Memperingati Peristiwa Tragis Sabra dan Satilla

Peristiwa yang bermula dengan pengepungan kem tersebut oleh tentera Zionis di bawah pimpinan Ariel Sharon pada tengah hari Rabu 15 September 1982 tersebut akan tetap tinggal sebagai contoh kebinatangan manusia yang tidak berhati perut hingga ke akhir zaman. Setelah semua pintu keluar disekat, kereta kebal tentera Yahudi mula membedil perkhemahan tersebut, sambil diawasi daripada bangunan-bangunan tinggi di sekeliling perkhemahan yang diduduki mereka, termasuk Kedutaan Kuwait, untuk dijadikan pos-pos pemerhatian. Sementara itu Sharon bertemu dengan pihak militia Kristian Falangist, di bawah Elie Hobeika, untuk mempelawa mereka masuk ke dalam perkhemahan pelarian Palestin dan "membersihkan" apa yang mereka sebut sebagai sarang pengganas.




Seterusnya bermula petang 16 September gerombolan pertama daripada sejumlah 1,500 orang militia Falangis, yang termasuk juga anggota-anggota Tentera Bebas Lubnan pimpinan Saad Haddad, masuk ke dalam kawasan perkhemahan dengan menaiki jip-jip yang dibekalkan oleh tentera Yahudi dan bersenjatakan senapang, pisau dan parang. Mereka lalu menjalankan "tugas" membunuh dan menyembelih pelarian Palestin di sana, malah merogol wanita-wanita juga, sambil tentera Zionis berkawal di luar sepanjang sempadan perkhemahan agar tiada siapa yang lepas lari keluar. Di sebelah malam tentera Yahudi menembak roket suluh (flares) ke atas perkhemahan bagi meneranginya - dikatakan sehingga terang benderang bagaikan padang bola, agar pihak militia Kristian di dalam dapat terus menjalankan pembantaiannya.



Pembunuhan beramai-ramai yang kejam tersebut berjalan terus-menerus selama lebih daripada dua hari, tanpa mempedulikan sama ada lelaki, wanita atau kanak-kanak, dan tanpa ada pembelaan atau pertahanan daripada sebarang pihakpun. Setelah tiba pagi sabtu 18 September barulah pengganas-pengganas Falangis meninggalkan perkhemahan, menghela mereka yang masih hidup keluar bersama untuk dibawa ke stadium pula untuk diinterogasi. Apabila kumpulan pemberita yang pertama dapat masuk ke dalam kawasan perkhemahan, mereka dapati jasad-jasad bertaburan di seluruh kawasan, banyak daripadanya telah dikerat-kerat. Hanya setelah itulah baru berita pertama mengenai pembantaian ini sampai ke pengetahuan masyarakat dunia.

Wartawan Amnon Kapeliouk, yang beliau sendiri juga seorang Yahudi, daripada akhbar Perancis Le Monde Diplomatique menganggarkan sejumlah 3,000-3,500 orang pelarian Palestin lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dibunuh dan disembelih dalam tempoh dua hari tersebut dengan penuh kejamnya. Ini mengambilkira sebanyak 2,000 mayat yang diselenggarakan selepas pembantaian, daripada sumber-sumber rasmi dan Palang Merah, dan seramai dianggarkan 1,000 hingga 1,500 lagi yang dibereskan sendiri oleh pihak pengganas Falangis. Selama begitu lama dunia tidak melihat suatu pembunuhan beramai-ramai pihak yang tidak bersalah yang bukan kombatan sebegitu, yang tidak dapat mempertahankan diri sendiri, dengan begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan.


Sehingga hari ini tidak seorangpun yang bertanggungjawab ke atas pembantaian kejam ini telah dibawa ke pengadilan, jauh sekali daripada dihukum setimpalnya. Ariel Sharon malah kemudiannya naik menjadi Perdana Menteri entiti Zionis pula. Komander Falangis, Elie Hobeika, juga terlepas daripada hukuman dunia malah kemudiannya menjadi Menteri Kabinet Lubnan pula dalam tahun1990an. Walau bagaimanapun ia mati lantaran bom kereta pada Januari 2002.

Nota:

Sebagai manusia terutamanya bagi muslim peristiwa ini amat tidak berperikemanusian. Norma-norma keamanan dunia semakin tercalar akibat tindakan kejam Kerajaan Zionis Israel ini.

Pro-mahasiswa UTM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam Zionis Israel laknatullah ini.

Sumber: Klik Sini

Selamat Kembali ke UTM


Selamat Kembali ke kampus kepada seluruh warga UTM. Pandulah berhati-hati dijalanraya. Ingatlah insan tersayang terumanya rakan-rakan & pensyarah-pensyarah anda. Pastikan kerja-kerja rumah yang diamanahkan sudah disiapkan dengan sempurna. \(^.^)/

Salam Mahasiswa!.

Kes Sosilawati: Respon daripada Pro Mahasiswa UTM

Berikut adalah respon daripada Naib Presiden (Fakulti) Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia, Nur Azim Fahada Bin Ahmad yang mewakili Pro Mahasiswa UTM berhubung Kes Pembunuhan Kejam Datuk Sosilawati dan tiga orang yang lain.

1) Pro Mahasiswa UTM melahirkan rasa syukur atas kejayaan pihak polis merungkaikan kes pembunuhan kejam jutawan komestik Datuk Sosilawati Lawiyah dan tiga orang pembantunya. Kes ini dapat dirungkaikan dengan kadar yang segera disebabkan tindakan pantas pasukan polis dalam menjalankan siasatan secara menyeluruh.

2) Kes kejam ini merupakan kes yang melibatkan isu rentas kaum, agama, latar belakang politik, dan norma kemanusiaan seperti yang dimomokkan dalam media massa. Nilai kemanusiaan dan integriti rakyat Malaysia seolah-olah dicalar dengan teruk apabila berlakunya kes jenayah berprofil tinggi. Ini disebabkan kes tersebut melibatkan pengamal undang-undang negara.

3) Kes ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia terdedah dengan pelbagai lagi kes yang tidak dapat diselesaikan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Ini terbukti terdapat banyak kertas siasatan yang dibuka semula berhubung kait soal pembunuhan Datuk Sosilawati dan kehilangan pedagang India yang telah dilaporkan sendiri oleh isteri beliau di atas tekanan antarabangsa.

4) Badan legislatif sepatutnya diperkukuh dan dimurnikan semula dari segi penjawatan dan peranan dalam melahirkan Malaysia yang harmoni. PDRM seharusnya bebas dalam melakukan gerak kerjanya tanpa terpengaruh dengan tekanan politik seperti dalam kenyataan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Bin Hassan baru-baru ini. Mahasiswa mengharapkan agar pasukan keselamatan lebih efisyen dalam menyelesaikan sesuatu siasatan kes jenayah yang semakin berleluasa.

4) Pro Mahasiswa UTM mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang pembantunya. Diharapkan seluruh ahli keluarga mereka tabah dalam menghadapi musibah yang menimpa.

5) Akhir sekali, saya mewakili Pro Mahasiswa UTM dan seluruh warga UTM berharap agar kes-kes terpencil tidak kira taraf, agama, bangsa dan taraf sosial dilayan siasatannya sama rata seperti kes-kes ternama yang melibatkan orang kenamaan. Jangan kita menjadi seperti yang disebutkan dalam peribahasa melayu; "Sudah terhantuk baru terngadah". Keselamatan rakyat haruslah menjadi keutamaan kerajaan dalam memelihara suasana harmoni dalam negara kita.

Sekian, terima kasih.

NUR AZIM FAHADA BIN AHMAD
Naib Presiden (Fakulti)
Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM

Merangkap,

Pengerusi Pro Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bharu.

18 September 2010


Sekolah Hamil: Selesaikah Masalah?

18 September: Penubuhan sekolah bagi pelajar hamil bukanlah sesuatu yang baru di negara ini bahkan telah wujud semenjak tahun 70-an lagi di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang antaranya terletak di Rembau, Cheras, Sarawak dan Batu Gajah di mana kemasukannya menggunakan Akta Perlindungan Wanita Dan Gadis 1973 (Akta 106).

Persoalan mula timbul apabila sekolah jenis ini yang pernah diwujudkan masih tidak dapat menyelesaikan permasalahan tetapi peningkatan kes terus berlaku bahkan semakin membimbangkan.Ini berdasarkan rekod JKM bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008.

Jumlah itu dipercayai lebih tinggi kerana ia berdasarkan kes dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan perlindungan di Taman Seri Puteri, selain statistik tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban sahaja.

Merujuk kepada penubuhan Sekolah Harapan oleh kerajaan Melaka yang mula dibuka pada 17 September 2010 (semalam) dengan menelan belanja RM100,000 ini, ia bertujuan menangani gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

Pengerusinya, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata keseluruhan bangunan Sekolah Harapan itu dilengkapi penghawa dingin termasuk di tiga kelas dengan setiap kelas menampung antara 10 dan 12 pelajar.

Keseluruhan lantai bangunan sekolah dua tingkat itu juga dipasang dengan permaidani bagi memberi keselesaan kepada pelajar hamil mengikuti pembelajaran. Beliau juga turut menjelaskan bahawa waktu pembelajaran pula adalah sama seperti waktu sekolah biasa dan kelas termasuk kelas komputer dan kemahiran memasak serta menjahit.

Seorang Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, Umi Kalsom dalam renspon beliau dalam blognya tentang isu ini berkata perkara ini secara dasarnya dilihat positif lantaran kemudahan dan keselesaan yang ditawarkan selain penyusunan silibus pengajaran yang dapat membantu pembentukan insaniah kepada bakal pelajar sekolah tersebut.

Ironinya, penubuhan sekolah ini bakal mencetuskan epidemik hamil luar nikah di kalangan pelajar kerana dijadikan penyelasaian masalah untuk menutup malu pelajar dan pihak lain yang berkaitan.

Beliau yang juga merupakan Ketua Fakulti Kejuruteraan Elektrik turut berkata "Perkara yang kita bimbangkan adalah implikasi lain yang timbul melalui doktrin persepsi yang menghalalkan penzinaan selain label atau stigma negatif yang akan digalas oleh bekas pelajar Sekolah Harapan ini di masa depan".

Perumpamaan ‘meracun rumput biarlah sampai ke akar’ wajar diaplikasikan bagi mengatasi permasalahan ini. Seharusnya semak semula bagaimana kestabilan institusi kekeluargaan yang menjadi entiti dalam pembentukan masyarakat hari ini" katanya bagi menyatakan perkara yang sepatutnya diberi keutamaan.

Sementara itu Bendahari Jabatan Kerohanian dan Integrasi Sosisal (JAKERIS) MPMUTM, Nur Syazana Bt Azahar berkata penubuhan Sekolah hamil bukanlah satu metodologi terbaik bagi penyelesaian masalah gejala sosial.

"Adakah dengan penubuhannya (Sekolah hamil) masalah sosial akan berkurang?" soalnya.

"Penubuhannya seolah-olah memberi satu 'tiket halal' untuk penzina sehingga tidak wujudlagi rasa bersalah setelah berzina kerana mereka tahu mereka akan dibela. Resolusi terbaik adalah mencari langkah awal sebelum masalah keterlanjuran ini berlaku dari hanya berindak selepas mereka terlanjur". tegasnya dalam mencari solusi kepada isu buang bayi yang acap kali berlaku.

Adakah anak remaja ini cukup imun melawan petogen gejala sosial dan hedonisme yang semakin berserakan di luar sana? Kita sama-sama lihat adakah perlaksanaan undang-undang di negara ini sudah cukup utuh untuk membejatkan penularan gejala pelajar hamil di luar nikah ini? Seterusnya, adakah sistem pendidikan yang diterapkan kepada pelajar-pelajar ini turut juga membentuk sahsiah diri yang seimbang dari segi rohani dan jasmaninya?

Ini adalah sebahagian dari persoalan yang harus dijawab jika kita bersungguh-sungguh mengatasi permasalahan ini hingga ke akar umbinya. Secara tuntasnya, setiap permasalahan yang timbul pasti akan terbentang penyelesaiannya asal tak jemu berusaha dan lakukan apa sahaja selagi tidak tersimpang dari panduan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai yang difirmankanNya yang bermaksud:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan sendiri mengenai urusan mereka, dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (al-Ahzab: 36).

Selamat Hari Malaysia 16 September 2010


Pro Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia mengucapkan Selamat Hari Malaysia 16 September 2010 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga UTM.

GAMAT Serah Memorandum Kepada MB Kelantan


Gabungan Anak Muda Tuntut Royalti (GAMAT) terus mengorak langkah dengan lebih serius apabila telah menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz semalam di Kota Bharu.

Penyerahan memorandum itu diadakan serentak dengan Majlis Mesra Eidulfitri Mahasiswa Bersama MB Kelantan.

Penyerahan memorandum itu diserahkan oleh Saudara Zaki Sukery (Presiden Ma’aruf Club UIA), Saudara Ahmad Syazwan Muhammad Hassan (YDP PMIUM), Abdul Razak Omar (PMIUM), Mohd Khairul Abdullah Halim (PMIUTM) dan Wan Baihaqi Abdul Rahman (PPIUNITEN).

Penyerahan itu sebagai tanda sokongan yang diberikan oleh anak muda Kelantan kepada kerajaan negeri Kelantan yang berusaha untuk mengembalikan hak royalti kepada rakyat Kelantan.

GAMAT yang ditubuhkan baru-baru ini telah menggabungkan semua anak muda di seluruh pelusuk Malaysia yang bertujuan untuk menyokong Tuntutan Royalti oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang dibuat oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz selain menuntut Royalti Minyak Kelantan dikembalikan semula sebagai hak Kerajaan Negeri Kelantan.

Di antara tuntutan lain GAMAT adalah memberikan hak royalti yang sepatutnya kepada rakyat Kelantan tanpa ada sebarang diskriminasi, jangan memutarbelitkan fakta dan isu royalti yang berlaku dan kerajaan perlulah bersikap adil kepada rakyat Kelantan tanpa mengira batasan politik.

Selain itu, sekiranya tuntutan mereka tidak dapat diselesaikan dengan berhemat, seluruh mahasiswa akan membawa isu ini ke kampus.

Penyerahan memorandum semalam juga memaparkan satu kain rentang yang penuh dengan tanda tangan sebagai sokongan anak muda Kelantan terhadap hasrat mereka itu.

GAMAT yang ditubuhkan oleh pemimpin persatuan-persatuan mahasiswa seluruh negara dilihat satu kebetulan kerana kebanyakan pemimpian tertinggi persatuan-persatuan tersebut adalah merupakan anak jati Kelantan.

sumber: http://promahasiswauiam.blogspot.com/

Konvoi Gaza: Pro M UTM Mengutuk Tindak Israel




Pro Mahasiswa UTM hari ini melahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab dan kejam regim Zionis Israel yang menyerang armada kapal induk Mavi Marmara yang membawa misi kemanusiaan konvoi bantuan antarabangsa Gaza.

Serangan Israel yang dilancarkan pagi tadi menyebabkan sehingga kini 16 orang syahid dan 30 lagi cedera. Sehingga kini dilaporkan 9 orang warga Turki dan bakinya adalah dari negara Arab yang terkorban di dalam misi kemanusiaan terbesar ini.

Konvoi kemanusiaan Gaza-Freedom Fotilla untuk rakyat Gaza ini yang membawa 7 buah kapal dan membawa sejumlah besar aktivis sukarelawan yang terdiri daripada ulamak, ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, aktivis, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun.

Konvoi ini juga diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) yang membawa 10,000 tan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza. Selain itu, terdapat lebih daripada 50 buah negara menyertai konvoi terbesar ini. Bahkan, tiada sebarang bentuk persenjataan dibawa oleh sukarelawan konvoi walaupun tujuan untuk mempertahankan diri.

Pro-M UTM mendesak dan menggesa Kerajaan Malaysia, anggota PBB, OIC, pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak bangkit mengutuk tindakan kejam Zionis Israel dan menuntut agar misi kemanusiaan terbesar ini dibenarkan masuk serta dapat menghantar bantuan ke bumi Palestin Gaza.

Pro-M UTM juga menyeru kepada semua mahasiswa Islam di UTM agar melakukan Solat Hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan aktivis konvoi dan rakyat Palestin.

Nur Azim Fahada Bin Ahmad
Pengerusi Pro Mahasiswa UTM

Perubahan Tempat Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2010

MAKLUMAT PENTING !!!

PERUBAHAN TEMPAT KONGRES GERAKAN MAHASISWA NASIONAL 2010

TEMPAT : DEWAN CENTRUM SETIAWANGSA, JALAN SETIAWANGSA 13, TAMAN SETIAWANGSA, 54200 KUALA LUMPUR. ( berhampiran Sekolah Kebangsaan Setiawangsa & Medan Selera Taman Setiawangsa )

PERASMI KONGRES : YB NURUL IZZAH ANWAR.



pelan ke lokasi terbaru Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 2010




View Larger Map

Mahasiswa boleh kritik kerajaan - Saifuddin


KUALA LUMPUR, 12 Mac:
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar sentiasa memperbetul setiap perkara yang dilihat salah bukan sahaja di universiti malah dalam pentadbiran negara.

Bercakap dalam satu forum anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Fakulti Sastera Sains Sosial Universiti Malaya malam tadi, Saifuddin berkata, ianya memerlukan keberanian dalam diri setiap mahasiswa dan mereka harus bertindak secara berjemaah.

Mahasiswa juga tegasnya boleh melontarkan kritikan kepada kerajaan dan kerajaan pula tidak seharusnya melabelkan pengkritik sebagai pembangkang.

"Mahasiswa boleh mengkritik Kerajaan, dan Kerajaan tidak boleh cop pengkritik sebagai pembangkang," katanya di hadapan lebih 150 mahasiswa yang hadir.

Menyentuh mengenai sudut pidato yang dihidupkan semula di IPT selepas 20 tahun ianya dihentikan, Saifuddin berkata, sudut pidato merupakan satu platform yang sesuai untuk mahasiswa melontarkan idea mereka melalui pengucapan awam.

Bagaimanapun, beliau yang mengakui mahasiswa mempunyai potensi untuk menggugat pentadbiran universiti mahu Hal Ehwal Pelajar (HEP) agar meletakkan halatuju yang betul dan memahami matlamat sudut pidato dihidupkan semula.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak universiti tidak mengenakan terlalu banyak peraturan terhadap penuntut yang ingin membuat pengucapan awam di sudut pidato sebaliknya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk mengendalikannya.

"Apa maksud mahasiswa menggugat? Mengugat apa? Menteri? Organisasi, HEP, atau KPT?Amalan buruk, rasuah, kebejatan, kebobrokan?

"Melalui sudut pidato. mahasiswa ada potensi menggugat. Sebab itu HEP perlu ada halatuju yang betul dan faham matlamat sudut pidato. Tak perlu banyak undang-undang dan arahan dalam sudut pidato. Biarkan mahasiswa bebas mengendalikan sudut pidato.

"Mahasiswa boleh berfikir dan menentukan halatuju kampus sendiri," katanya.

Sudut pidato kembali diwujudkan di UM selepas lebih 20 tahun ia diharamkan apabila Akta kolej dan Universiti (AUKU) diperkenalkan.

Dua lagi panelis forum 'Mahasiswa Menggugat: Antara Realiti dan Fantasi' itu, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof. Dr. Redzuan Osman dan bekas bekan fakulti berkenaan, Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar yang juga penulis buku 'Mahasiswa Menggugat'.

Sumber : Harakahdaily


Kembara Ilmu 2010

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...