Showing posts with label Speaker Corner. Show all posts
Showing posts with label Speaker Corner. Show all posts

SUDUT PIDATO HEDONISME



7 November 2012, Dataran Masjid Sultan Ismail UTM - Persatuan Mahasiswa Islam telah bekerjasama dengan Pro-mahasiswa UTM telah mengadakan satu sudut pidato bagi menolak budaya hedonisme. Sudut pidato itu telah dipengerusikan oleh saudara Muhammad Amin bin Muhammad Iskandar.



Pemidato yang pertama iaitu saudara Muhammad Khalid bin Mohd Jali, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM telah menerangkan apakah itu budaya hedonisme yang boleh dirumuskan budaya yang bertuhankan nafsu. Beliau juga telah mengingatkan kembali agenda yahudi untuk melemahkan umat Islam melalui 4S dan 4F. 4S itu ialah (Songs-Lagu, Sex-Seks, Smoke-Rokok dan Sport-Sukan) dan 4F  (Fun-Hiburan, Female-Wanita, Fashion-Fesyen, Food-Makanan)




Sudut pidato diteruskan dengan menampilkan saudara Ahmad Afifi bin Mohammad Lotfi yang merupakan wakil Pro-Mahasiswa. Di dalam pidato beliau banyak menekankan mengenai kelakuan remaja di masa kini yang terlalu suka berhibur mensia-siakan perjuangan nenek moyang kita yang berusaha untuk menyebarkan Islam dan memerdekan bumi Malaysia. Beliau juga memesan jika kadar hiburan di kampus kita terutamanya dan luar kampus amnya tidak dikekang dengan pengisian ilmu maka tidak mustahil masyarakat akan datang akan lebih teruk daripada masyarakat kini.




Pemidato terakhir ialah saudari Nurul Nabila binti Mohd Fadzil yang juga daripada Pro-Mahasiswa telah menyampaikan pidato beliau dengan isi-isi yang bernas. Beliau membentangkan rekod penangkapan khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) yang dilakukan pada bulan kemerdekaan Malaysia. Di sini beliau menekankan betapa rosak akhlak sekelompok masyarakat kini yang menyambut kemerdekaan dengan segala macam kemungkaran walhal generasi sebelum ini telah bergadai nyawa untuk memperoleh kemeradekaan.


Kemudian saudara Ibrahim ketua Pro-Mahasiswa UTM telah membuat satu resolusi daripada sudut pidato ini dengan menggesa HEMA untuk menyegerakan cadangan sidang meja bulat untuk membincangkan mengenai dasar kebudayaan unversiti agar setiap pengajur program di dalam universiti dapat menjadikannya sebagai satu panduan dalam menjalankan program. Di akhir pidato saudara Amin Iskandar menekankan agar setiap persatuan, kelab, jawatankuasa kolej mahasiswa(JKM), Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni(HEMA), pengawal keselamatan dan semua organisasi di dalam universiti untuk berganding bahu menyelesaikan masalah hedonisme di dalam universti.


Semoga usaha sudut pidato ini dapat membuka hati mahasiswa dan staf UTM khususnya dan masyarakat umumnya mengenai kepentingan menolak hedonisme dalam budaya hidup kita.

Korban


Sejak 9 Zulhijah lagi para jemaah haji sudah berkumpul di Mina, berkumpul untuk bertasbih dan memuji Allah. Esoknya seluruh umat Islam di semua tempat seluruh dunia bertasbih memuji Allah dan kerajaan-Nya, bersama-sama melaksanakan ibadah kurban. Bersolat sunat, mendengar khutbah, menyembelih lembu, mengagihkan dagimg, memasak, dan makan beramai-ramai.

Di sesetengah tempat ataupun pada sesetengah orang Hari Raya AidulAdha bukan lagi menjadi satu ibadah yang perlu dihayati dan difahami seterusnya dipraktikkan. Tetapi ianya lebih kepada satu budaya yang perlu disambut, diraikan dan bersuka-ria. Masalah umat Islam pada hari ini adalah apabila hilangnya ruh dalam ibadah, agama itu tidak lagi diletakkan kepada tempatnya lebih malang lagi agama itu sudah hilang nilainya di mata msyrakat hari ini.

Apakah ruh atau falsafah yang dibawa dalam Aiduladha? Mengapa kita diarahkan untuk mengambil semangat dan menghayati kisah Nabi Ibarahim yang cukup terkenal itu? Malahan kita selayaknya disuruh memahami dan membandingkan pengorbanan yang kita lakukan laksana Nabi Ibrahim A.S, sedangkan apa yang kita lakukan hari ini langsung tidak layak untuk dibandingkan dengan Nabi Ibrahim A.S yang menyembelih ananknya yang soleh. Apalah sangat ratusan ringgit yang kita keluarkan untuk melaksanakan ibadah korban hendak dibandingkan dengan Ismail A.S anak yang sudah lama dinantikan dan anak itu juga anak yang soleh yang dikasihi.

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” As-shaffat: 102

Pengorbanan Perasaan

       Apa yang berat dalam perintah untuk menyembelih Nabi  Ismail A.S adalah untuk mengorbankan perasaan sayang terhadap anak yang baik dan dinantikan itu. Setelah sekian lama menunggu kehadiran seorang anak, perintah dari Allah supaya dikorbankan anak yang soleh itu terlalu berat. Boleh jadi kurang berat andaikata Nabi Ismail itu bukanlah anak yang soleh dan baik, boleh jadi juga perintah itu menjadi ringan andaikata zuriat Nabi Ibrahim A.S itu ramai.

Berat untuk melepaskan orang yang kita sayang, dan kerana sayang berat juga untuk Nabi Ibrahim A.S menyembelih Nabi Ismail A.S. Namun apa yang paling penting disni adalah melaksanakan perintah Allah S.W.T. Kasih sayang kepada Allah itu lebih hebat dan besar dari apapun. Lantaran kasih kepada Allah lah Nabi Ibrahim A.S sanggup untuk menyembelih Nabi Ismail A.S, dan Hajar yang berseorang susah payah bersama Ismail A.S juga redha tanpa soal.

Inilah menisfetasi AidulAdha pengorbanan perasaan, ianya bukan setakat itu malahan membawa maksud yang lebih besar iaitu mengorbankan perasaan untuk kepentingan Islam dan agama, hanya demi untuk menunaikan perintah Allah pengorbanan perasaan adalah perkara pertama. Bermula dari mengorbankan perasaan maka akan datangnya pengorbanan diri dan harta untuk Islam.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” –As-Saff 10-11

Realiti Hari Ini

       Hari ini disaat kita menyambut AidulAdha selain ramai umat Islam terkorban lantaran kezaliman tentera kuffar, manusia lebih ramai mengorbankan Islam untuk diri sendiri,bukannya berkorban untuk Islam
.
   Falsafah AidulAdha pengorbanan perasaan tidak pernah ingin seinci pun difahami dan dihayati secara oleh umat Islam keseluruhannya. Malahan wujud budaya baru iaitu  hedonisme yang mengutamakan kepuasan perasaan semata-mata.

Umat Islam hari ini sudah jauh meninggalkan tuntutan agama, perkara ibadat yang dianggap budaya jauh terpesong dai sudut pengamalan dan penghayatannya. Islam itu hanya tinggal pada nama lantaran hilangnya ruh dalam pengamalan Islam dalam kehidupan seharian.

        Budaya seburuk Hedonisme meresap jauh ke dalam masyarakat, seolah-olah menjadi agama baru yang diimani oleh manusia yang hidupnya hanya untuk berhibur dan memuaskan nafsu semata-mata
.
        Oleh itu sempena menghayati dan  merealisasikan semangat AidulAdha, marilah kita bersama-sama turun menunjukkan bantahan kepada hedonisme yang berlaku sama ada luar dan dalam kampus kita yang tersayang ini dengan turun ke Dataran Agora selepas solat jumaat pada 2 November 2012 ini.

     Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa dari kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Bila tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Bila tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya yang demikian itulah selemah-lemahnya iman.”


Suara Mahasiswa Berkumandang di UKM

UTM Skudai, 16 Jan : Ruang dan peluang telah dibuka seluas-luasnya kepada mahasiswa-mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) apabila Sudut Pidato atau Speakers' Corner (SC) telah diwujudkan semula setelah diharamkan hampir 40 tahun.

Jika disoroti sejarah, pada tahun 1965, Speaker Corner yang pertama di Malaysia telah diadakan di Universiti Malaya (UM) setelah mahasiswa disana mendapat inspirasi daripada pemindato-pemidato bebas yang hebat di Hyde Park, London. Mahasiswa ketika itu menjadikan SC tempat untuk mereka meluahkan pandangan dan pendapat masing-masing.

Ketika itu, Mahasiswa UM menghabiskan masa hujung minggu mereka dengan menghadiri SC untuk mendengar isu-isu terbaru yang diutarakan oleh sahabat-sahabat mereka. Secara tidak langsung, masa mereka dipenuhi dengan benda yang bermanfaat dan menjana minda. Namun kegemilangan SC di UM tidak bertahan lama apabila AUKU 1971 digubal dan SC telah diharamkan dan pentas SC dirobohkan.

Pro Mahasiswa UTM (Pro M) melihat ini sebagai satu situasi yang positif yang mana peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami Ketua Jentera Pro M, ketika ditemu bual menyatakan hasratnya untuk merealisasikan SC di bumi UTM.

"Di pihak kami (Pro M), kami akan cuba untuk menyakinkan pihak pentadbiaran universiti untuk melaksanakan SC di sini (UTM) kerana impak SC pada pembangunan minda dan sosial mahasiswa amat memberangsangkan", tambahnya lagi.

Diharapkan agar Speaker Corner yang menjadi tempat pertembungan idea-idea mahasiswa ini berkekalan supaya nilai mahasiswa itu tidak lesu dan mati kerana bekunya minda manusia yang bergelar 'pemimpin muda ini'.

Pro M : Salam pidato untuk semua!


Petikan Berita Harian 15/1/2010

  • UKM perintis selepas aktiviti diharamkan 1971
  • Pentas suarakan pandangan mahasiswa

    BANGI: Selepas kira-kira tiga dekad diharamkan, akhirnya Sudut Pidato atau Speakers' Corner di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan diwujudkan semula dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini menjadi perintis dalam memperkenalkan sudut itu, semalam.

    Sudut Pidato UKM itu terletak di kawasan terbuka di Teres Eko Niaga bersebelahan Perpustakaan Tun Sri Lanang yang menjadi tempat pelajar universiti berkenaan berehat dan menjamu selera.

    Sempena pelancarannya yang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tiga pelajar diberi peluang untuk berpidato, masing-masing selama lima minit.

    Mereka ialah Izzat Fathi Hisham, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi Fakulti Sains Sosial, Adlin Noramirah Mohamed, 19 (Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan) dan Syamimi Ab Rahman, 23 (Ijazah Sarjana Muda Syariah Perundangan Islam).

    Ketiga-tiganya menyentuh isu keusahawanan dengan Izzat mengaitkan masalah pengangguran di kalangan graduan dengan menimbulkan persoalan sama ada ia berpunca daripada sikap pelajar yang lebih selesa makan gaji atau sistem pendidikan di universiti sendiri.

    Sudut Pidato menjadi pentas popular untuk menyuarakan pandangan di kalangan mahasiswa pada 1960-an hingga 1970-an, sebelum diharamkan selepas pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.

  • Februari tahun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi menarik balik larangan itu menerusi pindaan semula AUKU, tetapi sejak itu belum ada universiti melaksanakannya. Dilema sudut pidato turut menjadi fokus dalam Varsiti sisipan terbaru Berita Harian pada edisi sulungnya, semalam.

    Pada sidang medianya selepas melancarkan Sudut Pidato UKM, Mohamed Khaled berkata, IPT lain mungkin masih menunggu permohonan daripada penuntut masing-masing untuk memperkenalkan sudut itu.

    Beliau bagaimanapun, berharap sudut itu menjadi medan terbaik bagi membangunkan kemampuan dan sikap bertanggungjawab pelajar, terutama dalam melontarkan pandangan serta mengupas pelbagai isu secara kritis dan intelektual.

  • "Kementerian tidak menetapkan garis panduan kepada penuntut dalam menggunakan sudut itu, sebaliknya menyerahkan kepada pentadbir IPT. Kita juga memberi kebebasan kepada pelajar dalam menyuarakan pandangan mereka, asalkan tidak menyentuh sensitiviti tertentu.

    "Apa yang penting, penuntut perlu bertanggungjawab dengan apa yang disuarakan kerana orang lain mendengar, melihat dan menyaksikan mereka.

    "Saya juga tidak ada masalah sekiranya mereka berbeza pendapat dengan saya tetapi matlamatnya sama iaitu untuk kebaikan," katanya yang turut merasmikan Teres Eko Niaga dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) UKM. Hadir sama Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

    Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menerima memorandum daripada sekumpulan pelajar Kolej Kediaman Pendeta Zaaba yang membantah tindakan tidak profesional pengurusan kolej, antaranya menaikkan yuran yang didakwa membebankan pelajar.

    Mohamed Khaled bagaimanapun, menegaskan orang luar tidak dibenarkan menggunakan sudut itu kerana ia khas untuk penuntut.

    "Mengapa perlu orang luar datang bagi memimpin penuntut, sebaliknya mereka perlu menjadi ketua," katanya.

    Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan menubuhkan Unit Keusahawanan di Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Kolej Komuniti dan Jabatan Politeknik dalam usaha mewujudkan nilai, budaya dan pemikiran keusahawanan di kalangan penuntut IPT.

    "Saya akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan supaya peruntukan RM20 juta yang dikhususkan untuk melaksanakan program keusahawanan di kalangan penuntut IPT di bawah program Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dulu disalurkan kepada kementerian untuk menjayakan program ini," katanya.

  • LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...