IPT tidak boleh sekat kebebasan bersuara mahasiswa

Kuala Lumpur, 17 Jan: Pentadbiran universiti tidak boleh menyekat kebebasan bersuara mahasiswa yang disuarakan melalui sudut pidato yang diwujudkan kembali selepas diharamkan pada 1971.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, mengingatkan pentadbiran universiti supaya tidak menghalang ‘kebebasan’ itu dengan menetapkan pelbagai syarat bagi mahasiswa yang ingin bersuara.

“Sudut pidato adalah satu kejayaan suara mahasiswa, oleh itu, pihak universiti perlu memberi kepercayaan kepada pelajar menguruskannya dan juga beri kebebasan mereka bercakap.

“Jangan terlalu banyak sangat syarat kepada mereka (mahasiswa) untuk menggunakan sudut pidato... saya dengar ada universiti suruh mahasiswa isi borang tertentu dan sebagainya terlebih dulu, ini (sudut pidato) bukannya pertandingan.

“Kementerian Pengajian Tinggi tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada mahasiswa untuk menggunakan sudut pidato, tetapi pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti boleh memantaunya,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Selepas hampir tiga dekad sudut pidato diharamkan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Universiti Kebangsaan Malaysia (USM) menjadi perintis kepada program itu selepas ia diperkenalkan kembali tahun ini.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Zaini Ujang, bagaimanapun berkata, pelajar perlu bertanggungjawab terhadap apa yang disampaikan dan bersedia menerima hukuman sekiranya melanggar garis panduan ditetapkan universiti.

Sumber : Berita Harian

Suara Mahasiswa Berkumandang di UKM

UTM Skudai, 16 Jan : Ruang dan peluang telah dibuka seluas-luasnya kepada mahasiswa-mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) apabila Sudut Pidato atau Speakers' Corner (SC) telah diwujudkan semula setelah diharamkan hampir 40 tahun.

Jika disoroti sejarah, pada tahun 1965, Speaker Corner yang pertama di Malaysia telah diadakan di Universiti Malaya (UM) setelah mahasiswa disana mendapat inspirasi daripada pemindato-pemidato bebas yang hebat di Hyde Park, London. Mahasiswa ketika itu menjadikan SC tempat untuk mereka meluahkan pandangan dan pendapat masing-masing.

Ketika itu, Mahasiswa UM menghabiskan masa hujung minggu mereka dengan menghadiri SC untuk mendengar isu-isu terbaru yang diutarakan oleh sahabat-sahabat mereka. Secara tidak langsung, masa mereka dipenuhi dengan benda yang bermanfaat dan menjana minda. Namun kegemilangan SC di UM tidak bertahan lama apabila AUKU 1971 digubal dan SC telah diharamkan dan pentas SC dirobohkan.

Pro Mahasiswa UTM (Pro M) melihat ini sebagai satu situasi yang positif yang mana peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami Ketua Jentera Pro M, ketika ditemu bual menyatakan hasratnya untuk merealisasikan SC di bumi UTM.

"Di pihak kami (Pro M), kami akan cuba untuk menyakinkan pihak pentadbiaran universiti untuk melaksanakan SC di sini (UTM) kerana impak SC pada pembangunan minda dan sosial mahasiswa amat memberangsangkan", tambahnya lagi.

Diharapkan agar Speaker Corner yang menjadi tempat pertembungan idea-idea mahasiswa ini berkekalan supaya nilai mahasiswa itu tidak lesu dan mati kerana bekunya minda manusia yang bergelar 'pemimpin muda ini'.

Pro M : Salam pidato untuk semua!


Petikan Berita Harian 15/1/2010

  • UKM perintis selepas aktiviti diharamkan 1971
  • Pentas suarakan pandangan mahasiswa

    BANGI: Selepas kira-kira tiga dekad diharamkan, akhirnya Sudut Pidato atau Speakers' Corner di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan diwujudkan semula dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini menjadi perintis dalam memperkenalkan sudut itu, semalam.

    Sudut Pidato UKM itu terletak di kawasan terbuka di Teres Eko Niaga bersebelahan Perpustakaan Tun Sri Lanang yang menjadi tempat pelajar universiti berkenaan berehat dan menjamu selera.

    Sempena pelancarannya yang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tiga pelajar diberi peluang untuk berpidato, masing-masing selama lima minit.

    Mereka ialah Izzat Fathi Hisham, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi Fakulti Sains Sosial, Adlin Noramirah Mohamed, 19 (Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan) dan Syamimi Ab Rahman, 23 (Ijazah Sarjana Muda Syariah Perundangan Islam).

    Ketiga-tiganya menyentuh isu keusahawanan dengan Izzat mengaitkan masalah pengangguran di kalangan graduan dengan menimbulkan persoalan sama ada ia berpunca daripada sikap pelajar yang lebih selesa makan gaji atau sistem pendidikan di universiti sendiri.

    Sudut Pidato menjadi pentas popular untuk menyuarakan pandangan di kalangan mahasiswa pada 1960-an hingga 1970-an, sebelum diharamkan selepas pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.

  • Februari tahun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi menarik balik larangan itu menerusi pindaan semula AUKU, tetapi sejak itu belum ada universiti melaksanakannya. Dilema sudut pidato turut menjadi fokus dalam Varsiti sisipan terbaru Berita Harian pada edisi sulungnya, semalam.

    Pada sidang medianya selepas melancarkan Sudut Pidato UKM, Mohamed Khaled berkata, IPT lain mungkin masih menunggu permohonan daripada penuntut masing-masing untuk memperkenalkan sudut itu.

    Beliau bagaimanapun, berharap sudut itu menjadi medan terbaik bagi membangunkan kemampuan dan sikap bertanggungjawab pelajar, terutama dalam melontarkan pandangan serta mengupas pelbagai isu secara kritis dan intelektual.

  • "Kementerian tidak menetapkan garis panduan kepada penuntut dalam menggunakan sudut itu, sebaliknya menyerahkan kepada pentadbir IPT. Kita juga memberi kebebasan kepada pelajar dalam menyuarakan pandangan mereka, asalkan tidak menyentuh sensitiviti tertentu.

    "Apa yang penting, penuntut perlu bertanggungjawab dengan apa yang disuarakan kerana orang lain mendengar, melihat dan menyaksikan mereka.

    "Saya juga tidak ada masalah sekiranya mereka berbeza pendapat dengan saya tetapi matlamatnya sama iaitu untuk kebaikan," katanya yang turut merasmikan Teres Eko Niaga dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) UKM. Hadir sama Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

    Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menerima memorandum daripada sekumpulan pelajar Kolej Kediaman Pendeta Zaaba yang membantah tindakan tidak profesional pengurusan kolej, antaranya menaikkan yuran yang didakwa membebankan pelajar.

    Mohamed Khaled bagaimanapun, menegaskan orang luar tidak dibenarkan menggunakan sudut itu kerana ia khas untuk penuntut.

    "Mengapa perlu orang luar datang bagi memimpin penuntut, sebaliknya mereka perlu menjadi ketua," katanya.

    Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan menubuhkan Unit Keusahawanan di Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Kolej Komuniti dan Jabatan Politeknik dalam usaha mewujudkan nilai, budaya dan pemikiran keusahawanan di kalangan penuntut IPT.

    "Saya akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan supaya peruntukan RM20 juta yang dikhususkan untuk melaksanakan program keusahawanan di kalangan penuntut IPT di bawah program Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dulu disalurkan kepada kementerian untuk menjayakan program ini," katanya.

  • Mahasiswa Fakulti Sains bersama Pro Mahasiswa


    UTM Skudai, 15 Jan : Perlawanan bola sepak persahabatan antara Pro Mahasiswa UTM dan Mahasiswa fakulti sains telah diadakan di Padang Utama, UTM. Perlawanan Persahabatan ini disertai oleh penggerak utama Pro M UTM dan juga pimpinan Persatuan Fakulti Sains(PESAT).

    Perlawanan persahabatan bermula pada pukul 5.45 petang sebaik sahaja selesai melaksanakan solat sunat gerhana matahari di Masjid Sultan Ismail. Kemenangan hari ini telah berpihak kepada Pro Mahasiswa.

    "Perlawanan ini bukanlah bertujuan untuk mencari siapa menang, tapi apa yang paling penting adalah ukhuwwah yang terjalin antara Pro Mahasiswa dan Mahasiswa Fakulti Sains" Ujar Saudara Mohd Amin, Ketua Jentera Pro Mahasiswa sebaik sahaja perlawanan tersebut selesai.

    Saudara Faizuan yang merupakan mantan Presiden Persatuan Fakulti Sains apabila ditemui berkata, "Kami mahasiswa fakulti sains yang hadir dalam perlawanan persahabatan hari ini ingin menunjukkan kepada semua bahawa mahasiswa tidak perlu takut untuk berprogram bersama Pro Mahasiswa. Mahasiswa bukannya budak-budak sekolah yang sesuka hati untuk diarah dan digunakan. Jadi, tiada sebab untuk takut." Jelasnya ringkas.

    Turut hadir dalam perlawanan persahabatan petang tadi adalah beberapa orang wakil mahasiswa cina. Mereka hadir ke perlawanan persahabatan petang tadi sebagai tanda sokongan penuh terhadap perjuangan Pro Mahasiswa pada pilihanraya kampus kali ini. Pro Mahasiswa juga turut mengalu-alukan Chaw Sau Shen, mahasiswa Fakulti Sains Komputer yang sudi menawarkan diri secara suka rela atas tiket Pro Mahasiswa.

    Penyertaan Saudara Chaw Sau Shen pada pilihanraya kampus kali ini atas tiket Pro Mahasiswa adalah diatas kesedaran beliau untuk memperjuangkan hak mahasiswa. Beliau memilih Pro Mahasiswa juga adalah berdasarkan keyakinan terhadap penggerak Pro Mahasiswa yang dilihat lebih bersungguh-sungguh untuk memimpin mahasiswa. Keputusan ini juga diambil setelah meneliti perkembangan kedua-dua pihak dan perbincangan bersama beberapa mahasiswa cina yang lain. Justeru, petang tadi beliau telah membulatkan tekad untuk menyatakan hasrat secara rasmi kepada Ketua Jentera Pro Mahasiswa, Saudara Mohd Amin bin Mohd Hamami.

    Perlawanan persahabatan bola sepak petang tadi berakhir dengan sesi bergambar antara Penggerak Pro Mahasiswa dan Mahasiswa Fakulti Sains.

    Pro M : Majulah sukan untuk Mahasiswa.

    PRK : Pro-M turun ke Kolej 11

    UTM Skudai, 14 Jan - Berikutan aduan sebelas orang warga Kolej 11 yang menyatakan kerisauan mereka terhadap ugutan yang diberikan oleh pihak pentadbiran kolej, jentera Pro Mahasiswa telah turun padang bagi melihat keadaan sebenar tentang apa yang berlaku di Kolej 11.

    Seramai 50 orang sukarelawan Pro Mahasiswa telah menziarahi warga-warga Kolej 11 bagi mendalami masalah sebenar yang dihadapi oleh mereka. Ziarah ini juga dibuat bagi memberi penerangan berkenaan Pilihan Raya Kampus dan berbincang berkenaan isu-isu semasa Mahasiswa khususnya di Kolej 11.

    "Program ziarah pada malam ini merupakan satu usaha daripada pihak Pro Mahasiswa bagi memberi penerangan kepada warga kampus berkenaan Pilihan Raya Kampus yang akan diadakan tidak lama lagi" ujar Ketua Jentera Pro-M, saudara Mohd Amin Hamami.

    "Respon yang kami terima daripada warga Kolej ini sungguh positif. Mereka turut menyatakan kegembiraan mereka atas kunjungan yang dibuat oleh pihak Pro Mahasiswa." tambahnya lagi.

    Sementara itu, warga kolej 11 juga menyatakan kegembiraan mereka dengan kehadiran Pro Mahasiswa ke Kolej tersbut.

    "Kami amat berterima kasih kepada pihak Pro Mahasiswa atas usaha yang dilakukan dan Alhamdulillah kami bersyukur kerana kami mula faham apa itu Pilihan Raya Kampus."

    Sesi ziarah bermula pada pukul 9.30 mlm dan berakhir pada pukul 11.00 mlm.

    Surat Terbuka Pro Mahasiswa UTM Kepada Naib Canselor


    Kepada Ayahanda Prof Dato’ Dr.Ir Zaini Ujang
    Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia.

    Assalamualaikum w.b.t,

    Firman Allah yang bermaksud: "Serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al Hujurat, ayat 9)

    Saya amat berbesar hati sekiranya Dato’ dapat melapangkan sedikit masa untuk mendengar suara dan keluhan mahasiswa yang akan saya bentangkan kepada dato’ melalui surat ini. Moga kesudian Dato’ membaca dan memberi maklumbalas kepada surat ini tanda prihatin Dato kepada mahasiswa. Semoga ini dapat merapatkan lagi ukhuwwah antara pemimpin Universiti dan juga kami, rakyat Mahasiswa.

    Ayahanda Naib Canselor yang dirahmati Allah,

    Di kesempatan ini, saya mewakili Pro Mahasiswa UTM mengucapkan setinggi tahniah kepada yang berbahagia Dato’ diatas perubahan positif yang begitu mendadak sepanjang kepimpinan Dato’ dalam memimpin Universiti Teknologi Malaysia untuk lebih maju kehadapan. Dengan gagasan budaya ilmu yang cuba dibawa oleh Dato’,sedikit sebanyak telah memberi kesan yang positif kepada suasana universiti walaupun ianya belum dilihat secara menyeluruh.

    Namun, beberapa perkara yang saya cuba utarakan disini selaku wakil seluruh mahasiswa untuk memohon respon daripada Dato’ sendiri berkenaan pilihanraya kampus yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Suara Mahasiswa ini di adukan kepada Dato’ kerana status Dato’ sebagai Naib Canselor dan pemimpin teratas dalam pentadbiran universiti di lihat dapat membantu mahasiswa dengan membuat keputusan dan kenyataan secara adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak sama ada kepada Pro Mahasiswa, Evolusi Mahasiswa ataupun calon bebas yang bakal bertanding dalam pilihanraya kampus nanti.

    Merujuk kepada memorandum yang telah dihantar oleh pihak Pro Mahasiswa UTM kepada yang berbahagia Dato’, beberapa tuntutan yang telah kami gariskan. Salah satunya adalah melibatkan soal campur tangan dan keterlibatan “Pengetua Kolej” mahupun “Pentadbiran Universiti” dalam pilihanraya kampus yang akan diadakan bagi memilih kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai badan tertinggi yang bakal memimpin mahasiswa UTM.

    Tetapi, beberapa siri pilihanraya yang lepas telah menunjukkan bahawa telah berlaku ketidak adilan dalam pilihanraya kampus khususnya berkenaan ugutan dan ancaman daripada pihak pengetua kepada mahasiswa. Politik kampus seperti ini dilihat tidak sihat malah akan menyekat hak dan kebebasan mahasiswa untuk memilih kepimpinan secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

    Ayahanda yang dihormati,

    Melihat kepada situasi yang berlaku pada masa yang lepas dan pada hari ini, mahasiswa telah diugut untuk tidak mengundi, menyokong apatahlagi bertanding atas tiket Pro Mahasiswa malah mendapat ancaman untuk dibuang kolej walaupun aktif dalam JKM dan organisasi dalam kolej. Pelbagai aduan yang kami telah terima berkenaan keresahan mahasiswa untuk mengundi calon bukan pilihan pengetua. Oleh kerana itu, aduan itu terus diajukan kepada Dato' sendiri.

    Begitu juga yang dilakukan terhadap blog Pro Mahasiswa UTM (www.promahasiswautm.blogspot.com) sebagai lidah rasmi untuk menyampaikan maklumat telah disekat oleh pihak pentadbiran universiti daripada dilayari oleh mahasiswa manakala blog Evolusi Mahasiswa masih dapat dilayari seperti biasa tanpa sebarang sekatan. Ini sekaligus menafikan hak mahasiswa untuk mendapat maklumat secara telus,adil dan bebas daripada kedua-dua pihak menjelang pilihanraya kampus. Maklumat ini penting agar mahasiswa dapat menilai kepimpinan kedua-dua pihak dan memilih atas dasar kesedaran mereka sendiri, bukan kerana pengaruh mana-mana pihak atau faktor paras rupa.

    Ini telah menjadi persoalan kepada kami diperingkat mahasiswa. Apakah makna dan tujuan pilihanraya kalau perkara sebegini berlaku? Adakah ini yang dinamakan demokrasi kampus? Di mana hak mahasiswa untuk mengundi calon pilihan secara bebas? Dimana keadilan yang ditunjukkan oleh pihak universiti?.

    Ayahanda Dato’ Naib Canselor yang bijaksana,

    Justeru, Saya mewakili mahasiswa secara keseluruhannya menuntut agar Dato’ dapat memimpin universiti secara adil dan saksama dengan mengambil kira dan bertindak atas aduan ini.

    Renungi firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya." (Surah al Nahl, ayat 90)

    Rasulullah s.a.w bersabda: "Tujuh golongan yang Allah berikan lindungan kepada mereka pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan Allah; PEMERINTAH YANG ADIL, pemuda yang membesar dalam keadaan beribadah kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua lelaki yang berkawan dengan penuh kasih sayang kerana Allah bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, lelaki yang diajak berzina oleh seorang perempuan yang ada kedudukan serta mempunyai harta lalu dia berkata: aku takut kepada Allah, lelaki yang memberi sedekah lalu disembunyi hingga tiada diketahui oleh tangan kirinya apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya, dan lelaki yang berzikir mengingati Allah dalam keadaan sunyi lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah."(Hadis Muttafaq'alaih)

    Di samping itu ada beberapa hadis memberi amaran kepada pemimpin yang tidak adil serta tidak berbuat baik kepada golongan dipimpin. Antaranya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

    "Tidak seorangpun daripada hamba Allah diberi tanggungjawab memimpin, lalu dia mati pada hari dia dimatikan dalam keadaan melakukan penipuan terhadap rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya syurga." (Hadis Muttafaq 'alaih)

    Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud:

    "Barang siapa yang dilantik oleh Allah untuk menguruskan hal ehwal orang Islam tetapi dia tidak melaksanakan sesuatu yang memberikan kebaikan kepada mereka serta tidak memenuhi keperluan dan hajat mereka, nescaya Allah tidak akan memberikan sesuatu kebaikan kepadanya serta tidak memenuhi keperluan dan hajatnya pada hari akhirat." (Hadis riwayat Abu Daud dan al Tirmizi)

    Kita mengharapkan mahasiswa yang telah dibentuk sepanjang berada di UTM memperlihatkan keperibadian yang kita kehendaki. Kita mahu mereka ada sifat-sifat seorang pemimpin iaitu sekurang-kurangnya memperlihatkan sifat bertanggungjawab, amanah, syaja’ah, berani memperjuangkan hak mereka dan berani bersuara menentang ketidakadilan. Kualiti ini mungkin boleh kita lihat dengan mengkaji penglibatan mahasiswa dalam pilihanraya kampus. Ini adalah kerana penglibatan mahasiswa dalam pilihanraya kampus sekurang-kurangnya mencerminkan kesedaran mereka tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai warga kampus. Lantaran itu, kami diperingkat Pro Mahasiswa “memohon kenyataan balas” dari Dato’ berhubung perkara ini agar mahasiswa tidak takut untuk memilih calon pilihan mereka secara bebas. Akhir sekali, saya ingin memetik sepotong hadis buat renungan:

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya (apa yang dijaga); seorang pemimpin akan ditanya mengenai rakyatnya, seorang lelaki adalah penjaga kepada ahli keluarganya dan akan ditanya mengenai jagaannya, seorang perempuan adalah penjaga kepada rumah suaminya dan akan ditanya jagaannya, seorang khadam adalah penjaga kepada harta tuannya dan akan ditanya mengenai jagaannya, dan setiap kamu adalah penjaga dan akan ditanya tentang jagaannya." (Hadis Muttafaq 'alaih).

    Sekian, Wallahua'lam

    Mohd Amin Bin Mohd Hamami
    Ketua Jentera Pro Mahasiswa UTM 2010
    No.Tel : 013-7141139

    Nota:
    *Turut dilampirkan bersama surat ini rakaman yang diberikan kepada kami Pro Mahasiswa UTM oleh mahasiswa Kolej Rahman Putra untuk dinilai sendiri oleh Dato' . Download (disini) atau layari- http://www.4shared.com/file/195209381/3b16a99/Pengetua_KRP.html

    Kolej 11 : Kami Teraniaya

    UTM Skudai, 12 Jan - Seramai sebelas orang warga Kolej 11 terdiri daripada peserta PALAPES dan ahli JKM telah berjumpa dengan Ketua Jentera Pro-M, Saudara Mohd Amin Hamami semalam bagi menyatakan kerisauan mereka terhadap tindakan Pengetua mereka.

    Kerisauan mereka timbul akibat ugutan yang dibuat oleh pihak pentadbiran kolej yang menyatakan akan mengenakan tindakan buang kolej dan digugurkan daripada PALAPES sekiranya mereka terlibat dengan jentera Pro-M.

    Mereka mendakwa bahawa pengetua Kolej 11, Dr. Sulaiman bin Kadikon pernah memberi amaran kepada seluruh pelatih PALAPES dalam satu perjumpaan agar tidak melibatkan diri sebagai penggerak Pro Mahasiswa.

    Ironinya, pengetua juga telah mengumpulkan beberapa pelatih PALAPES dan ahli JKM untuk menjadi sebahagian daripada jentera penggera Evolusi Mahasiswa yang turut terlibat dalam Pilihan Raya Kampus yang akan datang.

    "Kami berhasrat agar saudara Amin dapat berunding dengan Pengetua kami agar kami bebas memilih, dan bergerak di dalam jentera Pro-M" harapan mereka kepada Ketua Jentera Pro M.

    Mereka juga berharap agar Amin dapat memperjuangkan isu ini supaya mahasiswa tidak lagi takut dan pengetua-pengetua lain tidak mengugut warga kolej mereka dengan ugutan sedemikian.

    Saudari Amin menerima kunjungan mereka dengan berbesar hati. Beliau juga turut berasa bersimpati kepada nasib pejuang-pejuang mahasiswa yang ditekan oleh beberapa pihak.

    "InsyaAllah kami akan cuba untuk berunding dengan beliau dan menggesa agar perkara ini tidak berlaku di pembukitan ilmu ini. Kami akan nyatakan pendirian kami tentang penglibatan pengetua dalam pilihanraya kampus" tegas beliau.

    Sekatan Web : Tindakan yang merugikan

    UTM Skudai, 12 Jan - Tindakan pihak pentadbiran universiti menyekat capaian mahasiswa ke laman web rasmi Pro Mahasiswa UTM telah menaikkan peratusan penyokong Pro Mahasiswa UTM dari kalangan warga kampus.

    Tinjauan wartawan Pro-Mahasiswa UTM di kampus Skudai mendapati rata-rata mahasiswa menyatakan kekesalan mereka terhadap tindakan pihak pentadbiran yang dilihat telah mencabuli kebebasan hak mahasiswa menyuarakan pandangan.


    Mereka turut bersimpati dengan sekatan yang dikenakan terhadap pergerakan Pro-Mahasiswa UTM dan menyatakan sokongan mereka dalam memperjuangkan hak mahasiswa di UTM.

    "Pihak pentadbiran seharusnya memahami keperluan mahasiswa untuk mendapatkan maklumat. Tindakan pentadbiran menyekat blog pro-m merupakan satu pencabulan hak." ujar Kah Wai, mahasiswa tahun 3.

    Ramai juga di antara mereka mempersoalkan tindakan pentadbiran yang dilihat berat sebelah kerana hanya menyekat web Pro-M UTM sedangkan blog Evolusi Mahasiswa masih boleh dilayari.

    "Mengapa mereka tidak sekat blog Evo-M sekali? Tiada guna blog mereka masih boleh dilayari jika mereka tidak kemaskini blog mereka. Kami mahukan informasi, bukan blog basi!" nyata seorang warga kampus yang enggan identitinya didedahkan.

    Warga kampus juga turut menghulurkan bantuan kepada Pro-Mahasiswa UTM dengan mencuba pelbagai cara bagi membolehkan lidah rasmi Pro-M UTM dapat didengari oleh segenap lapisan warga kampus.

    Mahasiswa hari ini merupakan anak muda generasi Y yang bijak menilai sesuatu perkara. Kini, mahasiswa tidak lagi mudah diperbodohkan oleh pihak-pihak yang gemar mengambil peluang atas kekuasaan yang mereka ada. Sekatan informasi merupakan satu penghinaan kepada mahasiswa.

    Dalam pada itu, Mohd Ainuddin seorang aktivis Pro-Mahasiswa UTM telah menyatakan keraguannya terhadap kesungguhan pihak pentadbiran Hal Ehwal Pelajar & Alumni dalam menjayakan Pelan Transformasi Pembangunan Mahasiswa (PTPM) yang dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor HEP A,Profesor Dr. Mohd Tajuddin Ninggal sempena Minggu Haluan Siswa UTM sesi 2009/2010.

    "Saya sangsi terhadap kesungguhan HEP dalam membangunkan Mahasiswa. Tindakan ini jelas bercanggah dengan kerangka PTPM yang menyatakan bahawa ledakan teknologi maklumat menjadikan mahasiswa lebih berilmu dan peka dengan suasana kehidupan masyarakat." jelas Ainuddin.

    Jelas beliau lagi "Dengan menyekat mahasiswa bersuara bererti pihak pentadbiran telah menyekat pemikiran mahasiswa. Sekiranya mereka mahukan mahasiswa yang mempunyai contemplative thinking, jangan biarkan kami mahasiswa berada dalam keadaan cognitive dossonance."

    Pentadbiran UTM digesa ikuti jejak langkah pentadbiran UPM

    Dalam suatu perbincangan antara Naib Canselor UPM, Prof Dato Nik Mustapha R. Abdullah dengan 6 orang wakil Pro-Mahasiswa UPM berhubung tuntutan pilihan raya kampus bersih dan adil yang diadakan petang tadi, beliau memberi jaminan tiadanya campurtangan pengurusan kolej dan MTM kolej dalam proses pilihan raya kampus kali ini.


    Jaminan ini diberi berikutan berlakunya tekanan daripada pengetua dan pengurusan kolej terhadap calon yang bertanding bukan tajaan daripada BHEP dalam beberapa sesi pilihan raya kampus UPM sebelum ini.


    “Pengurusan kolej dan MTM kolej tidak berhak membuat sebarang ugutan terhadap mana-mana calon yang bertanding”, tambahnya lagi.


    Menurut beliau lagi, semua mahasiswa berhak untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kampus kali ini samada menjadi calon bagi proses pilihan raya kali ini mahupun terlibat dalam proses kempen calon.


    Menurut Naib Canselor UPM itu lagi beberapa tuntutan yang dikemukakan wakil Pro-Mahasiswa ini akan dipertimbangkan dan ditunaikan. Antaranya adalah menyediakan layar bagi keputusan pengundian semasa dan badan pemantau bebas di kalangan mahasiswa sendiri.


    “Kami melihat, satu proses pemurnian dalam demokrasi kampus UPM bakal terealisasi hasil daripada perbincangan ini”, ujar Ahmad Faris Rakbi, Pengerusi Pro Mahasiswa UPM yang mengetuai delegasi bertemu Naib Canselor petang tadi.


    Sumber - http://promahasiswaupm.wordpress.com



    *Catatan :


    Pihak pentadbiran UTM seharusnya mengambil kira dan mempertimbangkan tuntutan dalam memorandum yang telah hantar kepada yang berbahagia Naib Canselor, Prof Dato' Dr.Ir Zaini Ujang baru-baru ini.


    Usaha murni pihak pentadbiran USM dilihat salah satu penghargaan kepada intelektualisme mahasiswa dalam memimpin bukan memperbudakkan. Ini berbeza dengan situasi yang berlaku di UTM dimana jentera pentadbiran seolah-olah dikerah untuk melawan Pro Mahasiswa pada pilihanraya kampus kali ini dengan melakukan sekatan maklumat dan sebagainya.



    Provokasi kepada bakal Calon Pro Mahasiswa


    UTM Skudai, 11 Jan : “Berpolitiklah secara matang”, tegas Pengerusi Pro Mahasiswa UTM apabila diminta mengulas berkenaan ancaman dan provokasi yang dilakukan terhadap calon Pro Mahasiswa, Saudara Mohamad Uzair Bin Azizan.

    Saudara Uzair dikejutkan dengan dengan provokasi dan ancaman awal berkenaan hasratnya untuk bertanding di bawah tiket Pro Mahasiswa apabila motor beliau disimbah dengan cat berwarna oren.

    Kejadian tersebut mengundang pelbagai andaian dan persepsi yang dilontarkan oleh warga kampus. Sebelum ini Saudara Uzair merupakan calon Evolusi@Aspirasi tetapi telah mengubah hasrat untuk bersama-sama dengan perjuangan Pro Mahasiswa dalam pilihanraya kampus kali ini.

    Beliau yang hanya menyedari peristiwa itu pada tengahari semalam agak terkejut dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan hal ini. Namun, beliau masih belum mengetahui motif kenapa perkara tersebut dilakukan terhadap beliau.

    Ketua Jentera Pro Mahasiswa UTM, Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami yang pada ketika itu sedang mengadakan bengkel Pemerkasaan Gerakan Mahasiswa bersama beberapa pimpinan kampus sekitar negeri Johor apabila dihubungi turut merasa terkejut dengan insiden yang berlaku. Beliau tidak menyangka provokasi yang dilakukan kepada bakal calon Pro Mahasiswa sampai ke tahap ini.

    Tambah beliau, “Kami diperingkat Pro Mahasiswa akan mengambil langkah berjaga-jaga selepas ini khususnya terhadap calon-calon dibawah tajaan kami dan berharap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan perbuatan terkutuk ini. ”

    Setelah kejadian tersebut, saudara Uzair tidak putus-putus menerima kunjungan,panggilan dan sms dari sahabat-sahabat yang bersimpati dengan kejadian yang menimpa beliau.

    Lagu Rasmi Pro-M Nasional versi UTM

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...