Selamat Menghadapi Peperiksaan

Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir Semester 1 2009/2010

Selamat Datang

Selamat Datang diucapkan kepada semua mahasiswa baru Universiti Teknologi Malaysia Sesi 2009/2010...
Selamat Datang

Ekspo Ponggal

Pro Mahasiswa UTM ke Ekspo Ponggal anjuran Persatuan Mahasiswa Hindu UTM
Ekspo Ponggal

Ekspo Tahun Baru Cina

Pro Mahasiswa UTM ke Ekspo Tahun Baru Cina
Ekspo Tahun Baru Cina

Jalan-jalan bersama NC

Pro Mahasiswa UTM jalan-jalan bersama Dato' NC di sekitar UTM
Jalan-jalan bersama NC

MPM Pro-M UTM

Barisan Majlis Perwakilan Mahasiswa dari Pro-Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia
MPM Pro-M UTM

Kemana bekas bakal Presiden Evolusi@Aspirasi?

Oleh Pro Mahasiswa UTM

Oleh : Qawiyul Amin

Penulis dimaklumkan bahawa bekas bakal Presiden Evolusi@Aspirasi yang gagal merebut tempat Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa suatu masa dulu kini sudah ghaib ditelan duka nestapanya. Penulis juga difahamkan beliau jarang sekali dilihat datang ke Pejabat MPM, mungkin kerana kesibukan dengan komitmen lain.

Mungkin beliau telah meletak jawatan tanpa memaklumkan kepada Presiden MPM yang sebenar. Kesian. Kesilapan percaturan dalaman Evolusi@Aspirasi telah menyebabkan beliau disingkirkan dari menerima pangkat yang menggunung tinggi, pangkat yang digilakan oleh orang yang mahu namanya terpahat dalam lipatan sejarah UTM.

Evolusi@Aspirasi akan terus melahirkan pemimpin mahasiswa yang tiada jati diri, tiada halatuju perjuangan yang jelas. Konsep tangkap muat asalkan menang telah lama dipraktikkan oleh Evolusi@Aspirasi tanpa mengira kredibiliti dan kualiti kepimpinan calon-calon mereka.

Berdasarkan maklumat yang sampai kepada penulis, ada beberapa lagi nama MPM Evolusi@Aspirasi yang turut ghaib dari pandangan mahasiswa. Hairan sungguh penulis dengan sikap wakil-wakil mahasiswa Evolusi@Aspirasi ni.

Oh ya, mungkin sejak dari awal lagi mereka telah dipilih oleh ‘penaja-penaja’ yang berkepentingan, jadi mereka bukan dilantik sebagai perwakilan mahasiswa, tetapi perwakilan HEP atau perwakilan Pengetua kolej. Begitulah gamaknya.

Macam-macamlah cerita politik kampus. Bilalah Evolusi@Aspirasi nak lahirkan pemimpin mahasiswa yang komited dengan amanahnya?

Bagaimana Evolusi@Aspirasi membodohkan pemimpin mahasiswa?

Oleh Pro Mahasiswa UTM

Oleh : Qawiyul Amin*

Anda tahu bagaimana Evolusi@Aspirasi UTM membodohkan calon-calon mereka dalam pilihanraya kampus lepas?

Penulis merujuk kepada Pilihanraya Kampus UTM 2008, dimana sejumlah calon tangkap muat telah dihantar oleh Evolusi@Aspirasi untuk mewakili kumpulan mereka.

Jika diteliti, calon-calon yang betanding di kerusi umum yang dihantar oleh Evolusi@Aspirasi adalah berjumlah seramai 16 orang manakala 6 calon mewakili Pro Mahasiswa dan seorang calon bebas.

Apakah tujuan Evolusi@Aspirasi melambakkan calon-calon mereka yang cuma ditangkap muat oleh pengetua-pengetua kolej sedangkan kerusi umum yang dipertandingkan hanya 10 kerusi? Adakah ada agenda tersembunyi atau ada tangan-tangan ghaib yang cuba mencaturkan calon-calon tersebut? Kesian mereka..

Pada hemat penulis, Evolusi@Aspirasi cuba memperbodohkan bakal pemimpin mahasiswa semasa-mata untuk meningkatkan peratusan kemungkinan mereka memenangi majoriti kerusi umum. Sedangkan calon yang mengalami kekalahan akan terus disisihkan malah langsung tidak dipandang oleh ‘penaja-penaja’ Evolusi@Aspirasi.

Inilah politik murahan Evolusi@Aspirasi yang membodohkan bakal pemimpin mahasiswa.

Dengan menggunakan nama Evolusi@Aspirasi, mereka telah menghantar sebanyak mungkin calon ke dalam pertandingan kerusi umum, maka peluang untuk Evolusi@Aspirasi menang majoriti adalah lebih besar walaupun terpaksa mengorbankan beberapa calon. Penulis juga sangat memahami, ‘arahan dari langit’ yang mengarahkan supaya kemenangan berpihak kepada calon mahasiswa yang pro-kerajaan telah menyebabkan ‘mereka’ bertungkus lumus untuk memenangkan calon tangkap muat itu walaupun terpaksa membodohkan bakal pemimpin mahasiswa.

Sekali lagi, inilah politik murahan Evolusi@Aspirasi.

Evolusi@Aspirasi tidak akan menggugurkan atau mengurangkan calon-calon mereka mengikut jumlah kerusi yang dipertandingkan kerana khuatir calon-calon tersebut akan melompat dan menyokong Pro Mahasiswa. Evolusi@Aspirasi bersama labu-labunya akan terus takut dengan bayang-bayang sendiri, kerana Evolusi@Aspirasi tidak mempunyai suatu agenda perjuangan idealism yang jelas, tetapi cuma mengikut telunjuk ‘penaja-penaja’ yang berkepentingan.

Calon Fakulti

Lambakkan calon Evolusi@Aspirasi di fakulti-fakulti juga turut berlaku.

FPPSM : 4 calon aspirasi untuk merebut 3 kerusi.

FKE : 4 calon Aspirasi untuk merebut 3 kerusi.

FKM : 5 calon Aspirasi untuk merebut 3 kerusi sedangkan Pro Mahasiswa tidak menghantar calon lawan.

FKKSA : 4 Calon Aspirasi untuk merebut 3 kerusi.

FKSG : 4 Calon Aspirasi untuk merebut 3 kerusi.

Di fakulti yang tidak disertai oleh Pro Mahasiswa, jika mereka hanya menghantar 3 orang calon sudah pasti Evolusi@Aspirasi akan menang tanpa bertanding. Apakah agenda Evolusi@Aspirasi untuk pembangunan kepimpinan mahasiswa??

Evolusi@Aspirasi akan menjadi sebuah kumpulan yang mempunyai limpahan wang yang banyak, tapi tetap pengecut untuk bertanding 1 lawan 1 di setiap kerusi yang dipertandingkan. Evolusi@Aspirasi takut nasib tidak menyebelahi mereka yang akan mengakibatkan tiada alasan dan jawapan untuk dihantar ke ‘langit’.

Kepada bakal-bakal calon Evolusi@Aspirasi untuk PRK akan datang, anda akan terus diperbodohkan lagi sekali oleh ‘penaja-penaja’ anda.

Sudah-sudahlah..cukup-cukuplah otak mahasiswa jadi tin kosong. Mahasiswa sekarang bukan senang nak diperbodohkan..

*Qawiyul Amin merupakan salah seorang penulis jemputan yang dijemput untuk menulis dalam ruangan kolumnis blog Pro Mahasiswa UTM.

[Bajet 2010] Apa saranan Mahasiswa?

Oleh Pro Mahasiswa UTM



Kuala Lumpur 23 Sept - Pembentangan Bajet 2010 telah berjalan dengan jayanya di Dewan Rakyat hari ini. Bajet 2010 yang dibentangkan oleh DATUK Seri Najib Tun Razak diselaraskan dengan tema '1 Malaysia'. Pembentangan Bajet 2010 dilihat sebagai pemberi nafas baru kepada keadaan ekonomi Malaysia pada tahun depan. Pelbagai inisiatif telah diambil untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

maklum balas

Tun Dr. Mahathir telah memberi sedikit maklum balas yang berkenaan yang Bajet 2010 yang berkaitan dengan pelaburan langsung asing (FDI) dan pakej rangsangan ekonomi. "FDI yang berintensifkan buruh perlu dikaji semula kerana, ia tidak membantu kita," katanya. Pakej rangsangan yang telah dilancarkan sebelum ini pula memerlukan audit sebelum memperkenalkan pekaj rangsangan yang baru.

mahasiswa

Apabila melihat Bajet 2010 melalui kacamata seorang mahasiswa, apakah respon kita terhadap belanjawan yang bakal menentukan masa depan negara yang kita cintai? Adakah kita sekadar berterima kasih dengan komputer riba yang berharga RM 1,200 yang bakal dibekalkan kepada mahasiswa yang berkelayakan. Itu sudah semestinya, tetapi kita mestilah menilai fenomena ini dengan skop yang lebih luas.

kritikal

Sebagai mahasiswa yang menjadi cermin pemimpin, kita perlulah menilai Bajet 2010 ini dengan secara lebih kritikal atau lebih mendalam. Apakah kesan belanjawan ini dalam jangka masa pendek dan juga panjang contohnya. Apakah signifikan belanjawan ini kepada rakyat bandar dan luar bandar dan pelbagai lagi persoalan yang dapat membantu menjadi penilai dan penimbang keatas sesuatu keputusan kerajaan.

sedia

Proses ini dapat dilihat sebagai proses pembelajaran yang tidak formal yang dapat menyediakan mahsiswa sebagai pemimpin masa hadapan. Selain pemimpin, mahasiswa juga bakal dilabel sebagai sumber tenaga mahir dan modal insan yang berkualiti dan hal ini, sedikit sebanyak bakal menentukan nasib negara ini suatau masa nanti.

Mahasiswa : kami usaha dan kami amal.

MBMMBI ?

Oleh Pro Mahasiswa UTM


Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011.


Dasar baru

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan satu dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) mengenai rasional kerajaan menunggu sehingga 2012.


Kaji

MBMMBI yang bakal dilaksanakan ini sememangnya akan memberi impak yang besar di dalam suasana Pengajaran dan Pembelajaran(P&P) di sekolah, seterusnya mengubah sistem pendidikan di Malaysia. Justeru itu, pengkajian yang teliti perlulah dilaksanakan bagi mengelakkan peristiwa yang sama berulang, ibarat pisang berbuah dua kali.


Harapan

Pendidikan merupakan antara perkara yang perlu dititikberatkan di dalam pembinaan sesebuah negara bangsa. Tambahan pula di negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Melalui sistem pendidikan, perpaduan dan keharmonian negara dapat dikekalkan. Semoga dengan terlaksananya dasar baru ini, rakyat terutamanya dapat terus mengecapi kemajuan di bumi bertuah ini.


Mahsiswa : Kami sokong apa yang benar, kami sanggah apa yang batil.


Pro-M di Hati

Oleh Pro Mahasiswa UTM



Skudai : Laman web sosial yang sedang menjadi kegilaan para remaja pada hari ini Facebook, telah digunakan sebagai salah satu medan untuk Pro-Mahasiswa UTM untuk mendekatkan diri dengan mahasiswa/i UTM khususnya dan Malaysia ammya.

lancar

Proses pelancaran laman web sosial itu, telah disempurnakan oleh wakil Majlis Perwakilan Pelajar MPP UTM, Saudara Nur Azim Fahada di Masjid Sultan Ismail disini semalam. Katanya, "Facebook Pro-M ini diwujudkan bagi memenuhi kehendak suasana semasa. Semoga dengan kehadiran Facebook ini, mahasiswa/i dapat menjadikannya, medan untuk berinteraksi secara sihat dan menggunakannya untuk tujuan yang berfaedah".





2 dalam 1

Kewujudan Facebook Pro-M ini dapat dilihat sebagai proses timbal balik dengan kewujudan blog Pro-M yang sedia ada. Ismail, salah seorang mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Elektrik, menyifatkan bahawa, Facebook ini adalah alternatif kepada sesiapa yang kurang berminat dengan blog.

Mahasiswa : Pro-Mahasiswa perlu global dan glokal

Tahniah UTM!

Oleh Pro Mahasiswa UTM





Anugerah Merdeka

3 daripada 4 orang penerima Anugerah Merdeka 2009 adalah warga UTM! Anugerah yang berprestij itu disampaikan oleh PM Dato' Seri Najib di Dewan Filharmonik Petronas. 4 orang yang bertuah tersebut adalah Prof Dato' Ir. Dr. Zaini Bin Ujang, Naib Canselor UTM bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik, Prof Dr. Halimaton Binti Hamdan, penyelidik kanan UTM bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi serta penerima bersama bagi kategori Pendidikan dan Komuniti, Tun Dr. Fatimah Binti Hashim(Mantan Pro-Canselor UTM 1995-1998) bersama Datuk PG Lim.

THE-QS

Untuk makluman, kejayaan demi kejayaan telah digapai oleh UTM. Antaranya ialah kenaikan kedudukan UTM di dalam 'Ranking THE-QS'. Times Higher Education-Quacquarelli Symonds (THE-QS) ialah sistem penarafan Universiti di serata dunia. Kedudukan semasa UTM adalah di tempat 320 berbanding 356 pada tahun lalu, disifatkan dengan satu perubahan yang positif. Hanya UTM dan UM yang mencatatkan kenaikan pada tahun ini.

Pencapaian yang membanggakan ini sekali gus telah menaikkan nama UTM di arena dunia akademik Malaysia. Sehubungan dengan itu pihak Pro-M UTM dengan ini menyeru agar mahasiswa/i UTM dapat mengerah tenaga, memerah keringat bagi membantu UTM dalam mengecapi kemahsyuran disamping dapat meningkatkan kecemerlangan akademik mahasiswa/i itu sendiri.

Mahasiswa : kami sedang berjuang ('study week')

Kementerian benar sudut pidato diwujudkan di IPT

Oleh Pro Mahasiswa UTM

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
Kementerian benar sudut pidato diwujudkan di IPT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi membenarkan sudut pidato atau Speaker's Corner
diperkenalkan semula di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengasah
bakat pengucapan umum berkesan di kalangan warga kampus.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata aktiviti yang boleh
dilaksanakan pada bila-bila masa itu sebelum ini dihentikan berikutan
pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU). Sambil menjelaskan
aktiviti itu boleh diperkenalkan semula setelah AUKU dipinda Februari lalu,
beliau berkata, sudut itu memberi pelajar peluang menyuarakan pendapat menerusi
pidato umum yang dinanti-nantikan warga kampus.

"Kementerian memberi peluang pelajar berkongsi pengetahuan dengan mengemukakan
isu dan topik bernas untuk dikongsi bersama, selain dapat memperkemaskan sistem
pengurusan sedia ada dalam usaha memartabatkan IPT.

"Mahasiswa adalah golongan pencetus minda positif dan idea membina dalam
membangunkan komuniti kampus serta masyarakat sekeliling," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya
Aidilfitri 2009 Peringkat Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus
Antarabangsa dan pelancaran Tabung Kemanusiaan Gempa Sumatera, di Kuala Lumpur,
kelmarin.

Saifuddin berkata, pelajar bebas berpidato dengan mengemukakan isu semasa,
antaranya politik, ekonomi dan sosial selain pandangan serta kritikan bernas
dalam memperkasakan pentadbiran IPT dan negara.

"Kami lebih liberal dalam hal ini kerana yakin pelajar mempunyai wawasan dan
pandangan jelas mengenai setiap topik dan isu yang akan mereka kemukakan.

"Usaha ini adalah antara langkah kementerian lakukan bagi melahirkan pelajar
serba boleh dan mempunyai semangat juang tinggi," katanya.
Mengimbau kembali kegemilangan sudut pidato di IPT sekitar 1960-an hingga 1970,
katanya, pemimpin pelajar ketika itu di kalangan mereka yang petah berpidato dan
mempunyai idea bernas untuk dikongsi bersama. Beliau berkata, pemimpin kampus
juga mempunyai pengikutnya yang berpengaruh dalam memperjuangkan hak dan
kepentingan rakyat, hasilnya negara mempunyai pemimpin yang berani dengan
semangat juang tinggi.

"Ramai pemimpin negara hari ini lahir di kalangan pemidato yang bernas mindanya
ketika di kampus dan kini menjadi tokoh disegani," katanya.

Mengulas kemungkinan kelonggaran itu menyebabkan pelajar menjadi alat pihak
tertentu menyalurkan dakyah politik mereka, Saifuddin berkata, warga kampus
golongan berpelajaran.

Katanya, mahasiswa tidak terpengaruh dengan anasir negatif yang cuba
mempengaruhi mereka kerana masing-masing berfikiran matang, manakala topik
perbincangan pula dikupas secara rasional sesuai tahap pendidikan.

* dipetik dari Berita Harian online
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Pendidikan/20091015072153/Art\
icle/index_html

Akhbar Percuma di Kolej Kediaman

Oleh Pro Mahasiswa UTM

Pagi ini mahasiswa di UTM dikejutkan dengan pengedaran akhbar Berita Harian yang dilabel dengan naskhah percuma bertarikh 17 Oktober 2009 di beberapa kolej kediaman mahasiswa di sini. Akhbar tersebut yang mengandungi 17 daripada 40 halaman laporan penuh Perhimpunan Agung UMNO yang ke-60 di PWTC.

Pengetua-pengetua kolej yang berkaitan masih belum dapat dihubungi pihak Pro-M UTM bagi mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut. Pengerusi Pro-M UTM, Nur Azim Fahada ketika ditemui berkata beliau amat terkejut dengan pengedaran akhabar tersebut yang dilihat sebagai motif politik oleh sesetengah pihak.

Tidak patuhi spesifikasi

Ketika akhbar tersebut sampai ke tangan pihak Pro-M akhbar tersebut didapati tidak mengandungi cop daripada pihak kolej kediaman bagi tujuan pengedaran kepada mahasiswa dan dilaporkan diedarkan kepada setiap bilik di kolej kediaman. Seorang mahasiswa yang tidak mahu namanya disiarkan berkata "Saya amat terkejut bila satu aras kami dapat surat khabar free hari ini, tapi rasa pelik pun ada."

Saranan

Pihak Pro-M UTM dengan ini menyarankan agar pihak pentadbiran UTM dapat meneliti perkara ini sebaik mungkin. Kami yakin mahasiswa UTM tidak pelik jika akhbar percuma diedarkan secara berkala kerana ia dapat membantu mahasiswa mendekatkan diri dengan info-info semasa tetapi, apakah rasionalnya, naskah percuma ini hanya diedarkan pada tarikh-tarikh tertentu sahaja?

Mahasiswa : Kami mahu naskhah percuma setiap hari.

DUGAAN, BALA ATAU PERINGATAN DARIPADA ALLAH??

Oleh Pro Mahasiswa UTM

Gggggggggggggg….. apa yang sedang berlaku ni? Terasa gegaran yang amat pelik. Rupa-rupanya rasa gegaran ini adalah kesan daripada gempa bumi yang terjadi di negara jiran kita, Indonesia. Gegaran ini turut dirasai di sesetengah tempat di Malaysia. Terdapat beberapa orang pelajar mengatakan bahawa kesan daripada gempa bumi ini turut dirasai di universiti kita yang tercinta ini, iaitu UTM. Di Jakarta, gempa bumi yang berukuran 7.6 Richter yang berlaku di Padang pada 30.09.2009 yang lalu, telah menyebabkan ramai yang terkorban dan membawa kepada banyak kemusnahan bangunan. Namun, ia tidaklah sekuat yang dijangka oleh pakar. Adakah ini bermaksud gegaran tersebut masih kecil bagi manusia? Benarkah begitu?????

Menurut seorang pakar geologi, Danny Hilman Natawidjaja dan Institusi Sains Indonesia, tekanan telah pun terkumpul sejak beberapa siri gegaran dalam beberapa tahun yang lalu, di garisan kepingan bumi di bawah bandar yang mempunyai seramai 900 000 penduduk itu. Jadi menurut mereka, hasil dari kajian semenjak 12 tahun yang lalu mendapati bahawa tekanan yang terkumpul seperti itu boleh menyebabkan gempar bumi yang lebih besar berlaku iaitu sehingga melebihi 8 richter dan boleh mencetuskan tsunami. Natawidjaja dan rakan penyelidikannya, Profesor Kerry Seih dari Universiti Teknologi Nayang Singapura percaya bahawa tekanan yang terkumpul itu boleh mencetuskan gempar bumi pada hari kejadian. Astagfirullahal’azim… Subahanallah… Kalaulah perkara tersebut benar-benar berlaku……….

Pada tahun 2004, gempar bumi yang berukuran 9.15 Richter dengan pusat gegaran 600km di utara Padang, telah mencetuskan tsunami yang menyebabkan 232 000 orang terkorban di beberapa buah negara dengan jumlah maut yang tertinggi adalah di Wilayah Aceh. Gempar bumi yang berukuran 8.8 boleh mencetuskan tsunami setinggi 4-10 meter. Walaupun Padang terletak di kawasan gempar bumi yang paling aktif, namun pihak berkuasa bandar tersebut masih gagal membuat persediaan untuk menghadapi bencana itu. Struktur yang telah sedia ada bukanlah direka untuk berdepan dengan gegaran besar dan akibatnya, banyak kerosakan yang amat teruk berlaku.

Akhbar melaporkan hampir 3 000 mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Padang, ibu Kota Wilayah Sumatera Barat itu. Gegaran ini mengakibatkan kemusnahan yang teruk berlaku di sebahagian besar Sumatera Barat dengan membawa kerosakan kepada kemudahan-kemudahan awan dan kira-kira 500 buah bangunan termasuk rumah, hotel dan pusat membeli belah. Cuba kita bayangkan sebuah hotel 4 tingkat telah menjadi 1 tingkat di mana tingkat ke 4 bangunan tersebut menjadi ground floor.
Lebih kurang 100 orang mangsa dipercayai terhimpit di celah-celah runtuhan lantai, bumbung dan dinding hotel Ambancang, 50 orang murid masih tertimbus di bawah tanah runtuh yang menenggelamkan sekolah mereka di Desa Tandidek, Pariaman dan 200 orang lagi masih hilang, juga dipercayai tertimbus runtuhan dua bukit di Petamuan, Padang Pariaman.
Cukup menyayat hati apabila melihat satu persatu bala yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia pada hari ini. Daripada sekecil-kecil bala sehinggalah sebesar-besar bala yang telah menakutkan dan menyeksakan kehidupan kita. Juga, memedihkan perasaan kita dan memilukan hati nurani kita semua. Adakah semua bala yang diturunkan hanya sekadar bencana alam semata-mata ataupun masalah kebersihan yang tidak dijaga dan mengundang penyakit atau virus? Hanya orang yang berfikir, menghayati, insaf dan merenung sahaja yang akan mengetahui jawapannya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan atau bala bencana maka ia adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan perbuatan salah dan berdosa dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu” (As-syura; 30).

Seramai 356 orang warga Malaysia termasuk para pelajar telah dibawa pulang ke tanah air dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada jurusan perubatan di Universiti Andalas, Padang. Manakala lebih kurang 30 orang pelajar lagi mengikuti pengajian agama di Universiti Iman Bonjol di Lubok Lintah yang juga terletak di Padang. Bagaimanakah nasib dan masa depan mereka selepas ini???? Masih dalam perbincangan mesyuarat jemaah menteri lagikah???

Bantuan kemanusian amatlah diperlukan bagi menbantu proses pencarian mangsa-mangsa yang tertimbus di dalam runtuhan bangunan amnya. Bahkan pihak UTM sendiri turut menghantar 14 sukarelawan ke Padang untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana gempar bumi. Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Mohd Azrai Kassim mengatakan di dalam sebuah laporan akhbar, pasukan yang terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan universiti akan menyediakan kemudahan bekalan air bersih. UTM dengan kerjasama Universiti Buang Hatta akan mengenal pasti masalah kritikal yang perlu diselesaikan dengan segera.

Kumpulan yang terbabit diketuai oleh Timbalan Pengarah Unit Tanggungjawab sosial Universiti (USR), termasuklah 2 kakitangan dari Pusat Kesihatan. Tabung bantuan mangsa gempar bumi telah dilancarkan dan akan terus dibuka untuk pungutan dana membantu mangsa. Difahamkan, mangsa-mangsa gempa bumi amat memerlukan bantuan makanan terutama susu tepung untuk bayi serta khemah untuk dijadikan sebagai tempat tinggal sementara mereka. Kumpulan yang dihantar oleh pihak UTM akan membuat pemantuan dan sekiranya perlu kumpulan susulan akan dihantar lagi bagi menyediakan kemudahan untuk jangka masa panjang.

Selain cara tersebut, pihak MSI juga ada mengadakan kutipan dana dengan membuat kutipan derma untuk mangsa gempar bumi pada setiap hari jumaat dan ia masih berjalan sehingga ke hari ini. Disamping itu, kepada sesiapa yang berhasrat untuk menyalurkan atau menyumbangkan sebarang bantuan kepada mangsa Padang bolehlah menghubungi Ustaz Faiz Nordin, Pegawai Pungutan Zakat MSI. Marilah kita bersama-sama meringankan bebanan mereka, “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Amin..

‘Ganyang Malayasia’: MPMN minta semua pihak bertenang

Oleh Pro Mahasiswa UTM

Bangi 4 September 02:12a.m │ Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Hisyamuddin Che Ali melahirkan nada kesal dengan tindakan berpuluh-puluh mahasiswa Indonesia yang menyerbu Kedutaan Malaysia di Jakarta semalam dan melemparnya dengan telur busuk serta menaikkan bendera Indonesia di kedutaan terbabit.

indonesia

Menurut Metro TV, siaran televisyen Indonesia melaporkan bahawa perhimpunan itu adalah tindakan membantah kontroversi terbaru membabitkan penggunaan tarian tradisi Bali dalam promosi pelancongan Malaysia.


Bantahan itu turut dikaitkan dengan dakwaan bahawa lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, ditiru daripada lagu Indonesia, Terang Bulan.


Beliau yang juga Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (MPP UKM) berkata “tindakan keterlaluan” mahasiswa Indonesia itu boleh menimbulkan rasa kurang senang rakyat negara ini dan perkara ini tidak seharusnya timbul kerana menurutnya, setiap masalah yang wujud boleh diselesaikan melalui rundingan.


“Saya berharap agar pihak Indonesia mengambil jalan tengah menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan jika tidak dapat diselesaikan secara elok, segala isu bertindih kedua-dua negara perlu di bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa” katanya dalam satu kenyataan..


bakar bendera malaysia

Sebelum ini, sekumpulan mahasiswa turut membakar bendera Malaysia di jalanan dua hari sebelum sambutan kemerdekaan ke-52 sambil melaungkan slogan “Ganyang Malaysia”.


Hisyamuddin berharap insiden yang menghina rakyat negara lain itu tidak berlaku lagi di masa depan.


“Jika tuduhan itu adalah palsu, mahasiswa Malaysia tidak teragak-agak melakukan perkara sama yang dilakukan mahasiswa Indonesia kerana tindakan mereka yang sanggup merampas dan menurunkan bendera di sesuatu kedutaan adalah satu sikap yang biadab dan tidak menghormati negara ini”


“Saya yakin bahawa mahasiswa Indonesia merupakan mahasiswa yang beridealis dan bukannya mengikut khabar angin mahupun emosi semata-mata. ” katanya beliau lagi.


Tambahnya lagi bahawa kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menyelesaikan segera isu ini dan jika benar kerajaan Malaysia bersalah dalam hal ini, kerajaan perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Indonesia.


telur-busuk

Hisyamuddin juga katanya, meminta Jabatan Peguam Negara untuk membuat kajian terhadap perundangan antarabangsa bagi menyelesaikan isu berkenaan di mahkamah jika terpaksa kerana bantahan rakyat Indonesia terhadap kedua-dua isu ini jelas memberikan imej yang buruk kepada negara ini yang pada sama turut mengguriskan perasaan rakyat di negara ini.


Terdahulu, sekumpulan mahasiswa Indonesia yang membaling telur busuk ke Kedutaan Malaysia di Indonesia beberapa hari lepas menyemarakkan lagi protes mereka kepada Malaysia sehingga mendesak kerajaan Indonesia memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.


Isu terbaru ialah tarian Jawa oleh iklan Melawat Malaysia dan isu hangat lagu Negaraku yang mereka dakwa adalah diciplak dari lagu Indonesia – “Terang Bulan”.


Beberapa sumber juga menyatakan bahawa saluran televisyen tersebut iaitu Discovery Channel juga sudah menulis surat memohon maaf dan menjelaskan situasi sebenar bahawa promosi pelancongan Malaysia yang dihasilkan mereka yang memuatkan tarian tradisi Bali berkenaan bukan dilakukan kerajaan Malaysia.


Dalam pada itu, kemarahan kumpulan tersebut juga didakwa berpunca dari beberapa isu yang terjadi sebelum ini seperti perebutan isu Pulau Ambalat, penderaan amah dan elemen kebudayaan yang didakwa “diciplak” dan beberapa panggilan seperti “Mat Indon” yang dilihat sebagai penghinaan kepada warganegara tersebut.-mahasiswakini


mahasiswakini.com

Hari Kemerdekaan Kali Ke 52 : Mahasiswa perlu merdekakan Diri.

Oleh Pro Mahasiswa UTM

Oleh: Mohd Shafie Hashim*

Tanggal 31 Ogos setiap tahun merupakan tarikh keramat bilamana Negara Malaysia yang tercinta ini telah merdeka setelah sekian lama di jajah oleh bangsa asing. Laungan ‘Merdeka” oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Hajj menutup sudah siri penjajahan kolonial-kolonial barat mahupun timur terhadap Malaysia.

Lain manusia lain tafsiranya tentang kemerdekaan . Setiap individu manusia atau setiap kumpulan manusia atau setiap bangsa, masing-masing mempunyai fahaman dan pandangan yang tersendiri dalam memberikan erti kemerdekaan itu, bagaimana bentuk kemerdekaan itu dan bagaimana harus diusahakan untuk mencapai kemerdekaan itu.

Dan dalam hal ini, kalaulah kita tanyakan kepada seorang individu tentang fahaman dan pandangannya terhadap erti kemerdekaan itu, kelak ada yang akan berkata bahawa kemerdekaan bererti bebas membuat apa sahaja, tanpa batas dan mengikut apa sahaja yang dikehendaki oleh hawa nafsu manusia itu, sekalipun berlawanan dan bertentangan dengan undang-undang,tatasusila dan hak asasi manusia lain.

Kemudian kalau kita tanyakan kepada kaum buruh pula , erti kemerdekaan pada mereka pula adalah bebas dari cengkaman kaum kapitalis dan dapat membuat tuntutan terhadap kehendak-kehendak yang diperlukan olel kaum buruh.

kalau kita bertanya pula kepada golongan nasionalis lain pula tafsiran mereka yang membawa maksud terlepas daripada dijajahi oleh bangsa lain ke atas bangsa dan negaranya. Pada mereka,kemerdekaan member peluang seluas-luasnya untuk mereka mengatur kehidupan bangsa dan negara samada dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lainnya mengikut apa yang mereka kehendaki.

Golongan kapitalis pula, memandang merdeka adalah menggunakan modal dengan sebebas-bebasnya untuk mendapat keuntungan sebanyak mana yang mungkin walaupun terpaksa menindas kaum buruh ataupun merosakkan akhlak manusia atau menempuh jalan yang haram.

Nah ,seterusnya bagaimana dengan kita ?

Setiap tahun Malaysia menyambutnya dengan perarakan sebagai tanda ingatan terhadap peristiwa bersejarah ini. Slogan demi slogan di cipta bagi menunjukan betapa meriahnya sambutan hari bermakna ini. Kibaran jalur gemilang juga menjadi rutin tahunan sebaik sahaja menjelang 31 0gos. Manakala pengamal media dan perfileman sibuk menghasilkan tayangan-tayangan yang mampu membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kesusahan negara ini mencapai kemerdekaan

Namun di celah-celah kemerdekaan ini wujud juga golongan-golongan yang tidak mengenal erti kemerdekaan yang sebenar. Kemeriahan malamnya di sambut dengan hiburan yang keterlaluan kononya inilah trend untuk membuktikan Malaysia merdeka khususnya di era globalisasi ini. Tiba sahaja malam kemerdekaan , maka berpusu-pusulah manusia bertandang ke pusat Bandar, menanti saat 12 malam sambil mendengar dentuman meriam . Remaja dengan gaya, yang tua tidak ketinggalan. Hotel-hotel penuh dengan tempahan hingga ke subuh manakala botol-botol arak bergelimpangan seakan lupa bahawa arak ibu segala maksiat.

Beginikah membuktikan masyarakat Malaysia sudah merdeka ? jawapannya tentulah tidak, Biarpun laungan kemerdekaan itu merupakan sejarah yang tidak boleh di padam namun hakikatnya kita masih terjajah . Terjajah minda dengan pengaruh songsang dari luar sehingga menelanjangkan pakaian nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, hidup aman dan harmoni.

Mahasiswa Dan kemerdekaan

Dalam konteks mahasiswa pula pada saya belum lagi merdeka . Sejarah gerakan mahasiswa satu ketika dahulu menunjukan bahawa mereka benar-benar merdeka . Merdeka dari sudut Minda, personaliti dan tindakan.Era 60an -70 an menukilkan sejarah mahasiswa yang tampil dengan spirit yang menggerunkan banyak pihak samada di kalangan mahasiswa dan pemimpin negara sendiri. Keberadaan mereka di rasai oleh semua pihak. Perjuangan mereka tidak retorik, ada sahaja perkara yang tidak betul merekalah menjadi jaguh bagi membetulkan keadaan .

Lihat sahaja bagaimana kehebatan mahasiswa dahulu di dalam isu kemiskinan di Baling , Isu Hamid Tuah dan banyak lagi. Perjuangan mereka tidak kenal erti takut, erti di penjara, melainkan di hadapan mereka hanya ada prinsip jelas bahawa yang hak tetap hak , manakala yang batil tetap batil. Yang benar perlu di tegakkan , manakala yang salah perlu di hapuskan sama sekali. Bagaimana pula kita hari ini.

AUKU menjajah Mahasiswa ??

Kewujudan Akta Universiti & kolej Universiti (AUKU ) 1975 telah merencatkan sebahagian besar mahasiswa dalam segenap aspek pada ketika itu . Mahasiswa kembali lesu serta tidak proaktif dalam berbincang dan berpencak seperti mahasiswa seblum Akta kuku besi itu wujud .

Walaubagaimanapun mahasiswa tetap bangkit meredah tembok yang kebal itu. Setiap tahun mahasiswa berjuang tanpa menghiraukan tembok di hadapan, bekal didikan yang mantap , tidak timbul lagi soal takut dengan tindakn polis, tindakan universiti dan sebagainya yang terkandung dalam akta draconian itu..Aksi demi aksi terus berlaku tanpa menghiraukan risiko yang bakal di hadapi.

Kesannya membawa mahasiswa berjaya mendesak kerajaan Malaysia meminda AUKU untuk di pinda kali ke kedua pada tahun 2008. Walaupun begitu, mahasiswa masih di telengkup dengan strategi permunian kalausa yang mengelirukan mahasiswa dalam memahami akta ini.

Pendek kata AUKU masih lagi merencatkan pada sesetengah pergerakan mahasiswa. Biarpun di pandang sebagai ketelusan pemimpin negara dalam menerima kebebasan mahasiswa bersuara , tetapi ianya hanya indah khabar dari rupa.

Namun , kekangan ini tidak menjadi masalah hanya bagi mereka yang berani menyepak AUKU ini seperti bola kerana sasaran mereka yang serius dengan perjuangan hanyalah “tiang gol” di hadapan.

Tukar paradigama Kita

Justeru itu, sudah tiba masanya , pada sambutan kemerdekaan ini, mahasiswa perlu berani melakukan perubahan dalam meninggikan martabat mahasiswa itu sendiri. Sampai bila kita masih mahu tunduk dengan satu sistem yang menjajah diri kita sendiri. Kita ada hak , tetapi kenapa kita membiarkan hak-hak kita di kawal oleh orang lain.

Akta yang di cipta bukan lagi penghalang utama kepada mahasiswa. Jangan pernah sama sekali merasakan diri di jajah sehingga terkunci mati tindakan kita untuk menjadi penyelamat ummat di tengah-tengah kepincangan yang ada.

Beranilah berubah, jika rakyat di luar sana berani mencabar kebatilan atas dasar kefahaman , kenapa kita mahasiswa masih lagi melakukan pertimbangan untuk berubah? . Sesungguhnya kita tidak tahu sampai bila hayat hidup kita. Mungkin sesaat lagi kita menutup mata . Justeru dalam peluang yang dikurniakan ini, marilah sama-sama kita merdeka diri kita dari terus di jajah dan permainkan .

Berjuanglah untuk kebenaran, Bebaskan diri daripada di jajah. Selamat menyambut Hari kemrdekaan yang ke 52 buat seluruh mahasiswa yang berjuang untuk kebenaran. Student Power!.- sekadar pandangan .

______________________________________________________________________________________

*Beliau merupakan pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional merangkap Pengerusi Majlis Politik Nasional Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) disamping sebagai exco Perhubungan & Hal Ehwal Semasa Persatuan Mahasiswa Islam Uni. Malaya.

Senator OKU Meninggal Dunia

Oleh Pro Mahasiswa UTM

Pihak Pro Mahasiswa mengucapkan takziah kepada keluarga Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang telah meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini. Prof Dr Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Beliau telah mencipta sejarah sebagai senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia. Beliau juga merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS).

Pihak Pro Mahasiswa menganggap pemergian beliau ini sebagai suatu kehilangan yang besar bagi negara kerana jasa dan sumbangannya yang tidak terhingga. Al-Fatihah.

MPMN bantah konsert cemar Ramadhan

Oleh Pro Mahasiswa UTM



Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) membantah tindakan kerajaan membenarkan konsert Michael Learns to Rock (MLTR) diadakan pada 5 September nanti kerana berpendirian bahawa ia akan mencemarkan kesucian bulan Ramadhan yang sedang diraikan seluruh umat Islam.

Pengerusi MPMN, sdr. Ridzuan Mohammad berkata, 

“Tindakan kerajaan yang membenarkan penganjuran konsert ini seolah-olah tidak menghiraukan langsung sensitiviti umat Islam di Malaysia dan kesucian bulan Ramadhan”.

“Kebenaran mengadakan konsert itu adalah berlawanan dengan pendirian kerajaan Malaysia sebelum ini yang menjanjikan sambutan kemerdekaan tahun ini yang sederhana kerana menghormati bulan Ramadhan” ujar beliau lagi.


Beliau juga mengajak dan menyeru umat Islam di Malaysia khususnya mahasiswa membantah konsert ini sebagai tanda cintakan Islam dan memuliakan bulan Ramadhan.

Konsert MLTR akan diadakan di Arena of Stars, Genting Highland sebagai sebahagian siri jelajah konsert ‘Eternity’ untuk mempromosikan album ketujuh mereka dengan judul berkenaan.-mahasiswakini
_________________________________________________________________________________________
* MPMN merupakan ningakatan Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional yang menggabungkan semua Perwakilan MPP Pro Mahasiswa . MPMN di tubuhkan selepas Pilihanraya Kampus sesi 08/09 dan di Pengerusikan Oleh YDP MPMUM Sdr Ridzuan Bin Muhammad.

Tahniah Dato' NC dan Prof. Halimaton

Oleh Pro Mahasiswa UTM


Pihak Pro Mahasiswa UTM mengucapkan: 
TAHNIAH 
kepada 
Naib Canselor UTM, Dato' Prof. Ir. Dr. Zaini bin Ujang 
dan 
Prof. Dr. Halimaton Hamdan 
kerana telah menerima 
Anugerah Merdeka 2009.

berita lanjut di sini

Kursus Perkahwinan Islam

Oleh Pro Mahasiswa UTM



Kursus Perkahwinan Islam

Tarikh : 12 & 13 September 2009
Masa : 8.00pg - 6.30 ptg
Tempat : Dewan Senat, UTM
Yuran : RM70

Info/daftar online
www.utm.my/hep>>klik ikon>>islamic activities

Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa

Oleh Pro Mahasiswa UTM

MAJLIS BERBUKA PUASA MAHASISWA


Tarikh : 30/8/2009
Masa : 6.00 petang
Tempat : Pusat Islam UTM
Tazkirah oleh : Ustaz Mohd Rifqi Maidin

Bas disediakan bagi Kolej Lingkaran luar.

Semua MAHASISWA dijemput hadir.

8 Sekawan : Tindakan Buang Kolej Bagi Yang Tidak Hadir

Oleh Pro Mahasiswa UTM

KRP, 23 Ogos – Pengetua Kolej Rahman Putra (KRP) Dr. Mohad Anizu bin Hj Mohd Nor telah mengeluarkan surat tunjuk sebab pembuangan kolej kepada mahasiswa yang gagal menghadirkan diri ke program 8 Sekawan.

Surat tersebut dikeluarkan ekoran ketidak hadiran mereka ke Program 8 Sekawan yang diadakan pada 8 Ogos 2009.

Mahasiswa tersebut diberi tempoh seminggu untuk berjumpa dengan Pengetua bagi memberikan alasan kenapa tindakan menarik balik penempatan kepada mereka tidak boleh diambil.

Ini disebabkan mahasiswa tersebut telah membelakangkan pengetua dengan langsung tidak memberi sebab dan alasan ketidak hadiran mereka mengikuti program tersebut.

Sumber Pro Mahasiswa UTM memberitahu hampir separuh daripada mahasiswa yang baru mendaftar di KRP untuk sesi ini telah diberikan surat tersebut.




LAPORAN OLEH : WARTAWAN PRO-M UTM

Dua tokoh UTM terima Anugerah Merdeka

Oleh Pro Mahasiswa UTM


ANUGERAH Merdeka edisi kedua kali ini diberikan kepada empat tokoh yang banyak berjasa kepada negara dalam pelbagai bidang kepakaran masing-masing. Anugerah berprestij setaraf Hadiah Nobel itu adalah untuk mengiktiraf dan menghargai individu serta organisasi yang memberi sumbangan ulung kepada kebaikan dan kemajuan negara.

Anugerah atas inisiatif Petronas yang turut diasaskan bersama ExxonMobil dan Shell itu juga bertujuan meraikan semangat jati diri kemerdekaan serta mengiktiraf dan menghargai kehebatan penerima yang rangka kerja dan kepakaran mereka memberi kesan jangka panjang kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

Empat pemenang anugerah kali ini adalah bagi kategori Pendidikan dan Komuniti; Kesihatan, Sains dan Teknologi; Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia dan Pencapaian Ulung Akademik terpilih termasuk dua ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Naib Canselor UTM, yang juga kolumnis Berita Harian, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, dipilih memenangi Anugerah Merdeka bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik; Profesor Kimia UTM, Prof Dr Halimaton Hamdan (Kesihatan, Sains dan Teknologi); bekas Menteri Wanita pertama, Tun Fatimah Hashim dan wanita pertama sebagai Wakil Tetap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Lim Phaik Gan masing-masing berkongsi anugerah kategori Pendidikan dan Komuniti.

Zaini dan Halimaton masing-masing akan menerima wang tunai RM500,000, sijil dan tropi manakala Fatimah dan Lim masing-masing menerima RM250,000, sijil dan tropi. Majlis penyampaian Anugerah Merdeka 2009 akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Filharmonik Petronas pada 19 Oktober ini.

Bagaimanapun tiada pemenang bagi anugerah kategori Alam Sekitar tahun ini kerana tiada yang layak.

Zaini dipilih atas sumbangan besarnya dalam pelbagai isu alam sekitar dengan pengkhususan bidang bekalan air, sistem pembetungan, pemulihan sungai dan ekologi industri. Anak kelahiran Kampung Johol, Inas, Negeri Sembilan itu adalah jurutera profesional alam sekitar, pemimpin akademik, ahli motivator, penganalisis serta penulis yang mempunyai sejarah panjang dari segi pencapaiannya.

Beliau adalah pakar dalam bidang kejuruteraan air, pengurusan bersepadu ekosistem, industri ekologi. Malah beliau juga tokoh akademik bertaraf antarabangsa yang banyak menabur jasa dalam banyak pertubuhan berprestij dan badan penasihat sebagai profesor pelawat dan perunding dalam bidangnya.

Selain menjadi Naib Canselor termuda pada usia 44 tahun, Zaini turut terbabit secara langsung sebagai penasihat teknikal dalam rundingan tuntutan Selat Tebrau antara Malaysia-Singapura, perunding utama program pemulihan sungai di Johor Bahru dan Felo Institut Kejuruteraan Kimia, United Kingdom.

Beliau sudah mendaftarkan 20 harta intelek yang dimiliki bersama dengan pelajarnya dan mengkomersialkan enam daripadanya yang kini digunakan di seluruh dunia. Lebih 200 hasil kajian, 14 buku dan 1,000 artikel mengenai alam sekitar dan bidang pengajian tinggi dihasilkannya sudah diterbitkan dan kini menjadi rujukan pelajar di institusi pengajian tinggi, dalam dan luar negara.

Pada 2005, beliau turut dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa teknikal untuk menasihatkan kerajaan Negeri Sembilan mengenai krisis air di Seremban manakala pada 2004 penerima Anugerah Air Malaysia (Penyelidik) dan Anugerah Melayu Cemerlang (Akademik) 2006.

Pada peringkat antarabangsa, beliau turut dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA, 2004-2005, London), dan berkhidmat sebagai Penolong Presiden Persatuan Air Malaysia (2007-2009).

Mengulas kejayaannya itu, Zaini yang juga Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia menganggap anugerah itu cukup besar dan bererti bukan saja kepada dirinya malah kepada keluarga, seluruh warga UTM dan komuniti akademik di negara ini.

Semua mereka, katanya turut menyediakan ekosistem yang mendorongnya memberi sumbangan khusus kepakaran dalam bidang kejuruteraan alam sekitar.

"Ekosistem akademik yang baik dan merangsang adalah prasyarat kepada kejayaan dan kemunculan tokoh dalam bidang akademik, termasuk penyelidikan, pengajaran dan komitmen berterusan terhadap sesuatu disiplin ilmu.

"Ekosistem yang merangsang akan meningkatkan tahap komitmen dan kualiti kepemimpinan dan membolehkan seseorang memberi sumbangan bermakna dalam sesuatu bidang dan disiplin ilmu.

"Anugerah Merdeka adalah salah satu inisiatif penting untuk memberi pengiktirafan dan sekali gus meningkatkan profil komuniti akademik, aktivis masyarakat dan penyumbang kepada bidang penting kepada kemajuan, kemakmuran dan kemerdekaan negara dalam erti kata sebenar," katanya.

Pemilihan Prof Halimaton, 53, yang mempunyai latar belakang dalam bidang kimia, untuk kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi berikutan sumbangannya yang banyak dalam bidang penyelidikan sains.

Beliau menemui dan menukarkan sisa sekam padi daripada jenama Maerogel (Aerogel Malaysia) dengan kaedah berteknologi tinggi untuk pelbagai kegunaan dengan kos lebih murah dan mesra alam. Aerogel asal dicipta pada 1931 oleh saintis Amerika Syarikat, tetapi menggunakan kos pengeluaran yang tinggi dan hanya dikomersialkan secara terhad.

Kaedah yang digunakan Halimaton dapat mengurangkan kos aerogel sebanyak 80 peratus (iaitu antara AS$300 hingga AS$60 untuk 3.5 auns). Kadar itu sangat munasabah dan boleh digunakan secara meluas.

Aerogel ialah penebat haba yang 37 kali lebih berkesan serta bahan yang amat tahan serta sering digunakan dalam pembuatan raket tenis dan skuasy. Selain itu, aerogel juga dapat mengurangkan tekanan mekanikal lebih 2,000 kali ganda dan sesuai untuk membuat panel bom.

Sementara itu, Fatimah, 85, yang dilahirkan di Parit Kurma, Muar mengulangi kejayaan anaknya, yang turut memenangi anugerah Kesihatan, Sains dan Teknologi tahun lalu iaitu Profesor Datuk Dr Khalid Kadir, kerana sumbangannya yang hebat dalam kepemimpinan dan pergerakan bagi menaikkan taraf golongan wanita di negara ini.

Karier beliau dalam bidang politik juga amat menyerlah serta pernah dilantik sebagai Menteri Kebajikan Am dan turut bekerja keras untuk memperbaiki status wanita dari segi mendapatkan peluang pekerjaan.

Lim, 91, pula yang pernah berkhidmat sebagai duta di beberapa negara, turut berkongsi anugerah dengan Fatimah, kerana aktif dalam kepemimpinan memperjuangkan pekerja di negara ini.

Pencapaian Lim dalam bidang politik, perundangan dan diplomatik dianggap hebat dan jarang dicapai oleh wanita lain di Malaysia. Malah beliau juga berjuang untuk mendapatkan skim bayaran gaji yang sama antara guru lelaki dan wanita.

INFO
Prof Datuk Dr Zaini Ujang - Penerima Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik

  • Pakar dalam bidang kejuruteraan air, pengurusan bersepadu ekosistem, industri ekologi.
  • Menjadi Naib Canselor termuda pada usia 44 tahun.
  • Penasihat teknikal dalam rundingan tuntutan Selat Tebrau antara Malaysia-Singapura, perunding utama program pemulihan sungai di Johor Bahru dan Felo Institut Kejuruteraan Kimia, United Kingdom.
  • Sudah mendaftarkan 20 harta intelek dan mengkomersialkan enam daripadanya yang kini digunakan di seluruh dunia. Lebih 200 hasil kajian, 14 buku dan 1,000 artikel mengenai alam sekitar dihasilkan beliau sudah diterbitkan.
  • Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA, 2004-2005, London) dan Penolong Presiden Persatuan Air Malaysia (2007-2009).

    Prof Dr Halimaton Hamdan - Penerima Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi
  • Menemui dan menukarkan sisa sekam padi daripada jenama Maerogel (Aerogel Malaysia) dengan kaedah teknologi tinggi dengan kos lebih murah dan mesra alam
  • Maerogel dapat mengurangkan kos aerogel sebanyak 80 peratus (iaitu antara AS$300 hingga AS$60 untuk 3.5 auns).

    Tun Fatimah Hashim - Penerima Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Pendidikan dan Komuniti
  • Bekas Menteri Wanita pertama.
  • Pernah dilantik Menteri Kebajikan Am dan membela hak wanita mendapat pekerjaan.
  • Memberi sumbangan dalam kepemimpinan dan pergerakan bagi menaikkan taraf golongan wanita di negara ini.

  • Sumber : Berita Harian

    Isu arah kiblat di Pesta Konvo

    Oleh Pro Mahasiswa UTM

    Hari ini masuk hari ke-6 Pesta Konvo ke-43 UTM berlangsung dengan jayanya. Meskipun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu beberapa hari ini, pengunjung tidak putus-putus datang untuk memeriahkan lagi suasana tidak kira dari luar mahupun dalam UTM sendiri. Namun, dek kerana timbulnya satu dakwaan berhubung arah kiblat di tapak Pesta Konvo, sedikit mencalar prestasi Pesta Konvo kali ini.

    Berhubung isu ini, pihak Pro-M mendapat maklumat bahawa salah seorang pengunjung telah membuat laporan kepada AJK Pesta Konvo mengenai arah kiblat di surau tapak Pesta Konvo. Beliau keliru dengan arah kiblat berkenaan kerana sebelum ini UTM pernah menganjurkan solat hajat untuk Palestin di padang kawad, namun arah kiblatnya berbeza. Pihak Pro-M juga telah meneliti keadaan dan mengesahkan kebenaran dakwaan tersebut.



    Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa AJK Pesta Konvo yang menerima laporan tersebut bersikap acuh tak acuh dalam hal ini dengan memberikan alasan yang langsung tidak boleh dijadikan hujah! AJK terbabit beralasan bahawa sejak dari dulu arah kiblat adalah ke arah itu, iaitu mengikut arah surau tapak konvo.



    Sejak dari dulu sehingga ke hari ini, langsung tiada usaha diambil untuk memastikan kesahihan arah kiblat yang sebenar di surau tapak Pesta Konvo. Justeru itu, pihak Pro-M menggesa agar pihak pentadbiran UTM prihatin terhadap isu ini. Walau sehebat manapun Pesta Konvo yang dianjurkan, namun andai terdapat sedikit isu yang selama ini dipicingkan, bagaimana hendak mendapat berkat dari Allah? Jangan hanya berbangga dengan slogan “Kerana Tuhan Untuk Manusia".

    Meskipun isu ini dilihat agak minor, namun mengundang implikasi yang sangat besar. Sejak sekian lama, sudah berapa ramai orang yang solat di situ? Dan berapa berat pula dosa yang perlu ditanggung andai tiada tindakan segera diambil?

    Pesta Konvo k-43 UTM: inovatif dan kredibiliti tunjang transformasi

    Oleh Pro Mahasiswa UTM

    Syabas dan tahniah kepada mahasiswa UTM yang bakal bergelar graduan. Majlis Konvokesyen ke-43 yang akan bermula hari ini (15 Ogos 2009), didahului oleh graduan-graduan Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dari semua Fakulti Kejuruteraan UTM. Sekali lagi sekalung tahniah buat seluruh graduan UTM !!

    Meneruskan tradisi tahun-tahun sebelum ini, upacara konvokesyen seolah-olah tidak lengkap tanpa adanya Pesta Konvokesyen yang menyaksikan penglibatan sepenuhnya para mahasiswa bersama masyarakat umum. Selaras dengan transformasi UTM yang menjurus ke arah pembudayaan ilmu, Pesta Konvokesyen ke-43 kali ini membawakan konsep pesta akademik dan karnival usahawan yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan program menarik yang sesuai dengan para mahasiswa dan masyarakat umum.

    Melihat kepada program-program yang mengisi Pesta Konvokesyen ke-43 ini, sedikit penambahbaikan dikenalpasti berbanding tahun sebelum ini. Dengan pemansuhan konsert yang sebelum ini menjadi kemuncak kepada Pesta Konvo, kali ini Pesta Konvo dilihat lebih murni dengan program-program yang sedia ada. Ditambah pula dengan program yang menjurus ke arah perpaduan sebagaimana yang cuba diterapkan dalam Persembahan Satu Malaysia dan Suara Emas Satu Malaysia.

    Diharapkan pembaharuan kali ini membawa suasana baru dalam Pesta Konvo yang lebih bersifat murni serta bebas dari perkara-perkara lagha. Hal ini juga selari dengan peningkatan UTM dalam ranking universiti di dunia sekaligus meletakkan UTM antara sepuluh yang terbaik di Asia Tenggara. Seterusnya, diharap tema “Inovatif dan Kredibiliti Tunjang Transformasi” dapat direalisasikan.

    Pro-Chatters!


    ShoutMix chat widget