Jangan politikkan isu Lahad Datu


KUALA LUMPUR: Muhamad Rozlin, Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Sabah (PERMASA) menggesa ahli politik untuk tidak bermain politik mengenai isu pencerobohan di Lahad datu.
Beliau menyebut, “Kami sebagai rakyat Sabah turut berasa risau. Parti politik perlu mengambil tindakan segera dan tegas”
“Moga usaha PDRM membawa kejayaan. Keselamatan rakyat Sabah kini dalam bahaya".


PMIUTM  telah menganjurkan solat hajat perdana bagi mendoakan supaya krisis pencerobohan di Lahad Datu dapat diselesaikan dalam kadar segera.

Kepimpinan Melayu Islam di Malaysia


Islam dan Melayu

   Jika diteliti sejarah umat Melayu Islam sejak dahulu sehinggalah sekarang, kita akan dapati bahawa terdapat pertalian hubungan yang sangat kuat di antara Islam dan bangsa Melayu sehinggakan Melayu bukan sahaja dianggap sebagai keturunan tetapi juga sebagai sebuah identiti di dalam Perlembagaan Negara. Pada takrifan Melayu di dalam Perlembagaan Negara Malaysia, bangsa Melayu adalah mereka yang menjadikan Islam sebagai agama yang dianuti, bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan serta mereka yang mengamalkan adat resam dan budaya Melayu di dalam kehidupan seharian.



   Di dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW juga tidak pernah menghapuskan identiti kaum hanya disebabkan golongan tersebut menganut agama Islam. Malah kita akan dapati bahawa struktur kaum sebenarnya telah wujud di dalam sistem politik Islam sejak dari zaman awal Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman mutakhir ini. Di dalam konteks di Malaysia contohnya, selain dari takrifan bangsa Melayu, terdapat juga unsur-unsur tradisi yang telahpun wujud sejak ratusan tahun yang lalu yang turut juga dimasukkan di dalam Perlembagaan Negara seperti kedudukan istimewa hak orang Melayu dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu di mana ianya berperanan, bukan sahaja ke arah menstabilkan sistem politik negara malah merupakan hasil permuafakatan yang telah dipersetujui dan diterima oleh orang Melayu dan juga bukan Melayu sebagai suatu formula bersama bagi menyelesaikan potensi konflik antara etnik di Tanah Melayu pada ketika itu.

Peranan bangsa dalam memperjuangkan Islam

   Kita juga perlu membezakan dua perkara iaitu peranan bangsa sebagai alat dan wasilah dengan bangsa sebagai matlamat di dalam agenda perjuangan Islam. Tiada sesiapa pun yang menafikan bahawa Islam adalah agama dan Melayu adalah bangsa dan oleh itu tidak sesiapapun yang membangsakan agama Islam atau mengagamakan bangsa. Namun, sebagai seorang Melayu Islam, kita seharusnya berbangga mengenai wujudnya hubungan yang kuat di antara Melayu dan Islam serta peranan yang telah dimainkannya sepanjang sejarah di dalam mempertahankan dan mengembangkan Islam di rantau ini. Hakikatnya, peranan bangsa di dalam sistem politik Islam pada suatu masa dahulu adalah sesuatu yang diiktiraf dan oleh itu, apabila kita bercakap tentang perjuangan Islam, kita tidak seharusnya menolak peranan bangsa di dalam perjuangan Islam kerana memisahkan Melayu daripada Islam di dalam agenda perjuangan dan pembangunan sebuah bangsa yang berdaulat di negara ini pasti tidak akan membawa kepada kesejahteraan, sebaliknya, keadaan negara akan menjadi lebih gawat kerana hilangnya umat pada jatidirinya sendiri.


   Ibnu Khaldun di dalam kitabnya, Al-Muqadimah secara terang dan nyata telah mengatakan bahawa “assobiyah” adalah suatu yang mustahak di dalam usaha menegakkan pemerintahan Islam dan bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan daripada nas-nas yang mencela “assobiyah”, beliau mengatakan bahawa apabila syarak mencela satu-satu perkara bukan bererti ia mahu mencabutnya dari akar umbi tetapi menghalang daripada digunakan untuk tujuan yang salah. Di dalam menghurai konsep assabiyyah ini, Ibn Khaldun memperjelaskannya berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW yang menyebut;
“Bukan daripada kalangan ummat ku mereka yang menyeru ke arah berpuak-puak, yakni asabiyyah. Maka seorang sahabat bertanya tentang asabiyyah yang bagaimana ya Rasulullah? Lalu Rasulullah menjawab; Asabiyyah di mana kamu saling tolong menolong dalam kezaliman.“

   Menurut beliau, berdasarkan hadis tersebut, assobiyyah yang mengajak ke arah melakukan kezaliman, iaitu kita mempertahankan kaum kita walaupun secara terang-terangan kita berlaku zalim terhadap orang lain seperti menindas dan sebagainya, maka assobiyyah di dalam maksud sedemikian adalah amatlah ditentang. Walaubagaimanapun, jika assobiyyah tersebut adalah di dalam konteks untuk mempertahankan agama Islam, mempertahankan negara daripada serangan musuh, ataupun assobiyyah di dalam menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran, maka assobiyyah ini adalah dibenarkan malah merupakan salah satu elemen penting dan diperlukan kepada bangkitnya sesebuah tamadun, empayar ataupun kerajaan.

Falsafah kekuatan bangsa Melayu adalah Islam

   Usaha untuk mengubah nasib orang Melayu Islam juga tidak akan membuahkan hasilnya jika Islam tidak diambil sebagai falsafah perjuangan dan pembangunan bangsa. Jika kita melihat kepada fakta sejarah, walaupun wujud kerajaan Melayu sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, kerajaan-kerajaan Melayu ini berkedudukan lemah dan kecil serta sentiasa diserang oleh kuasa-kuasa besar ketika itu seperti Negara Siam sehinggakan negara-negara Melayu ini terpaksa menghantar wang ufti ke negara Siam tersebut bagi menjamin keselematan negaranya. Detik kegemilangan Empayar Melayu Islam Melaka hanya bermula setelah Islam sampai ke Tanah Melayu  Melaka pada ketika itu di mana setelah kedatangan Islam, orang Melayu telah mula bangkit dan membina sebuah kerajaan dan empayar yang kuat sehingga mereka mampu menggerunkan negara-negara jiran mereka termasuk Siam yang suatu masa dahulu pernah menjadi ancaman kepada kerajaan-kerajaan kecil orang Melayu tersebut. Melalui Islam juga, orang-orang Melayu telah diajar untuk bersatu di bawah satu sistem pentadbiran antarabangsa yang dinaungi di bawah payung Khilafah Islam. Berdasarkan hakikat tersebut, Islam dan peranan bangsa Melayu dalam konteks negara ini tidak boleh dipisahkan, dan oleh itu, jika kita cuba membangunkan tamadun dan bangsa Melayu berdasarkan falsafah luar seperti Liberal Barat yang meletakkan kehendak manusia sebagai matlamat dan pusat kehidupan, kita bimbang, bangsa Melayu yang ingin dibangunkan nanti akan menghasilkan bangsa Melayu yang tiada identiti Melayu dan ketimurannya serta hilang jatidirinya sebagai seorang Melayu Islam yang berani dan berpegang teguh kepada agama.  Kelunturan dan kecairan jatidiri Melayu Islam ini juga pasti akan menyebabkannya mudah terjebak di dalam percaturan agenda orang lain.

   Suatu fakta sejarah yang tidak boleh kita nafikan ialah bahawa sebelum kedatangan penjajah barat (dari Portugis hinggalah Inggeris) ke Tanah Melayu, orang Melayu sebenarnya telah pun mempunyai sistem pemerintahan yang tersendiri. Walaupun ianya bukanlah sistem demokrasi sepertimana yang diagung-agungkan oleh ‘pejuang-pejuang demokrasi ala Barat’ di negara ini, namun yang pasti, sistem pemerintahan pada era kesultanan Melayu Islam Melaka ini telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu tidak memerlukan kepada ‘sistem dan bantuan luar’ di dalam urusan pentadbiran kerajaannya. Demi menjamin kelangsungan kepimpinan Melayu Islam atau Ketuanan Melayu di negara ini, adalah penting agar masyarakat Melayu Islam di negara ini dikembalikan semula kepada jatidirinya yang asal melalui pendekatan keagamaan kerana kekuatan jiwa umat yang berasaskan kepada agama adalah merupakan tunjang di dalam kebangkitan mana-mana umat di sepanjang sejarah termasuklah negara ini.

Persepakatan orang Melayu akan memberi kekuatan kepada Islam

   Pepatah Melayu ada menyebut, “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”. Hakikatnya, apabila orang-orang melayu bersatu pada, ia pasti akan memberikan kemenangan dan kekuatan kepada Islam manakala perpecahan yang kiniberlaku di kalangan orang-orang Melayu di negara ini pula akan menjadi punca kepada kelemahan bangsa Melayu Islam di negara ini. Oleh itu, perpecahan umat Melayu ini wajar dihentikan segera kerana ia sangat merugikan Melayu dan Islam itu sendiri. Sebagai seorang Muslim, semua kita sewajarnya menilai dan menentukan sikap dan kebenaran mengenai sesuatu isu dan perkara berpandukan kepada syarak. Walaupun orang-orang Melayu mungkina berbeza dari segi ideologi dan aliran kefahaman politik, namun di dalam perkara prinsip, merea tidak seharusnya mempunyai pertikaian berhubung perkara asas dan kepentingan bersama berkaitan agama Islam and bangsa Melayu.



   Ketidak persepakatan Bangsa Melayu akan menyebabkan kesan yang lebih buruk lagi terhadap agama Islam, khususnya apabila negara ini perlu berdepan dengan arus liberalisasi global yang semakin mencabar kerana cabaran Liberalisasi bersifat global ini tidak akan boleh  ditangani oleh bangsa yang mudah dipecah-belahkan disebabkan oleh blok-blok kepartian.  Tanpa agenda bersama yang disepakati, secara sedar atau tidak, bangsa Melayu Islam boleh terperangkap di dalam simpang siur agenda orang lain khususnya dari musuh-musuh Islam itu sendiri.

Pentingnya kita kenali siapakah musuh hakiki kita yang sebenarnya

   Saidina Umar Al-Khattab R.A pernah berkata bahawa: “Ikatan keIslaman seseorang akan terungkai jika seseorang itu hidup di dalam Islam tetapi tidak mengenal jahiliyah.”


   Di dalam Al-Quran juga terdapat banyak ayat-ayat Allah yang memperkenalkan kepada kita hakikat sebenar musuh agama ini seperti kisah Firaun, kisah tipu daya iblis, kisah helah kaum Yahudi dan niat tersembunyi orang-orang kafir dan munafiq dan sebagainya. Hikmah ayat-ayat Al-Quran ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana Allah SWT mahu mengajar kepada kita supaya kita mengenali hakikat musuh, dan agar kita sentiasa berwaspada dan berlepas diri dari pelbagai agenda jahiliyah dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah mereka. Menurut kata Ahmad Rasyid di dalam buku tulisannya Al-Masar, di antara strategi musuh-musuh Islam bilamana puak minoriti memimpin puak majoriti di dalam sesebuah negara umat Islam ialah pemimpin minoriti tersebut pasti akan berlaku kejam terhadap orang-orang Islam bagi menstabilkan kedudukan kekuasaan mereka. Adakah kita sedar hakikat dan potensi ianya boleh berlaku di negara kita ini?

   Di dalam konteks di negara kita, kepimpinan Melayu Islam di negara ini adalah suatu nilai tetap yang mesti dihormati dan tidak akan boleh tercapai melainkan selepas bangsa Melayu bersatu dan kuasa politik terus dikekalkan di tangan orang-orang Melayu. Perpecahan sebaliknya akan menyebabkan Bangsa Melayu menjadi lemah dan terus ketinggalan di belakang dan jika perkara ini dibiarkan berterusan, kuasa politik (ie Ketuanan Melayu) yang kini merupakan kuasa tunggal milik bangsa Melayu boleh bertukar tangan kepada bangsa lain dan seterusnya kepimpinan Melayu Islam pasti akan terganggu-gugat. Di sinilah peri pentingnya orang-orang Melayu bersepakat demi memastikan kelangsungan kedaulatan Islam di negara ini atau ringkasnya ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’.

MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT, MEMBANGUN UMAT BERAGENDA


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...