Manifesto Umum ProMahasiswa UTM - Akademik

Pemerkasaan akademik secara keseluruhan merangkumi peningkatan PNGK yang konsisten, nilai sahsiah yang tinggi dan juga kemahiran generik yang baik dalam diri setiap mahasiswa.

Prof Dato’ Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia di dalam buku beliau, Menghayati Budaya Ilmu menyatakan bahawa universiti bukanlah tempat untuk mendapatkan ilmu untuk kepentingan diri sendiri seperti persediaan ke alam kerja semata-mata tetapi lebih luas dan lebih jauh daripada matlamat tersebut, beliau menyeru semua warga Universiti Teknologi Malaysia, mahasiswa khususnya dan semua staf akademik dan staf bukan akademik untuk sama-sama menjadikan UTM sebagai sebuah pusat tamadun yang menjadikan ilmu sebagai teras kehidupan.

Oleh itu, kami di pihak PRO-MAHASISWA menyambut gagasan ini dan kami ingin membawa satu pendekatan kepada mahasiswa iaitu pemerkasaan akademik secara keseluruhan merangkumi peningkatan PNGK yang konsisten, nilai sahsiah yang tinggi dan juga kemahiran generik yang baik dalam diri setiap mahasiswa. Kita semua mengetahui bahawa kemahiran-kemahiran yang dikuasai oleh mahasiswa merupakan satu nilai tambah di samping pengetahuan dalam bidang masing-masing. Jika mahasiswa mampu untuk mengurus organisasi pada hari ini contohnya, mahasiswa juga pasti mampu untuk mengurus keadaan yang lebih besar di luar alam kampus suatu hari nanti.

Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas ada menyebut bahawa ‘orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai pokok bahasan yang diminatinya. Persoalannya ialah, adakah kita sebagai mahasiswa dengan kelayakan akademik telah mengaplikasikan segala ilmu dan hikmah yang telah kita pelajari di UTM selaras dengan visi dan misi UTM sendiri mahupun selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang mensasarkan pembangunan mahasiswa dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

Budaya ilmu merupakan amalan masyarakat yang bertamadun. Oleh itu, kami ingin memperbanyakkan program-program berbentuk akademik yang dapat meningkatkan kualiti mahasiswa secara dalaman dan luaran. Sebagai contoh, NC telah mengeluarkan idea yang sangat baik iaitu program Saturday Night Event sebagai saluran untuk mahasiswa berhibur di samping mencambah buah fikiran dengan forum, diskusi dan sebagainya. Berhibur tiada salahnya tetapi hiburan bagaimana yang mahasiswa sebagai ahli intelek perlukan?

Agenda PRO-M juga selari dengan Dasar Pembangunan Mahasiswa UTM yang dibangunkan oleh TNC melalui 3 objektif iaitu pembangunan akademik, pembangunan individu dan sosial serta pembangunan kerjaya. Melalui pembangunan akademik, mahasiswa juga perlu cakna dan peka terhadap keadaan sekeliling dan kreatif dalam mengaplikasi ilmu yang pelbagai sesuai dengan bidang masing-masing. Allahyarham Mohamad Natsir (Tokoh negarawan, pemikir, pendakwah dari Indonesia) seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan. Dalam situasi mahasiswa pada hari ini, jgn kita hanya membangun PNGK sahaja tetapi akhlak, sahsiah, integriti juga perlu membangun seiring. Kami menantikan mahasiswa yang dididik dengan budaya ilmu ini pada akhirnya mampu menjadi seorang yang pakar dalam bidang profesionnya serta mampu membaiki keadaan masyarakat sekeliling.

PRO-MAHASISWA sangat komited untuk memanfaatkan dan memperkasakan ‘books corner’ sebagai satu kemudahan kepada mahasiswa untuk menambah ilmu yang mempunyai pendekatan bahan bacaan yang lebih santai tetapi sarat dengan ilmu semasa sesuai dengan keadaan semasa. Kami akan berusaha untuk mempelbagaikan bahan-bahan bacaan dari bahan yang sedia ada kepada pelbagai jenis bahan bacaan ilmiah lain sesuai dengan keintelektulan mahasiswa. Dengan cara ini,kami yakin dan percaya bahawa mahasiswa lebih mudah untuk mencapai ilmu di mana-mana sahaja seterusnya akan melahirkan mahasiswa yang mampu mendepani massa dan menyelesaikan isu secara global dengan fakta dan penilaian yang tepat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...