapi tekanan yang mereka alami semasa dalam proses siasatan kes ini menjadi kebanggaan dan inspirasi mahasiswa seluruh negara dan.

Keberanian mereka berlima bersemuka dengan kebenaran harus diteladani dan kejayaan dalam kes ini menunjukkan betapa ada pihak yang tidak bertanggungjawab skeptik terhadap perjuangan mahasiswa yang bebas daripada apa-apa kepentingan.

Syabas & Tahniah!

Student Power! - Admin

Kes "Rosmah Puaka" : Mahasiswa Solat Hajat di Kolej Rahman Putra

Skudai, 23 Sept: Pertukaran tempat solat hajat tidak menghalang Pro-Mahasiswa UTM untuk mengadakan solat hajat bagi memohon kepada Allah S.W.T untuk memberi keadilan bagi perbicaraan Kes "Rosmah Puaka" yang akan dibicarakan di Mahkamah Jalan Duta esok.

Majlis solat hajat yang sepatutnya diadakan di Surau Asy-Syakirin, Kolej Tuanku Canselor terpaksa ditukar tempat kerana berlaku litar pintas di blok bangunan yang menempatkan surau kolej tersebut.

Pihak Pro-M masih belum dapat mengenal pasti punca berlakunya lintas pintas tersebut sama ada belakunya unsur sabotaj daripada pihak-pihak tertentu.

Majlis solat hajat tersebut dimulakan dengan ucapan daripada aktivis Pro-Mahasiswa UTM, saudara Mohd Azami yang menceritakan serba sedikit tentang fakta kes "Rosmah Puaka" tersebut.

Kemudian, solat hajat diadakan dengan dipimpin oleh saudara Mohd Khairul Syam daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.



Ketua Jabatan Kebajkan & Pelestarian Kampus Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, Saudara Ku Abdul Muhyi Ku Abdul Hamid yang ditemui selepas majlis tersebut berkata sebagai mahasiswa, kita berharap agar isu yang dibangkitakan ini dapat diadili dengan sebenarnya oleh Badan Kehakiman.

"Kita tidak mahu atas kepentingan pihak tertentu, sistem kehakiman kita dicalari oleh unsur-unsur yang tidak sepatutnya. Kita mahu keadilan ke atas semua pihak. Kita tidak mahu keadilan kepada pihak yang berkepentingan, manakala pihak tidak berkepentingan tidak diberikan hak yang sebenarnya dan diabaikan" tegas beliau sebagai harapan terhadap integriti badan kehakiman.

Sementara itu seorang mahasiswa yang ditemui, Mohd Ibrahim Khalil Noh berkata agar isu ini dapat diadili dengan sebenarnya dan tidak bersifat berat sebelah seperti kes perlucutan jawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 yang dikatakan pada tersebut Perdana Menteri yang berkuasa mutlak dalam membuat keputusan manakala ketika berlaku kes yang sama di negeri Perak pada tahun 2009, Sultan pula yang dikatakan berkuasa mutlak.

"Justeru, kita mahu perbicaraan kes ini dapat mengembalilahkan integriti Badan Kehakiman Negara yang telah tercalar serta keyakinan rakyat terhadap badan tersebut" harapan beliau.

Pada 29 Jun 2009 yang lalu lima mahasiswa Universiti Malaya telah diheret ke mahkamah atas tuduhan menghina isteri perdana menteri Rosmah Mansur dengan contengan hasutan ketika dalam lawatannya ke Universiti perdana itu.

Bermula dari tarikh berkenaan sehingga ke hari ini kita dapati kes ini masih belum selesai sehinggalah esok, 24 september 2010 kita bakal menantikan keputusan dakwaan itu samaada wujud kes atau dibebaskan.- Admin

Perbicaraan "Kes Rosmah Puaka" : Pro-Mahasiswa UTM anjur Solat Hajat Malam Ini

Skudai, 23 September: Berikutan Mahkamah Jalan Duta 24 September ini mengumumkan keputusan perbicaraan kes "bini puaka" melibatkan lima pelajar Universiti Malaya (UM), Pro-Mahasiswa UTM akan mengadakan solat hajat di Surau Kolej Tuanku Canselor pada jam 8.30 malam (selepas solat isyak) untuk memohon kemenangan kepada mahasiswa yang ditindas dalam kes tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Pro-Mahasiswa UTM, Nur Azim Fahada berkata isu ini melibatkan seluruh mahasiswa tidak kira kampus. Sensitiviti terhadap keadilan menjadi asas utama perjuangan mahasiswa.

Justeru beliau menyeru semua mahasiswa dan aktivis muslim untuk menghadiri solat hajat yang diadakan malam ini.

Ridzuan Bin Othman, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam seruan beliau melalui blog rasmi SMM berkata "Saya mengharapkan seluruh mahasiswa, aktivis dan masyarakat untuk sama-sama berdoa bagi kemenangan kes ini".

Himpunan Bebaskan Mahasiswa: Hadir Tanda Sokongan


Nota: Pro-Mahasiswa UTM menjemput semua mahasiswa UTM untuk menghadiri himpunan itu sebagai menyatakan harapan keadilan di peringkat seluruh mahasiswa kepada institusi kehakiman di Malaysia.

Kes Puaka UM : Mahasiswa Harap Keadilan



Pada 29 Jun 2009 yang lalu lima mahasiswa Universiti Malaya telah diheret ke mahkamah atas tuduhan menghina isteri perdana menteri Rosmah Mansur dengan contengan hasutan ketika dalam lawatannya ke Universiti perdana itu. Bermula dari tarikh berkenaan sehingga ke hari ini kita dapati kes ini masih belum selesai sehinggalah pada 24 september ini kita bakal menantikan keputusan dakwaan itu samaada wujud kes atau dibebaskan.

RINGKASAN KRONOLOGI SEPANJANG PERBICARAAN

Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2)

1 JULAI 2009

OKT 1 dan 2 (Mohamad Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahrul Deen) dituduh ke mahkamah kali yang pertama dan mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dibaca di Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2) dan Mahkamah Majistret Jenayah 4 (MMJ4). Tarikh mula perbicaraan di MSJ2 ditetapkan pada 7 Disember 2009 bagi Seksyen 427,436/511 Kanun Keseksaan dan 447 manakala di MMJ4 bagi Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan pada 24 & 25 Jun 2010.

7 DISEMBER 2009

OKT 3, 4 dan 5 (Mohd Syazni Munir, Mohd Aizat & Muhd Saufi) dibacakan pertuduhan. Kesemua mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.Perbicaraan bagi OKT 1 dan 2 terpaksa ditangguhkan kerana pihak forensik masih belum menyediakan laporan kimia sepertimana yang dikehendaki.
Perbicaraan ditunda pada 15 Jun 2010.

15 Jun 2010

Saksi Pendakwaan (SP) pertama mengesahkan bahawa tiada sebarang bahan hidrokarbon meruap (petrol) dikesan dan tiada sebarang cap jari.

Mahkamah Majestret Jenayah 4 (MMJ4)

12 Julai 2010

Hakim MMJ4 memutuskan OKT 1 dibebaskan tanpa bela diri.

Mahkamah Seksyen Jenayah 2 (MSJ2)

28 Julai 2010

SP ke-17 iaitu pakar forensik multimedia mengesahkan laporan forensik terhadap simkad dan telefon bimbit OKT 1 dan 2 adalah negatif.

30 Julai 2010

SP ke-19 iaitu Pegawai Penyiasat kes, mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan saksi-saksi lain.

6 Ogos 2010

Kemenangan OKT 1 dalam perbicaraan di MMJ4 ditarik semula.Pihak pendakwaraya mengemukakan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi/Rayuan.

12 Ogos 2010

Rayuan diterima.

13 Ogos 2010

SP-19 (Pegawai Penyiasat) dipanggil memberi keterangan semula, beliau mengakui sepanjang penyiasatan wujud beberapa campurtangan dari Speacial Branch (SB) dan unit D7 ketika soal siasat dilakukan. Beliau juga mengakui beberapa arahan penangkapan OKT 3 dan 4 bukan dikeluarkan oleh beliau.

1 September 2010 (Sesi Penghujahan)

Barisan penguambela menyatakan pihak pendakwaraya gagal mewujudkan prima facie terhadap pertuduhan dan apa yang cuba dibuktikan hanya satu anggapan semata-mata tanpa ada sebarang bukti fizikal mahu pun laporan forensik yang menyokong andaian tersebut.

Hakim menetapkan 24 September ini sebagai tarikh menetapkan keputusan.

TUNTUTAN

Di peringkat mahasiswa, atas dasar menghormati perlembagaan dan undang-undang, kita mengharap agar mahkamah bersikap rasional dalam membuat keputusan, bebas dari sebarang unsur campurtangan dan tekanan politik. Badan kehakiman perlulah menjadi perunding yang baik kepada mahasiswa atau rakyat.

Mahasiswa amat menghormati dan meletakkan penuh kepercayaan terhadap kehakiman Negara. Sepanjang pemerhatian daripada kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan Ustazah Norliza Ishak, kita yakin mahkamah cuba mempamerkan kredibiliti serta kejujuran dalam membuat sesuatu keputusan.

PERTUDUHAN:

  1. Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan dan boleh dihukum denda maksimum RM300
  2. Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang membawa hukuman dua tahun penjara.
  3. Seksyen 436/511 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api mengakibatkan maksimum 10 tahun penjara
  4. Seksyen 447 iaitu kesalahan melakukan pencerobohan jenayah membawa hukuman 6 bulan penjara.

Sumber: Klik sini

Memperingati Peristiwa Tragis Sabra dan Satilla

Peristiwa yang bermula dengan pengepungan kem tersebut oleh tentera Zionis di bawah pimpinan Ariel Sharon pada tengah hari Rabu 15 September 1982 tersebut akan tetap tinggal sebagai contoh kebinatangan manusia yang tidak berhati perut hingga ke akhir zaman. Setelah semua pintu keluar disekat, kereta kebal tentera Yahudi mula membedil perkhemahan tersebut, sambil diawasi daripada bangunan-bangunan tinggi di sekeliling perkhemahan yang diduduki mereka, termasuk Kedutaan Kuwait, untuk dijadikan pos-pos pemerhatian. Sementara itu Sharon bertemu dengan pihak militia Kristian Falangist, di bawah Elie Hobeika, untuk mempelawa mereka masuk ke dalam perkhemahan pelarian Palestin dan "membersihkan" apa yang mereka sebut sebagai sarang pengganas.




Seterusnya bermula petang 16 September gerombolan pertama daripada sejumlah 1,500 orang militia Falangis, yang termasuk juga anggota-anggota Tentera Bebas Lubnan pimpinan Saad Haddad, masuk ke dalam kawasan perkhemahan dengan menaiki jip-jip yang dibekalkan oleh tentera Yahudi dan bersenjatakan senapang, pisau dan parang. Mereka lalu menjalankan "tugas" membunuh dan menyembelih pelarian Palestin di sana, malah merogol wanita-wanita juga, sambil tentera Zionis berkawal di luar sepanjang sempadan perkhemahan agar tiada siapa yang lepas lari keluar. Di sebelah malam tentera Yahudi menembak roket suluh (flares) ke atas perkhemahan bagi meneranginya - dikatakan sehingga terang benderang bagaikan padang bola, agar pihak militia Kristian di dalam dapat terus menjalankan pembantaiannya.



Pembunuhan beramai-ramai yang kejam tersebut berjalan terus-menerus selama lebih daripada dua hari, tanpa mempedulikan sama ada lelaki, wanita atau kanak-kanak, dan tanpa ada pembelaan atau pertahanan daripada sebarang pihakpun. Setelah tiba pagi sabtu 18 September barulah pengganas-pengganas Falangis meninggalkan perkhemahan, menghela mereka yang masih hidup keluar bersama untuk dibawa ke stadium pula untuk diinterogasi. Apabila kumpulan pemberita yang pertama dapat masuk ke dalam kawasan perkhemahan, mereka dapati jasad-jasad bertaburan di seluruh kawasan, banyak daripadanya telah dikerat-kerat. Hanya setelah itulah baru berita pertama mengenai pembantaian ini sampai ke pengetahuan masyarakat dunia.

Wartawan Amnon Kapeliouk, yang beliau sendiri juga seorang Yahudi, daripada akhbar Perancis Le Monde Diplomatique menganggarkan sejumlah 3,000-3,500 orang pelarian Palestin lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dibunuh dan disembelih dalam tempoh dua hari tersebut dengan penuh kejamnya. Ini mengambilkira sebanyak 2,000 mayat yang diselenggarakan selepas pembantaian, daripada sumber-sumber rasmi dan Palang Merah, dan seramai dianggarkan 1,000 hingga 1,500 lagi yang dibereskan sendiri oleh pihak pengganas Falangis. Selama begitu lama dunia tidak melihat suatu pembunuhan beramai-ramai pihak yang tidak bersalah yang bukan kombatan sebegitu, yang tidak dapat mempertahankan diri sendiri, dengan begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan.


Sehingga hari ini tidak seorangpun yang bertanggungjawab ke atas pembantaian kejam ini telah dibawa ke pengadilan, jauh sekali daripada dihukum setimpalnya. Ariel Sharon malah kemudiannya naik menjadi Perdana Menteri entiti Zionis pula. Komander Falangis, Elie Hobeika, juga terlepas daripada hukuman dunia malah kemudiannya menjadi Menteri Kabinet Lubnan pula dalam tahun1990an. Walau bagaimanapun ia mati lantaran bom kereta pada Januari 2002.

Nota:

Sebagai manusia terutamanya bagi muslim peristiwa ini amat tidak berperikemanusian. Norma-norma keamanan dunia semakin tercalar akibat tindakan kejam Kerajaan Zionis Israel ini.

Pro-mahasiswa UTM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam Zionis Israel laknatullah ini.

Sumber: Klik Sini

Selamat Kembali ke UTM


Selamat Kembali ke kampus kepada seluruh warga UTM. Pandulah berhati-hati dijalanraya. Ingatlah insan tersayang terumanya rakan-rakan & pensyarah-pensyarah anda. Pastikan kerja-kerja rumah yang diamanahkan sudah disiapkan dengan sempurna. \(^.^)/

Salam Mahasiswa!.

Kes Sosilawati: Respon daripada Pro Mahasiswa UTM

Berikut adalah respon daripada Naib Presiden (Fakulti) Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia, Nur Azim Fahada Bin Ahmad yang mewakili Pro Mahasiswa UTM berhubung Kes Pembunuhan Kejam Datuk Sosilawati dan tiga orang yang lain.

1) Pro Mahasiswa UTM melahirkan rasa syukur atas kejayaan pihak polis merungkaikan kes pembunuhan kejam jutawan komestik Datuk Sosilawati Lawiyah dan tiga orang pembantunya. Kes ini dapat dirungkaikan dengan kadar yang segera disebabkan tindakan pantas pasukan polis dalam menjalankan siasatan secara menyeluruh.

2) Kes kejam ini merupakan kes yang melibatkan isu rentas kaum, agama, latar belakang politik, dan norma kemanusiaan seperti yang dimomokkan dalam media massa. Nilai kemanusiaan dan integriti rakyat Malaysia seolah-olah dicalar dengan teruk apabila berlakunya kes jenayah berprofil tinggi. Ini disebabkan kes tersebut melibatkan pengamal undang-undang negara.

3) Kes ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia terdedah dengan pelbagai lagi kes yang tidak dapat diselesaikan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Ini terbukti terdapat banyak kertas siasatan yang dibuka semula berhubung kait soal pembunuhan Datuk Sosilawati dan kehilangan pedagang India yang telah dilaporkan sendiri oleh isteri beliau di atas tekanan antarabangsa.

4) Badan legislatif sepatutnya diperkukuh dan dimurnikan semula dari segi penjawatan dan peranan dalam melahirkan Malaysia yang harmoni. PDRM seharusnya bebas dalam melakukan gerak kerjanya tanpa terpengaruh dengan tekanan politik seperti dalam kenyataan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Bin Hassan baru-baru ini. Mahasiswa mengharapkan agar pasukan keselamatan lebih efisyen dalam menyelesaikan sesuatu siasatan kes jenayah yang semakin berleluasa.

4) Pro Mahasiswa UTM mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang pembantunya. Diharapkan seluruh ahli keluarga mereka tabah dalam menghadapi musibah yang menimpa.

5) Akhir sekali, saya mewakili Pro Mahasiswa UTM dan seluruh warga UTM berharap agar kes-kes terpencil tidak kira taraf, agama, bangsa dan taraf sosial dilayan siasatannya sama rata seperti kes-kes ternama yang melibatkan orang kenamaan. Jangan kita menjadi seperti yang disebutkan dalam peribahasa melayu; "Sudah terhantuk baru terngadah". Keselamatan rakyat haruslah menjadi keutamaan kerajaan dalam memelihara suasana harmoni dalam negara kita.

Sekian, terima kasih.

NUR AZIM FAHADA BIN AHMAD
Naib Presiden (Fakulti)
Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM

Merangkap,

Pengerusi Pro Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bharu.

18 September 2010


Sekolah Hamil: Selesaikah Masalah?

18 September: Penubuhan sekolah bagi pelajar hamil bukanlah sesuatu yang baru di negara ini bahkan telah wujud semenjak tahun 70-an lagi di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang antaranya terletak di Rembau, Cheras, Sarawak dan Batu Gajah di mana kemasukannya menggunakan Akta Perlindungan Wanita Dan Gadis 1973 (Akta 106).

Persoalan mula timbul apabila sekolah jenis ini yang pernah diwujudkan masih tidak dapat menyelesaikan permasalahan tetapi peningkatan kes terus berlaku bahkan semakin membimbangkan.Ini berdasarkan rekod JKM bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008.

Jumlah itu dipercayai lebih tinggi kerana ia berdasarkan kes dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan perlindungan di Taman Seri Puteri, selain statistik tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sahaja.

Merujuk kepada penubuhan Sekolah Harapan oleh kerajaan Melaka yang mula dibuka pada 17 September 2010 (semalam) dengan menelan belanja RM100,000 ini, ia bertujuan menangani gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

Pengerusinya, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata keseluruhan bangunan Sekolah Harapan itu dilengkapi penghawa dingin termasuk di tiga kelas dengan setiap kelas menampung antara 10 dan 12 pelajar.

Keseluruhan lantai bangunan sekolah dua tingkat itu juga dipasang dengan permaidani bagi memberi keselesaan kepada pelajar hamil mengikuti pembelajaran. Beliau juga turut menjelaskan bahawa waktu pembelajaran pula adalah sama seperti waktu sekolah biasa dan kelas termasuk kelas komputer dan kemahiran memasak serta menjahit.

Seorang Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, Umi Kalsom dalam renspon beliau dalam blognya tentang isu ini berkata perkara ini secara dasarnya dilihat positif lantaran kemudahan dan keselesaan yang ditawarkan selain penyusunan silibus pengajaran yang dapat membantu pembentukan insaniah kepada bakal pelajar sekolah tersebut.

Ironinya, penubuhan sekolah ini bakal mencetuskan epidemik hamil luar nikah di kalangan pelajar kerana dijadikan penyelasaian masalah untuk menutup malu pelajar dan pihak lain yang berkaitan.

Beliau yang juga merupakan Ketua Fakulti Kejuruteraan Elektrik turut berkata "Perkara yang kita bimbangkan adalah implikasi lain yang timbul melalui doktrin persepsi yang menghalalkan penzinaan selain label atau stigma negatif yang akan digalas oleh bekas pelajar Sekolah Harapan ini di masa depan".

Perumpamaan ‘meracun rumput biarlah sampai ke akar’ wajar diaplikasikan bagi mengatasi permasalahan ini. Seharusnya semak semula bagaimana kestabilan institusi kekeluargaan yang menjadi entiti dalam pembentukan masyarakat hari ini" katanya bagi menyatakan perkara yang sepatutnya diberi keutamaan.

Sementara itu Bendahari Jabatan Kerohanian dan Integrasi Sosisal (JAKERIS) MPMUTM, Nur Syazana Bt Azahar berkata penubuhan Sekolah hamil bukanlah satu metodologi terbaik bagi penyelesaian masalah gejala sosial.

"Adakah dengan penubuhannya (Sekolah hamil) masalah sosial akan berkurang?" soalnya.

"Penubuhannya seolah-olah memberi satu 'tiket halal' untuk penzina sehingga tidak wujudlagi rasa bersalah setelah berzina kerana mereka tahu mereka akan dibela. Resolusi terbaik adalah mencari langkah awal sebelum masalah keterlanjuran ini berlaku dari hanya berindak selepas mereka terlanjur". tegasnya dalam mencari solusi kepada isu buang bayi yang acap kali berlaku.

Adakah anak remaja ini cukup imun melawan petogen gejala sosial dan hedonisme yang semakin berserakan di luar sana? Kita sama-sama lihat adakah perlaksanaan undang-undang di negara ini sudah cukup utuh untuk membejatkan penularan gejala pelajar hamil di luar nikah ini? Seterusnya, adakah sistem pendidikan yang diterapkan kepada pelajar-pelajar ini turut juga membentuk sahsiah diri yang seimbang dari segi rohani dan jasmaninya?

Ini adalah sebahagian dari persoalan yang harus dijawab jika kita bersungguh-sungguh mengatasi permasalahan ini hingga ke akar umbinya. Secara tuntasnya, setiap permasalahan yang timbul pasti akan terbentang penyelesaiannya asal tak jemu berusaha dan lakukan apa sahaja selagi tidak tersimpang dari panduan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai yang difirmankanNya yang bermaksud:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan sendiri mengenai urusan mereka, dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (al-Ahzab: 36).

Selamat Hari Malaysia 16 September 2010


Pro Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia mengucapkan Selamat Hari Malaysia 16 September 2010 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga UTM.

GAMAT Serah Memorandum Kepada MB Kelantan


Gabungan Anak Muda Tuntut Royalti (GAMAT) terus mengorak langkah dengan lebih serius apabila telah menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz semalam di Kota Bharu.

Penyerahan memorandum itu diadakan serentak dengan Majlis Mesra Eidulfitri Mahasiswa Bersama MB Kelantan.

Penyerahan memorandum itu diserahkan oleh Saudara Zaki Sukery (Presiden Ma’aruf Club UIA), Saudara Ahmad Syazwan Muhammad Hassan (YDP PMIUM), Abdul Razak Omar (PMIUM), Mohd Khairul Abdullah Halim (PMIUTM) dan Wan Baihaqi Abdul Rahman (PPIUNITEN).

Penyerahan itu sebagai tanda sokongan yang diberikan oleh anak muda Kelantan kepada kerajaan negeri Kelantan yang berusaha untuk mengembalikan hak royalti kepada rakyat Kelantan.

GAMAT yang ditubuhkan baru-baru ini telah menggabungkan semua anak muda di seluruh pelusuk Malaysia yang bertujuan untuk menyokong Tuntutan Royalti oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang dibuat oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz selain menuntut Royalti Minyak Kelantan dikembalikan semula sebagai hak Kerajaan Negeri Kelantan.

Di antara tuntutan lain GAMAT adalah memberikan hak royalti yang sepatutnya kepada rakyat Kelantan tanpa ada sebarang diskriminasi, jangan memutarbelitkan fakta dan isu royalti yang berlaku dan kerajaan perlulah bersikap adil kepada rakyat Kelantan tanpa mengira batasan politik.

Selain itu, sekiranya tuntutan mereka tidak dapat diselesaikan dengan berhemat, seluruh mahasiswa akan membawa isu ini ke kampus.

Penyerahan memorandum semalam juga memaparkan satu kain rentang yang penuh dengan tanda tangan sebagai sokongan anak muda Kelantan terhadap hasrat mereka itu.

GAMAT yang ditubuhkan oleh pemimpin persatuan-persatuan mahasiswa seluruh negara dilihat satu kebetulan kerana kebanyakan pemimpian tertinggi persatuan-persatuan tersebut adalah merupakan anak jati Kelantan.

sumber: http://promahasiswauiam.blogspot.com/

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...