Lynas merupakan nama satu syarikat yang seratus peratus milik Lynas Australia, yang mana syarikat ini sedang membina sebuah kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang. Kilang ini berkedudukan 25 km dari bandar kuantan. Kilang ini dijadualkan siap pada disiapkan Suku-3 2011 (iaitu September) yang mana tarikh asal dikatakan pada suku-pertama 2011 (Mac).
Kilang Lynas sudah pun 95% (ada yang mengatakan 65%) dibina di Gebeng Kuantan. Keluasan menyamai 140 buah padang bola atau 100 hektar tanah.
Kedudukan Kilang Lynas diapit oleh Polyplastic dan Projek Fasa 1 Kluster Industri Minyak Kelapa Sawit yang juga berhadapan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bersebelahan dengan BASF Petronas Chemicals.
Juga tercatat papan tanda LAMPSON atau Lynas Advanced Material Plant (LAMP) antara Lynas
Malaysia Sdn Bhd dan UGL Resources. UGL Resources adalah syarikat utama yang berpengkalan di Australia dalam bidang Pengurusan Aset dan Projek dengan jumlah kakitangan sekitar 42,000 orang. Mereka telah dianugerahkan Kontrak Pengurusan Projek Pembinaan Lynas di Gebeng pada 22/2/2010 dengan nilai kos pengurusan projek di sekitar RM96.8 juta. UGL Resources bertanggunjawab di dalam urusan rekabentuk kejuruteraan kilang Lynas. Kos infrastruktur Lynas di Gebeng dianggarkan sekitar RM700 juta.
Kilang ini hanya berfungsi sebagai tempat pemprosesan nadir bumi, apabila sudah siap nadir bumi yang dilombong di Australia akan dibawa ke perlabuhan Kuantan dengan kapal. Dari kapal, ia akan dibawa dengan lori ke kilang ini untuk diproses sebelum dieksport semula.
Kilang ini akan menghasikan sebanyak 20,000 tan sisa radioaktif setahun. Yang mana sisa radioaktif ini dinamakan Low Lanthanide Thorium. Kawasan perlombongan Lynas yang dipanggil Central Lanthanide Deposit (CLD) di Mount Weld, Australia, terdapat juga unsur Niobium (Nb) dan Tantalum (Ta). Unsur ini juga akan mereka proses di Gebeng. Kedua-dua oksid unsur ini berasal dari mineral Columbite dan Tantalite (Fe,Mn)(Nb,Ta)2O6.
Secara geologi kimia mineral Monazite, Columbite, Tentalite hanya akan terbentuk bersama-sama mineral lain antaranya, Uranite (UO2), Zircon (ZrSiO4) Wolframite (Fe,Mn)WO4, Tourmaline (Na,Mg,Fe,Ae,B,MnSiO4) dan lain-lain associated minerals.
Monazite adalah bahan radioaktif. Di dalam bahan mineral monazite ini terdapat thorium, cerium dan lanthanum. Monazite kaya dengan Thorium dan Thorium ini juga adalah bahan radioaktif yang tinggi dan boleh digunakan untuk menggantikan uranium dalam menghasilkan tenaga nuklear.
Bahan mentah yang dibawa masuk akan kemungkinan mengandungi campuran unsur-unsur radioaktif dan bukan radioaktif antaranya ialah Cerium (Ce), Latanium (La), Thorium (Th), Fosforus (P), Oksigen (O2), Uranium (U), Lithium (Li), Boron (B), Zircon (Zr), Niobium (Nb), Tantalum (Ta), Magnesium (Mg), Manganum (Mn), Ferum (Fe), Silicon (Si) dan unsur-unsur lain. Unsur-unsur rare earth digunakan dalam berbagai industri, termasuk industri elektronik,telekomunikasi, angkasa, senjata dan lain-lain.
Bahaya kilang Lynas.
Kilang Lynas merupakan satu ancaman kepada penduduk tempatan, hal ini adalah kerana hasil radioaktif yang dilepaskan dan juga nadir bumi yang diproses itu akan membawa kesan sampingan kepada penduduk sekitar.
Nadir Bumi.
Bahan 'nadir bumi' ini berupa gentian yang sangat halus yang mengandungi bahan radio aktif. Ia sangat merbahaya kalau tertelan atau dihidu dan masuk ke dalam badan.
Semasa memproses nadir bumi ini, ia akan melibatkan penggunaan yang asid Hidroklorik dan asid Sulfurik yang banyak. Ia sangat bahaya kalau terlepas bebas ke udara.
Prosesnya juga melibatkan banyak air dan air yang telah digunakan akan dilepaskan ke Sungai Gebeng selepas dirawat. Namun setakat manakah rawatan itu berlaku dan apa berlaku jika rawatan ini tidak lengkap.
Bahan sisa kilang ini juga mengandungi radio aktif. Di mana ia akan dibuang dengan selamat.
Thorium
Daripada komen yang disampaikan oleh CEO Lynas sendiri, kandungan Thorium adalah pada nisbah 55:10,000 metrik tan dan dari 22 ribu tan setahun ‘rare earth oxide’ yang dihasilkan dari kilang Lynas atau LAMP di Gebeng Kuantan itu, sisa buangan Thorium yang dianggarkan akan dihasilkan dalam tempoh setahun adalah sebanyak 121 metrik tan bersamaan dengan 121 buah lori 1 tan atau 24 buah lori 5 tan setahun.
Pencemaran Thorium boleh merebak dengan lebih meluas melalui air dan udara, sisa thorium ini tidak akan hilang walaupun dibasahi air hujan, sukar dikesan apabila sebati dengan tanah, malah akan mengeluarkan bau
Maklumat berkenaan Thorium dan kesannya kepada manusia persekitaran seperti yang dilaporkan oleh Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat (EPA) adalah seperti berikut:
Thorium-232 mempunyai jangka hayat 14 billion (14×109) tahun.
Thorium-230 dan Thorium-228 mempunyai jangka hayat 75,4000 tahun.
Pencemaran Thorium boleh merebak dengan lebih meluas melalui air dan udara.
Mereka yang tinggal berdekatan tempat yang menghasilkan sesuatu bersama Thorium berkemungkinan terdedah kepada bahaya Thorium.
Manusia boleh dijangkiti atau terdedah dengan Thorium melalui sedutan udara, makanan dan air.
Thorium yang dihidu atau disedut melalui udara akan kekal untuk jangka masa yang lama pada salur pernafasan. Thorium yang masuk ke salur darah akan juga tinggal di tulang pada jangka masa yang lama.
Risiko Kanser di tekak, tulang dan pankreas kesan dari hiduan sisa Thorium.
Kes-kes terdahulu berkaitan sisa radioaktif seluruh dunia.
Berikut ada kesan dari kilang radioaktif yang mengeluarkan bahan merbahaya kepada penduduk setempat di seluruh dunia.
Syarikat Mitsubishi Chemical yang terlibat dalam industri pemprosesan ‘rare earth’ di Bukit Merah dikaitan dengan 8 kes Leukimia dan 7 kes kematian. Telah ditutup pada tahun 1992 dan kerja-kerja pembersihan sisa masih berjalan sehingga ke hari ini (Hampir 20 Tahun) dan telah menelan belanja lebih RM300 juta.
Kebocoran radiasi di Fukushima selepas bencana Gempa Bumi dan Tsunami mendesak kerajaan negeri Jepun yang dikatakan cukup maju dalam pengurusan bencana untuk melebarkan kawasan evakuasi dari 16KM kepada hampir 40KM termasuk mengisytiharkan tahap 7 kebocoran radiasi, sama seperti yang dialami di Chernobyl Ukraine pada tahun 1986 yang telah meragut hampir 200,000 ribu kematian akibat kanser seperti yang dilaporkan oleh Greenpeace ketika itu.
Kesan toxic dan radioaktif dari industri ‘rare-earth’ di Baotou Mongolia. Setiap proses ‘rare-earth’ bermula dari perlombongan ‘ore’ ke ‘rare earth oxide’ atau ‘rare-earth metals’ banyak menggunakan bahan asid dan kimia. Malah ketika perlombongan ‘ore’, bahan asid akan dimasukkan ke lubang yang digali. Sisa buangan radioaktif khususnya Thorium juga dihasilkan ketika melalui semua proses itu. Kebocoran bahan asid, kimia dan sisa radioaktif ini yang banyak berlaku di Baotou terbukti telah menyebabkan kemusnahan kepada hasil pertanian dan kesihatan seperti kerosakan hasil tanaman, gigi tercabut dan rabut putih atau beruban diawal usia muda sekitar 20-an. Malah kematian disebabkan kanser juga direkodkan walaupun lokasi penempatan penduduk berada 10KM dari kawasan penyimpanan sisa buangan radioaktif itu.
Kajian yang dilakukan oleh Kolej Perubatan Jiangxi di China dari sample darah dan ujian IQ pada kanak-kanak mengemukakan kesimpulan bahawa kanak-kanak di sekitar umur 7-10 tahun yang tinggal berdekatan dengan kawasan ‘rare-earth ore’ berkemungkinan mempunyai IQ atau kecerdasan akal yang lebih rendah berbanding mereka yang tinggal jauh atau yang tinggal di kawasan yang terkawal.
Kegiatan ekonomi rakyat di sekitar Kuantan dan Kemaman
Pembinaan kilang Lynas ini juga akan memberi kesan kepada ekonomi masyarakat setempat dan negara. Berikut adalah sektor yang akan terjejas bila mana pembinaan kilang ini diteruskan.
Sektor Perlancongan khususnya di Cherating Pahang (dalam Jarak 18-20 KM dari lokasi Kilang Lynas).
Sektor Perikanan di Kuantan adalah antara yang terbesar. Terdapat 390 nelayan laut dalam yang berdaftar.
Sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya makanan laut (Keropok Lekor, keropok, ikan bakar dan sebagainya).
Nilai hartanah akan merudum kerana tiada siapa yang mahu membeli tanah atau kediaman di sekitar Kuantan dan di Kemaman.
Ancaman kepada syarikat berdekatan khususnya Petro-Kimia seperti Kaneka, MTBE, Petronas BASF dan BP Chemicals. Kerugian yang besar jika operasi mereka terganggu dengan insiden kebocoran sisa radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan pekerja mereka.
Pelabur baru dari luar negeri dan dari luar negara tidak akan berminat untuk melabur kerana ancaman sisa radioaktif daripada Lynas. Risiko terlalu tinggi.
Reaksi masyarakat dan rakyat
Masyarakat menunujukkan bantahan terhadap pembinaan kilang ini, yang mana beberapa pertikaian timbul, pertikaian yang timbul adalah seperti berikut:
‘Public Consultation’ atau Konsultansi dari pihak awam tidak pernah berlaku malah sebelum lesen untuk dibina dikeluarkan pada tahun 2008.
Laporan penuh Jabatan Alam Sekitar tidak dikongsi kepada rakyat, hanya Ringkasan Eksekutif yang dipaparkan di halaman web.
Lokasi yang terlalu dekat dengan kawasan kediaman. Jarak 2 KM dari Balok dengan kepadatan penduduk seramai 16700 orang. Jika diambil kira keluasan evakuasi di Fukushima dalam jarak 40KM dari Gebeng Kuantan, kebocoran sisa radioaktif akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah Kemaman di Terengganu sekalipun. Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 800 hingga 900 ribu secara keseluruhannya dengan Kuantan sahaja di sekitar 600 hingga 650 ribu orang. Syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia adalah minima 35KM dari kawasan penempatan penduduk.
Cadangan untuk membawa masuk ‘rare earth concentrate’ dari Mount Weld Australia ke Malaysia sebagai bahan bukan radioaktif dari pelabuhan Kuantan.
Menteri Western Australia, Hon Norman Moore memaklumkan sisa buangan radioaktif itu adalah milik Malaysia dan tidak akan diterima balik oleh Australia.
Sisa buangan radioaktif dari ‘rare earth’ boleh dibuang sama seperti sampah domestik.
Percanggahan kenyataan bahawa Mount Weld ‘ore’ yang dilombong di Austalia adalah jenis lanthanide dan bukan monazite.
Panel bebas yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia iaitu IAEA atau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa tidak bebas dan berat sebelah kerana mereka bukan ‘regulator’ atau pembuat undang-undang yang tiada berkepentingan dalam sumber tenaga itu tetapi mereka adalah ‘promoter’ atau pihak yang menyokong penggunaan sumber tenaga itu.
Panel bebas harus diwakili dan dilantik oleh rakyat yang berkepentingan dalam isu ini.
Kelulusan untuk beroperasi tidak boleh diberi selagi mereka tidak memenuhi piawaian yang dicadangkan oleh Molycorp Minerals (California).
Piawaian negeri China yang berkait dengan Perancangan Pengurusan Pemprosesan dan Sisa Buangan tidak seharusnya digunakan. Sebagai contoh Menggunakan piawaian China GB9133-S3 dimana sisa buangan dengan aktiviti khusus yang kurang daripada 74Bq/g diklasifikasikan sebagai bukan sisa radioaktif dan boleh disimpan di kemudahan simpanan sisa biasa.
‘Proof of Concept (POC)’ atau Bukti Konsep seharusnya dibuat oleh Panel Pakar yang bebas dan ujian konsep ini seharusnya dilakukan di Mount Weld Australia sendiri.
Cadangan membawa ‘rare earth’ bukan sahaja dari Australia tapi juga dari Malawi. Berkemungkinan ‘rare earth’ dari negara lain akan dibawa ke Gebeng Kuantan. Gebeng Kuantan berkemungkinan akan menjadi pusat serantau Asia malah dunia dalam penyimpanan sisa radioaktif dari perlombongan ‘rare earth’.
Denda RM50 juta seperti yang termaktub di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom Perenggan 59 (1) untuk setiap bencana kepada Lynas dilihat cukup ringan berbanding hasil RM8 Billion setahun LAMP. Hanya satu bencana yang melibatkan sisa radioaktif memadai untuk menjadi ancaman yang serius dan kekal lama kepada semua.
Hari ini 26 Feb. 12 seramai 20,000 orang menyertai demonstrasi Hijau 2.0 yang Perhimpunan ini sebagai membantah tindakan Lynas Advanced Material Plant (Lamp) di Gebeng.
Tanggungjawab Mahasiswa Islam dalam isu Lynas.
Islam merupakan satu agama yang sejahtera dan menolak segala jenis kerosakkan yang dilakukan samaada dari sudut moral dan alam sekitar.
Alam sekitar merupakan satu amanah yang Allah telah berikan kepada kita, menjadi satu perkara yang amat mustahak bagi kita untuk menjaga alam sekitar. Ini jelas disebutkan dalam Al-Quran:
Sesungguhnya kami Telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh. (Al-Ahzab:72)
Mahasiswa islam haruslah bersama-sama dalam menentang isu Lynas ini, kesan kepada alam dan masyarakat adalah amat besar dan akan melibatkan nyawa masyarakat sekitar. Sejarah menunujukkan kesan radiasi bukan sahaja melibatkan masyarakat hari ini tetapi turut melibatkan masa depan generasi akan datang.
Mahukah kita melihat anak cucu kita pada masa akan datang lahir dalam keadaan cacat dan kurang upaya dek kerana kesan radiasi.
Mahasiswa seharusnya menjadi golongan yang menyelamatkan masyarakat kerana mahasiswa berada dalam golongan intelek yang mempunyai ilmu dan kesedaran dan dalam masa yang sama mahasiswa merupakan golongan yang mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat.
Mahasiswa juga tanggungjawab untuk membela masyarakat kerana sumbangan masyarakat kepada mahasiswa melalui pembiayaan pembelajaran mahasiswa itu sendiri.
Mahasiswa adalah satu golongan yang dipinjamkan oleh msyarakat untuk dicukupkan ilmunya dan melatih diri untuk dikembalikan kepada masyrakat.
Dalam misi menyelamatkan masyarakat dan negara mahasiswa islam harus terlibat sama dalam tuntutan untuk menutup dan menghentikan kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng, sebagaimana yang dinyatakan di atas kesan dari kilang ini amat besar dan membawa kesan yang berpanjangan.
Kesimpulan
Membantah kilang di Lynas menjadi satu kewajiban atas dasar kemudharatan yang dibawa oleh kilang ini lebih daripada kebaikannya. Mahasiswa islam harus mengambil tempat dan memainkan peranan dalam memastikan negara kita selamat. Walaupun ada yang mengatakan dan menjamin keselamatan operasi kilang ini namun kajian lebih menunjukkan bahaya kilang ini. Ingatlah mengelak jauh lebih baik dari mengubati, jangan sudah terhantuk baru tegadah!
disediakan oleh:
Ibrahim khalil Noh