Penamaan Calon Lancar

UTM Skudai, 25 Jan : Pilihanraya Kampus bagi Universiti Teknologi Malaysia telah berlangsung secara rasminya dengan bermulanya proses penamaan calon 9.00 pagi tadi. Seperti yang dijangkakan kedua-dua pihak Pro Mahasiswa dan Evolusi Mahasiswa tampil dengan calon masing-masing.

Proses penamaan calon yang baru sahaja berakhir, 1.00 petang tadi telah memperlihatkan kekuatan kedua-dua belah pihak yang bertanding. Kelihatan beberapa wakil daripada bebas yang tidak berat kepada mana-mana pihak juga menghantarkan calon untuk merebut beberapa kerusi fakulti.

Pro M tampil dengan suasana berkabung berikutan kemangkatan Sultan Johor minggu lepas. Menjadi kebiasaan, sikap bersahaja calon dan penyokong Pro M memudahkan proses penamaan calon terbersebut berjalan.

Saudara Nur Azim Fahada mantan Pengerusi Pro M sesi lepas juga kelihatan bertanding lagi
untuk sesi kali ini. "Kami datang dengan strategi, dan untuk kali ini, matlamat kami adalah untuk Kerajaan Mahasiswa", katanya ringkas ketika ditanya mengapa beliau bertanding untuk kali yang kedua.

Tiada sebarang perarakan dilakukan berikutan dengan syarat terbaru Pilihanraya Kampus (PRK) yang melarang calon deripada berarak. Wakil-wakil daripada Evo M juga kelihatan tenang tetapi sedikit gusar akan kelibat calon dan penyokong Pro M yang dilihat lebih teratur.

"Saya amat berpuas hati dengan proses penamaan calon yang berjalan dengan lancar dan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan proses penamaan calon ini, semoga situasi tenang ini berterusan sehingga berakhirnya PRK kali ini", ujar Saudara Amin Hamami ketika ditemu bual.

Senarai penuh calon yang layak bertanding akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada petang ini jam 5.00 petang ini.

Semoga perjalanan PRK kali ini berjalan dengan lancar dan selamat.


"Dari Mahasiswa untuk Mahasiswa"

Student Power!!

Majlis Makan Malam

6.15 pm
beberapa wakil Pro M sedang mengikuti van-van UTM yang sedang menuju ke tempat yang tidak diketahui.

6.20 pm
tempat yang bakal ditujui ini dipercayai adalah tempat untuk mengisi borang penamaan calon kerana tempat asal di Ulu Tiram telah tersebar dan telah diketauhi umum. Apa sebenarnya yang dirahsiakan oleh mereka?

6.40 pm
wakil Pro M memaklumkan bahawa van-van tersebut telah mengubah haluan ke Pasir Gudang. dipercayai, majlis makan malam ini telah di ubah tempat oleh para pengetua kerana berlakunya kebocoran maklumat di Blog dan juga Facebook.

6.50 pm
"Kami sedang memasuki perkarangan Hotel Selesa di Pasir Gudang (gambar)", lapor wakil Pro M.

7.45 pm
Sukarelawan Pro M memaklumkan terdapat beberapa buah van UTM dan milik kolej-kolej. Dijangka semua pengetua kolej hadir dalam perjumpaan ini. Sukarelawan Pro-M masih berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan. "Kami sedang cuba untuk memasuki kawasan majlis tersebut.", lapor wakil Pro M.

8.30 pm
Proses mengisi borang masih berjalan. Semua calon-calon Evolusi Mahasiswa masih belum keluar.

10.30 pm
Sukarelawan Pro M masih menunggu di luar hotel. Calon-calon Evolusi Mahasiswa sedang mengisi borang pencalonan. Selain itu, sebuah kereta milik seorang pegawai HEP turut berada di kawasan hotel.

11.30 pm
Calon-calon sudah beransur keluar dari hotel dan menaiki van. Sukarelawan Pro M akan cuba mendapatkan maklumat bayaran untuk majlis pada ini daripada pihak pengurusan hotel.

12.20 pm
Sukarelawan Pro M mengucapkan selamat kembali ke UTM kepada calon-calon Evolusi Mahasiswa. Malam ini dunia sekali lagi menyaksikan harta universiti dan harta rakyat telah disalah gunakan oleh Evolusi Mahasiswa, sebuah kumpulan yang tidak berdaftar di UTM.

Catatan:
Inilah permainan oleh pihak yang mengaku mengaku membantu kerajaan dalam membangunkan negara.

Inilah pihak yang menggunakan wang rakyat dengan 'sebaiknya'.

Ayuh mahasiswa, amalkan politik nilai.

Nilailah dengan baik siapa yang mahu dilantik menjadi pemimpin anda.


"Bersama Mahasiswa Memimpin Negara"


Sultan Johor mangkat


Sumber : Malaysiakini



Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat pada jam 7.15 malam ini di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru selepas memerintah hampir tiga dekad. Baginda berusia 77 tahun.

Pengumuman kemangkatan baginda dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

Menurut menteri besar, jenazah baginda akan disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada 2 petang esok. Baginda dikejarkan ke Hospital Pakar Puteri, pagi tadi kerana gering.



Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor unku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah minah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah smailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri unku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Baginda yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian.

Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London.

Pada Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken.

Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja pada 11 Mei 1981, selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden.

Petang tadi, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Manakala pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar petang esok.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak takziah kepada kerabat diraja Johor di atas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar malam ini.

"Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat merakamkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah dan anakanda-anakanda serta kerabat baginda di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri ke India selama lima hari sejak Selasa lepas.

Najib berkata: "Baginda Sultan merupakan seorang raja yang amat prihatin terhadap segala perkembangan dalam negerinya dan juga sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

"Baginda memainkan peranan yang besar dalam pembangunan dan kejayaan negeri Johor dan selalu menekankan betapa pentingnya rakyat Malaysia bersatu padu," kata Perdana Menteri.

Berikutan kemangkatan Sultan Johor, Najib memendekkan lawatannya ke India dan berlepas pulang ke tanah air pada pukul 8.30 malam ini waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang awal pagi esok.

Mengikut jadual, Najib sepatutnya berlepas pulang petang esok.

Ketua Biro JKM KRP menjadi calon Pro Mahasiswa


UTM Skudai, 22 Jan : Mahasiswa Kolej Rahman Putra hari ini dikejutkan dengan pengisytiharaan sebagai calon Pro Mahasiswa oleh Saudara Muhammad Ibrahim Khalil B Noh, Fakulti Sains dan Geoinformasi selaku Ketua Biro Dokumentasi dan Penerbitan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Kolej Rahman Putra (JKM KRP) lebih kurang pukul 9.30 malam tadi.

Pengumuman dan pengisytiharan secara rasmi Saudara Ibrahim untuk menyertai Pro Mahasiswa UTM telah diberitahu oleh Ketua Jentera Pro M, Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami melalui ucapannya sebentar tadi.

Saudara Ibrahim apabila diminta mengulas berkenaan keputusannya untuk bertanding atas tiket Pro Mahasiswa kali ini berkata, "Saya sebagai mahasiswa punya hak untuk bertanding atas tiket mana-mana sama ada evolusi atau pro Mahasiswa. Tetapi antara kedua-dua parti mahasiswa ini, saya lebih meyakini Pro M. Keputusan ini muktamad dan InsyaAllah saya tidak akan ubah." Jawabnya ringkas.

Sebelum ini, Saudara Siti Hadjar, Timbalan Presiden MPP yang pada pilihanraya kampus yang lepas bertanding atas tiket Evolusi telah mengambil keputusan mengisytiharkan dirinya untuk menyertai Pro Mahasiswa pada pilihanraya kampus kali ini. Keputusan dibuat setelah mempertimbangkan dan menilai kedua-dua pihak dari pelbagai sudut.

Perpindahan Saudari Siti Hadjar ternyata memberi impak yang baik kepada Pro Mahasiswa apabila jentera pusat yang diketuai oleh Saudara Mohd Amin telah memaklumkan bahawa beberapa orang mahasiswa telah menawarkan diri secara sukarela untuk menjadi penggerak Pro M.

Begitu juga dengan calon di beberapa kolej lain yang sedang mempertimbangkan untuk menarik diri dari bertanding dibawah tiket Evolusi Mahasiswa dan berpindah kepada Pro Mahasiswa. Keputusan ini akan diumumkan oleh ketua jentera sendiri sedikit masa lagi.

Keyakinan mahasiswa terhadap Pro M dilihat semakin meningkat dan mahasiswa juga semakin matang dalam menilai suasana politik kampus. Kesan daripada penilaian ini bakal diterjemahkan sedikit masa lagi. Pro Mahasiswa ingin mengingatkan bahawa anda, sebagai mahasiswa mempunyai kuasa untuk memilih. Oleh itu, pilihlah dengan bijak.

"Dari Mahasiswa untuk Mahasiswa"

Student Power!!

Srikandi Pro M bersama Mahasiswa Cina

UTM Skudai, 20 Jan : Srikandi Pro Mahasiswa UTM telah berpeluang untuk mengadakan program bersama mahasiswa cina bertempat di Kolej Tuanku Canselor. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara kaum bagi menjayakan agenda perpaduan yang ingin digagaskan oleh Pro Mahasiswa UTM.

Chung Pei Ni, Mahasiswa Fakulti Pendidikan (TESL) telah menawarkan diri untuk mengajar asas-asas seni pertahanan diri yang biasa diamalkan oleh masyarakat cina iaitu wushu.

Wushu adalah olahraga atau seni beladiri dari China . Selain untuk olahraga dan membela diri, wushu juga merupakan suatu bentuk seni. Dengan demikian wushu menggabungkan teknik melindungi diri, memperkuat fizikal, dan nilai hiburan serta seni.

Beberapa pergerakan asas yang telah diajar kepada srikandi Pro M pada petang tersebut. Antaranya ialah 2 cara pergerakan yang melibatkan Kaki (10 teknik) dan tangan (10 teknik). Walaupun masa agak singkat, tetapi rata-rata yang hadir berpuas hati dan tertarik dengan seni wushu yang diajarkan oleh Chung Pei Ni.

Program bersama mahasiswa cina mahupun india bukanlah kali pertama malah sering kali diadakan seperti lawatan Pro M ke pesta tanglung dan pesta tahun baru cina, pesta ponggal yang disambut oleh masyarakat india dan juga perlawanan persahabatan bola sepak antara Mahasiswa hindu dan juga Pro Mahasiswa. Pro Mahasiswa amat berharap hubungan antara kaum di UTM dapat disuburkan bagi merealisasikan agenda perpaduan demi kesejahteraan semua.

Turut hadir dalam aktiviti pada petang itu adalah saudari Siti Hadjar, Mantan Timbalan Presiden MPPUTM sesi 08/09.

Walaupun baru beberapa hari bersama Pro Mahasiswa setelah berhijrah dari Evolusi, beliau dilihat sangat aktif dalam membantu dalam melakukan gerak kerja dan memberi pandangan berkenaan Pilihanraya kampus serta memberikan taklimat kepada jentera dan bakal calon Pro M. Moga hijrah beliau kepada Pro M memberi impak yang baik dan positif kepada Pro M pada masa akan datang, InsyaAllah. Sekian.

Student Power!!!

Pro-M Kekal Kemenangan di UIAM


UIAM Gombak, 21 Jan - Pro Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai We Unite For Islam (WUFI) telah berjaya mengekalkan kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Kampus UIAM hari ini.

Keputusan di kampus Gombak memperlihatkan kumpulan Pro-M menang dua kerusi di Fakulti Ekonomi dan Fakulti Kejuruteraan, masing-masing satu kerusi di Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan dan Fakulti Undang-undang. Lapan kerusi lagi dimenangi di kampus Kuantan.

Sebanyak 29 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya kampus kali ini - 16 di Gombak dan 13 di Kuantan.

Kumpulan Pro-Aspirasi (Pro-A) pula menang empat kerusi - dua di Fakulti Teknologi Maklumat dan Informasi, manakala masing-masing satu kerusi di Fakulti Undang-undang dan Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan.

Calon bebas pula memenangi enam kerusi di Fakulti Seni Bina dan kerusi antarabangsa.

Sementara itu, Nur Azim Fahada bin Ahmad, Pengerusi Pro Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia mengucapkan tahniah buat Pro-M UIAM atas kemenangan yang dicapai dan berharap agar Pro-M UTM juga dapat mengecapi kemenangan dalam PRK kali ini.

Terdahulu, kampus UIAM telah dicemari dengan penyebaran risalah yang diedar di sekitar kampus yang memaparkan gambar anjing berkopiah yang dilihat sebagai satu cubaan memfitnah dan memburuk-burukkan WUFI.

Pro Mahasiswa UTM berharap agar tektik politik kotor seperti ini tidak diamalkan di UTM bagi menjaga kampus dari anasir-anasir jahiliah yang boleh mencemarkan martabat ilmu di sini.

STUDENT POWER!!!

Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar UTM sesi 08/09


UTM Skudai, 20 Jan
: Majlis Perwakilan Pelajar UTM bagi sesi 08/09 dibubarkan hari ini bagi membolehkan Pilihanraya Kampus diadakan.

Sehubungan dengan itu, notis makluman berkenaan tarikh dan undang-undang pilihanraya kampus pada tahun ini telah ditampal di semua kolej dan fakulti. Penamaan calon akan berlangsung pada 25hb Januari 2010 manakala proses pengundian akan dijalankan pada 28hb Januari 2010.

Sebanyak 51 kerusi bakal dipertandingkan yang mana 10 kerusi merupakan kerusi umum, 36 kerusi fakulti UTM skudai manakala 5 lainnya dipertandingkan di UTM international city campus Kuala Lumpur.

Kerusi yang dipertandingkan pada tahun ini bertambah sebanyak 6 kerusi berbanding tahun-tahun sebelumnya yang hanya mempertandingkan 45 kerusi bagi kampus Induk UTM Skudai dan kampus UTMKL disebabkan pertambahan 2 fakulti baru di UTM Skudai.

Tempoh bagi calon membeli borang dan mengurus pada tahun ini juga dilihat agak singkat berbanding pilihanraya kampus yang lepas kerana calon-calon hanya mempunyai lebih kurang 3 hari untuk melengkapkan semua dokumen dan pengesahan yang diperlukan.

"Saya tidak tahu kenapa universiti memberi ruang masa yang begitu pendek kepada mahasiswa untuk menyiapkan segala perkara ini kerana kita mahasiswa mempunyai ruang masa yang terhad untuk mengurus perkara ini disamping perlu melaksanakan tanggungjawab akademi juga." Jelas Pengerusi Pro Mahasiswa, Saudara Nur Azim Fahada yang juga bakal bertanding pada semester kali ini apabila ditanya berkenaan tempoh masa untuk melengkapkan borang.

Saudara Mohd Amin, ketua jentera Pro M juga sempat dihubungi untuk mendapatkan respon berkenaan masa kempen yang agak singkat pada kali ini. Beliau berkata,"Kami diperingkat Pro Mahasiswa akan cuba mengatur strategi bagi memastikan kempen yang kami jalankan berkesan walaupun pada pandangan saya, tempoh masa yang singkat ini adalah tidak wajar dan agak sukar untuk kami sampai kepada semua mahasiswa, tapi kami akan cuba sebaik mungkin."

Pembubaran MPP pada hari ini menandakan bahawa gendang pilihanraya kampus telah mula dipalu. Pro Mahasiswa berharap PRK kali ini berlaku dengan telus dan adil walaupun sebelum ini pelbagai diskriminasi yang telah dilakukan kepada pihak kami. Sekian.

Student Power!!!


MPP Evolusi menyertai Pro Mahasiswa UTM


UTM Skudai, 19 Jan : Ketua Jentera Pro Mahasiswa UTM, Saudara Mohd Amin Mohd Hamami sebentar tadi telah mengesahkan secara rasmi penglibatan seorang Majlis Perwakilan Pelajar yang bertanding atas tiket Evolusi pada sesi pilihanraya kampus lepas. MPP Evolusi yang dimaksudkan adalah saudari Siti Hadjar Mohd Arshad, Timbalan Presiden MPPUTM sesi 08/09.

Beliau juga telah menulis dalam blognya (lihat disini) tentang penyertaannya dalam Pro Mahasiswa, "Saya pasti. Keputusan ini bakal mewujudkan kontroversi. Tapi, demi erti sebuah kehidupan. Saya tekad untuk keluar dari Evolusi dan memilih Pro Mahasiswa. Saya takkan lakukan sesuatu tanpa alasan kukuh dari analisis panjang. Sudah lama saya fikir, perhati dan pertimbangkan. Sebelum segalanya terlambat. Biarlah saya keluar bebas dan pilih apa yang saya nak."

Hasrat murni ini disambut baik oleh ketua jentera Pro M yang sama sekali tidak menyangka dengan keputusan yang telah diambil oleh beliau.

“Saya tekad memilih keputusan ini dan tidak akan sesekali menyesalinya ”, ujarnya dalam perbualannya bersama Saudara Amin dan beberapa orang penggerak Pro Mahasiswa yang lain.

Walaupun hanya berbaki 2 hari sebelum pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar dilakukan, Beliau amat berharap keputusan yang diambil ini bakal mengubah paradigma berfikir mahasiswa UTM untuk memilih kepimpinan dengan lebih bijak pada pilihanraya kampus yang bakal berlangsung.

Saudara Amin, selaku ketua jentera sangat terbuka menerima sesiapa sahaja untuk menyertai Pro M. Sebelum mengakhiri perbualan, saudari Siti Hadjar sempat ditanya tentang kemungkinan lebih ramai lagi yang akan mengikut jejak beliau.

“InsyaAllah, tunggu dan lihat”. Jawab beliau ringkas

Mengikut maklumat yang diperolehi daripada jentera pusat Pro Mahasiswa, beberapa orang mahasiswa yang terdiri daripada JKM di sebuah kolej, mahasiswa kolej 11 dan beberapa persatuan lain juga telah bercadang untuk mengisytiharkan diri secara terbuka untuk menyertai Pro M disebabkan beberapa faktor yang telah dipertimbangkan dan setelah membuat perbandingan antara Pro M dan Evolusi.

Pro M melihat bahawa tahap berfikir mahasiswa UTM sudah semakin matang untuk menilai suasana politik kampus pada masa kini. Mahasiswa juga sudah tidak boleh "digula-gulakan" dengan "baju merah" dan material yang diberikan secara percuma oleh pihak evolusi yang didokongi oleh beberapa orang pengetua.

Justeru, Pro Mahasiswa mengajak semua mahasiswa untuk bersama-sama dengan kami. Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Saudari Siti Hadjar yang dahulunya Evolusi sudah bersama dengan Pro Mahasiswa. Anda bila lagi??

Student power!!!!

Selamat Berjuang Bersama Pro Mahasiswa kepada Saudari Siti Hadjar Mohd Arshad!!!

Tahniah Pro-M UMT !


UMT Kuala Terengganu, 17 Jan : Pro Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (PRO-M UMT) telah berjaya menawan kampus UMT dengan kemenangan mudah pada pilihanraya kampus yang diadakan hari ini. Proses pengundian ditutup lewat setengah jam iaitu pada pukul 5.30 petang disebabkan kelewatan masa mula mengundi.

Seramai 50 peratus daripada jumlah keseluruhan mahasiswa UMT telah turun mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka memilih kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2010.

Kemenangan ProM UMT ini sedikit sebanyak memberi semangat baru kepada semua penggerak Pro Mahasiswa dikampus-kampus lain khususnya UTM agar bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan Pro Mahasiswa pada pilihanraya kampus kali ini.

Ketua Jentera Pro-M UTM, saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami apabila diminta untuk mengulas berkenaan kemenangan Pro-M di UMT berkata,

"Kemenangan Pro Mahasiswa dalam Pilihan Raya Kampus di UMT merupakan satu berita baik yang merupakan catalyst bagi kami Pro Mahasiswa di UTM untuk berjuang dengan lebih gigih bagi memenangi PRK di UTM kali ini"

Sementara itu, Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Saudara Nur Azim Fahada bin Ahmad pula berpendapat,

"Kemenangan ini merupakan hasil usaha intensif untuk mencapai kemenangan. Perjuangan bukan sekadar kemenangan yang telah dicapai sekarang, tetapi akan ditonjolkan dalam seluruh sesi kepimpinan yang akan dihadapi."

Ujar beliau lagi, "Sebagai sahabat, pimpinan akan tetap memberi sokongan dan bantuan unutuk meletakkan mahasiswa di taraf yang terbaik dalam mendokong pembangunan negara."

Akhir sekali, seluruh penggerak Pro Mahasiswa UTM mengucapkan selamat memimpin kepada Pro M UMT. Berusahalah sebaik mungkin dalam memperjuangkan hak-hak mahasiswa yang telah memberi kepercayaan kepada kepimpinan anda. Memimpinlah dengan jujur, amanah dan berintegriti. Sekali lagi, tahniah kami ucapkan. Sekian.


Mahasiswa UTM semakin berani bersama Pro Mahasiswa, Tahniah!! - Pengerusi Pro M

UTM Skudai, 17 Jan : Kehangatan pilihanraya kampus UTM semakin dirasai oleh mahasiswa khususnya penggerak Pro Mahasiswa UTM mahupun Evolusi sendiri.

Pertembungan dua kelompok mahasiswa ini dilihat sebagai pertembungan dua entiti yang mempunyai gaya dan cara tersendiri. Pertembungan ini telah mendapat perhatian daripada mahasiswa yang menjadi penilai kepada situasi yang berlaku. Kesan kepada penilaian ini akan diterjemahkan dalam kertas undi sedikit masa lagi.

Pro Mahasiswa setakat ini telah dijemput oleh banyak pihak sama ada melalui persatuan mahupun individu untuk mendapatkan penjelasan berkenaan gagasan perjuangan yang ingin dibawa. Dan dalam siri pertemuan tersebut, beberapa kumpulan dan individu mula menyatakan kesediaan untuk menyertai Pro Mahasiswa.

Kesediaan mereka untuk bersama adalah atas dasar keyakinan bahawa Pro Mahasiswa dapat membawa satu kelainan dalam gagasan baru kepimpinan di peringkat kampus UTM. Solidariti diperingkat Pro Mahasiswa kampus IPT seluruh negara juga dilihat sebagai satu “signal” bahawa perjuangan Pro Mahasiswa adalah satu keseriusan.


Justeru, beberapa individu dari kalangan MPP Evolusi yang bertanding pada pilihanraya kampus lepas dan Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) Kolej yang baru dilantik telah bersedia untuk mengisytiharkan diri sebagai Penggerak Pro Mahasiswa manakala individu yang terlibat dalam JKM kolej telah bersedia untuk meletakkan jawatan untuk bertanding atas tiket Pro Mahasiswa. Perkara ini telah disampaikan kepada Ketua Jentera sendiri, Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami.

Mungkin ini adalah penterjamahan kepada suara tidak puas hati mahasiswa terhadap sekatan yang dilakukan terhadap Pro M dan sikap pilih kasih pihak pentadbiran mahupun campur tangan daripada pihak pengetua dalam soal pilihanraya kampus mahasiswa.

“Kami masih memberi ruang kepada beberapa orang individu tersebut untuk berfikir sebelum melakukan tindakan ini. Namun, di peringkat Pro Mahasiswa kami sangat mengalu-alukan semua mahasiswa untuk bersama-sama dalam perjuangan kami” Jelas Saudara Amin.

Tambah beliau lagi, “Dalam sedikit masa lagi, kita akan umumkan siapa mereka. Diharapkan ini akan lebih meyakinkan semua mahasiswa tentang kepimpinan mana yang sepatutnya mereka pilih pada pilihanraya kampus akan datang.”

Salah seorang individu daripada JKM Kolej yang bakal bertanding atas tiket Pro Mahasiswa menyatakan keputusan yang dibuat adalah nekad atas kesedaran diri sendiri dan bukanlah atas paksaan mana-mana pihak.

“Mahasiswa UTM semakin berani bersama Pro Mahasiswa, Tahniah!!. Oleh itu, saya mempelawa kepada semua Mahasiswa UTM untuk bersama-sama kami dalam memperjuangkan hak mahasiswa yang lain.

"Saya tahu, pihak evolusi memberi memberikan anda baju secara percuma tapi tidak mengapa, anda ambillah. Namun, apabila tiba masa mengundi bakal kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar kelas, berfikirlah secara bijak dan matang sebelum mengundi kerana anda adalah mahasiswa yang sudah boleh menilai.”
kata Saudara Azim, Pengerusi Pro Mahasiswa UTM semasa ditemui dalam Forum Isu-Isu Islam Mutakhir anjuran PMIUTM sebentar tadi.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...