Keputusan Rasmi PRK UTM 2010

Keputusan Pilihanraya Kampus: Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia 2009/2010

Kerusi Umum:

1. Muhammad Zaki Bin Omar - 7837
2. Nor Amanina Binti Ab Rahim - 7335
3. Mohd Rozi Bin Harun - 6778
4. Muhammad Miqdad Bin Che Mohd Rozi - 6360
5. Nur Syazana Binti Azahar - 5992
6. Ahmat Rajab Bin Khairul Yusri - 5899
7. Muhammad Uzair Bin Azizan - 5739
8. Farah Hanim Mohd Dexter Howell - 5729
9. Yin Leang Huat - 5659
10. Siti Mariam Abdul Lathiff - 5655

Kerusi Fakulti:

Fakulti Alam Bina:
1. Nurfatin Aqilah Binti Mohd Yusof -547
2. Noor Aimran Bin Samsudin - 503
3. Mohd Ainuddin Bin Khairuddin - 403

Fakulti Biosains Dan Biokejuruteraan:
1. Iezzat Emeer Bin Affandi - 189
2. Nor Hafiza Binti Omar - 183
3. Khairina 'Izzati Binti Amir Hussain - 149

Fakulti Kejuruteraan Awam:
1. Siti Amirah Binti Basirun - 683
3. Nurulhayati Bte Md Yusoff - 645
2. Mohd Affendi Bin Ismail - 621

Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan:
1. Ng Ken Hoo (menang tanpa bertanding)
2. Jihan Atikah Binti Md Jalani (menang tanpa bertanding)
3. Nazirahhanim Binti Sharipudin (menang tanpa bertanding)

Fakulti Kejuruteraan Elektrik:
1. Nur Azim Fahada Bin Ahmad - 870
2. Ku Abd Muhyi Bin Ku Abd Hamid - 841
3. Umi Kalsom Binti Mohamad Yusof - 633

Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli:
1. Izam Ikhwan Bin Kamaruddin - 918
2. Nor Aida Binti Yusoff - 713
3. Ahmad Syairazi Bin Rasid - 653

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal:
1. Muhammed Amirul Asyraf bin Hasnan - 822
2. Mohd Fadzli Bin Ismail - 818
3. Nurul Fatiha Binti Mesbah - 805

Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi:
1. Wan Ahmad Hazwan Bin Wan Daud - 545
2. Nur Syahida Binti Anuar - 472
3. Chew Jian Long - 467

Fakulti Pendidikan:
1. Mohd Sharhan Bin Abu Bakar - 636
2. Anis Bin Abd Wahab - 622
3. Ummu Sulaim Binti Osman - 542

Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia:
1. Berlina Dolores Doyou - 885
2. Mohd Hazizi Bin Ishak - 644
3. Loke Wei Kit - 458

Fakulti Sains:
1. Nurul Khalida Binti Hidzir - 772
2. Iskandar Zulkarnain Bin Mohamad Idris - 744
3. Lee Wei Bin - 540

Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat:
1. Mohamad Ariff Bin Makhfudz - 534
2. Nur Aqilah Binti Sabri - 529
3. Chaw Sau Shen - 463

Kampus UTMKL
5 Orang calon bebas telah menang tanpa bertanding


**Nota:
Pro Mahasiswa - 18 Kerusi
Evolusi mahasiswa - 28 kerusi
Bebas - 5 Kerusi

Pro Mahasiswa berjaya meningkatkan sokongan

Utm Skudai, 28 Jan : Keputusan pilihanraya kampus Universiti teknologi Malaysia telah memihak kepada Evolusi Mahasiswa dengan kelebihan undi sebanyak 10 kerusi. Sebanyak 46 kerusi yang telah dipertandingkan bagi kampus skudai manakala 5 lagi di kampus UTMKL.

Pro Mahasiswa telah berjaya meningkatkan sokongan daripada 10 kerusi pada pilihanraya kampus lepas kepada 18 kerusi pada tahun ini. Manakala evolusi telah menang dengan 28 kerusi daripada 46 kerusi yang dipertandingkan bagi kampus UTM Skudai. 5 calon kampus utmkl pula telah menang tanpa bertanding dan semuanya adalah atas tiket bebas.

"Kekalahan itu pasti, kemenangan itu adalah satu anugerah" Jelas seorang calon Pro M ketika diminta mengulas berkenaan kekalahan pada pilihanraya kampus kali ini.

Jumlah mahasiswa turun mengundi juga meningkat apabila lebih kurang 90% mahasiswa telah melaksanakan tanggungjawab bagi memilih kepimpinan majlis perwakilan pelajar sesi 2010.

Walaupun kalah pada pilihanraya kampus kali ini, Ketua Jentera, Saudara Mohd Amin berpuas hati dengan peningkatan sokongan mahasiswa terhadap Pro M. Tekanan dan ugutan daripada sesetengah pengetua kolej juga dilihat sudah tidak mampu menyekat kebangkitan mahasiswa untuk bebas memilih Calon yang dianggap mampu membawa perubahan kepada UTM khasnya kepada mahasiswa.

Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Saudara Azim mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penggerak yang bertungkus lumus siang malam bergerak kerja dan berkempen untuk Pro M. Tidak lupa juga kepada penyokong Pro M yang sentiasa memberi sokongan sepanjang kempen dua hari berlangsung. Sekian.

"Pro Mahasiswa mengucapkan selamat memimpin kepada semua Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2010."

Keputusan tidak rasmi PRK UTM

Utm Skudai, 28 Jan: Pilihanraya kampus UTM telah berakhir pada pukul 5.00 petang tadi. Sekarang penggerak dari kedua-dua pihak sedang berkumpul di dewan Sultan Iskandar bagi menunggu keputusan calon umum.

Pengiraan undi bagi kerusi Fakulti setakat ini telah berakhir. Sebanyak 15 kerusi daripada 36 kerusi yang dipertandingkan telah dimenangi oleh Calon Pro Mahasiswa. Ini bermakna Evolusi@Aspirasi telah mendahului sebanyak 6 kerusi dihadapan.

Lima Kerusi yang dipertandingkan di kampus UTMKL pula telah menang tanpa bertanding. Saudara Zaim, mahasiswa UTMKL yang dihubungi berkata, "semua calon yang bertanding kali ini adalah di atas tiket bebas hasil perbincangan kedua-dua pihak. Maknanya, kami tidak berpihak kepada Evolusi mahupun Pro M itu sendiri."

Pengiraan undi di Dewan sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia Skudai telah selesai. Sedikit masa lagi, pengumuman bagi pemenang calon umum akan disempurnakan oleh yang berbahagia Timbalan Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Tajudin Bin Hj Ninggal. Sekian.




Pro M dianiaya

Utm Skudai, 28 Jan : Kempen Pro M malam semalam mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari mahasiswa apabila tempat-tempat pidato umum yang disampaikan oleh Pro mahasiswa telah dibanjiri oleh ratusan mahasiswa. Malah ada sebahagian dari mereka sanggup mengekori pidato umum Pro M dari satu tempat ke tempat yang lain. Mahasiswa dilihat terpukau dengan kehebatan pidato umum yang ditunjukkan oleh calon Pro M.


Namun, semasa berlangsungnya pidato umum semalam, majlis telah diganggu dengan pekikan penyokong evolusi yang diketuai oleh salah seorang pengetua disebuah kolej di UTM. Tetapi provokasi yang mereka lakukan tidak diendahkan oleh mahasiswa yang lain.

Pagi ini pula, Pro M telah dikejutkan pembakaran poster di beberapa Fakulti malah ada poster yang digantung ditempat-tempat tertentu telah dibuang. Beberapa orang penggerak Pro M yang ditemui sangat kecewa dengan tindakan kotor seperti ini. Adakah ini tindakan terdesak??

Lebih mengejutkan lagi pada hari pembuangan undi bermula hari ini apabila bilik PMI juga telah menjadi sasaran kepada "puak-puak biadap" apabila bilik operasi PMI telah di conteng dengan kata-kata kesat, "PRO M SUCK". Tindakan seperti ini dilihat seolah-olah tindakan terdesak pihak-pihak tertentu apabila melihat sambutan terhadap Pro M semakin meningkat.


Sehubungan dengan itu, Pro M pagi ini telah membuat laporan kepada pengarah keselamatan, En. Halim untuk siasatan dan tindakan segera. Sabotaj ini bukan kali pertama dilakukan terhadap Pro M. Sebelum ini, Calon Umum Pro Mahasiswa, Saudara Uzair yang pernah dipelawa untuk menyertai Evolusi, telah diugut dengan menyimbah cat oren ke atas motor beliau.

Pro Mahasiswa berharap semua penyokong tegar dan penggerak Pro M dapat bersabar dengan tidak melakukan sesuatu perkara tanpa arahan dari Jentera Pro M Pusat. Kita beri kepercayaan kepada pihak keselamatan untuk menyiasat perkara ini. Doakan "puak-puak" biadap ini mendapat hidayah. Sekian.


Laporan Terkini Perjalanan Pemilihan MPMUTM 2010

8.30am
Jentera Pro-M membuat laporan tidak rasmi kepadaPengarah keselamatan UTM, Encik Halim dengan menggunakan mesej pesanan ringkas mengenai pintu bilik PMI diconteng dengan menggunakan spray. Jentera tidak membuat laporan secara kerana ada kelas pada waktu pagi.

9.00am
Encik Halim, Ketua Pegawai Keselamatan membalas: "Ok, pihak kami ke lokasi berkenaan segera. TK"

Sesetengah pusat pembuangan undi di fakulti-fakulti sudah mula dibuka dan pengundian berjalan lancar.

9.15am
Satu lagi laporan tidak rasmi kepada Ketua Pegawai Keselamatan dibuat. Poster-poster nama calon Oren dijatuhkan dengan sengaja dan ada juga poster-poster calon oren yang sengaja dilindungi poster pihak lawan. Di FKKSA juga perkara sama berlaku di sana.

4.00pm
Beberapa pusat mengundi sudah mula menutup pusat mereka (FKBSK), kerana mempunyai bilangan pelajar yang sedikit.

5.00pm
Semua pusat mengundi telah ditutup dengan selamat.

Pihak Pro-Mahasiswa UTM mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga UTM atas keprihatinan anda untuk keluar mengundi pada hari ini. Kepada semua semua marilah kita sama-sama berdoa agar MPM yang bakal terpilih ini mampu memacu UTM kearah yang lebih baik pada masa akan datang.

Sudut Pidato di SUB

27 Januari 2010, SUB : Hari ini adalah hari kedua Sudut Pidato atau Speaker Corner diadakan. 6 calon PRO-M telah menyampaikan manifesto masing-masing manakala hanya seorang calon EVO-M yang berucap.






Pembukaan Sudut Pidato Dari Pro-Mahasiswa

26 Januari 2010 : SUB & Arked Meranti.

Setelah hampir berabad sudut pidato dimansuhkan, ia dihidupkan semula di UTM. Bermula dengan ucapan calon-calon di SUB, para mahasiswa dapat melihat bakat kepimpinan yang terpendam dalam diri calon-calon. Melalui cara ini, mahasiswa dapat membuat pilihan berdasarkan kualiti yang terdapat dalam diri calon tersebut, bukan sahaja dengan menilai rupa paras seperti yang berlaku pada siri-siri Pemilihan MPP yang lalu.







Evo-M satu pembohongan

UTMICKL Kuala Lumpur, 26 Jan : Pro Mahasiswa mendesak supaya pihak Evo-M menarik balik kenyataan yang dibuat melalui web http://evolusimahasiswa.blogspot.com yang bertarikh 26 Jan 2010. Kenyataan yang di buat pihak terlibat mengenai PRK di UTM International Campus, seolah-olah satu kenyataan yang bersifat pembohongan yang mana kenyataan kersebut berbunyi:




“Di UTM International Campus, Evolusi Mahasiswa telah memenangi 4 kerusi tanpa bertanding. Sementara di Fakulti Kejurteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli, dan Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat, pihak Pro Mahasiswa hanya menghantar 2 orang calon mereka ke kerusi fakulti tersebut. Manakala di Fakulti Biosains Dan Biokejuruteraan dan Kerusi Umum UTM International Campus, Pro Mahasiswa hanya menghantar seorang calon.”




Artikel tersebut ditulis dibawah tajuk 13 Kerusi MPPUTM milik Evolusi Mahasiswa. Saya sebagai wakil Pro Mahasiswa merasakan kenyataan yang dibuat keterlaluan, dan sepertimana yang kita tahu tidak ada pro-m apatah lagi evo-m yang menang di kampus UTMICKL, kerana semua calon-calon yang bertanding di atas tiket CALON BEBAS. 5 calon yang menang tanpa bertanding tidak ada kaitan langsung dengan evo-m mahupun pro-m. kenyataan yang menyatakan kemenangan 4 kerusi di pihak evo-m adalah satu kenyataan atau fakta yang salah sama sekali. Saya merasakan evo-m kini sudah mula terumbang ambing dengan gelombang pro-m yang kian tersebar di kebanyakkan kampus-kampus, dan mereka kini sudah menunjukkan sifat yang sebenar, iaitu saya merasakan mereka sudah pening dan sanggup menyatakan calon bebas yang menang di pihak mereka. Ini satu kenyataan yang memalukan evo-m sendiri yang mana kita semua boleh menilai. Seolah-olah meletakkan orang lain untuk menutup evo-m yang sudah berlubang.




Saya tidak tujukan sepenuhnya kepada Revo-M di peringkat UTMICkl, mungkin evo adalah revo dan mungkin juga tidak. Cuma peringkat pakatan di antara pro-m dgn revo-m sudah persetujui tidak meletakkan calon di bawah parti masing-masing dan juga bersetuju calon di pertandingkan di bawah parti bebas. Peringkat pro-m sekarang sudah merasakan pihak terbabit sudah memungkiri janji dan melanggar perjanjian yang di buat. Saya merasakan agak kecewa dengan mereka, sebab perjanjian dibuat didepan semua calon-calon, dan ini seolah-olah memperbodohkan calon itu sendiri. Ini adalah pakatan yang pertama saya rasa, dan sudah ada perkhianatan. Saya menyeru pada sahabat-sahabat supaya menilai sendiri, kebaikan dan keburukan yang jelas.Kita diperingkat pro mahasiswa sudah memberi kerjasama yang baik dalam pakatan tersebut, dan ingatlah Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya:




Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas.




Pro mahasiswa sekali lagi menegaskan supaya pihak terbabit menarik balik kenyataan pembohongan dan penipuan tersebut segera yang mungkin, dan saya berharap supaya meletakkan fakta yang benar lagi sahih. Kita perlu ingat setiap tindakkan kita, perbuatan kita, jangan kita merasakan orang lain buta, tidak melihat, tidak boleh menilai. Saya menyeru kepada semua mahasiswa, supaya dapat menilai dengan baik kepimpinan yang kita pilih. Satu perkara kita perlu ingat pemimpin ialah iman. Dalam surah al-Kahfi Allah menyatakan iman itu ada tiga implikasi, iaitu ‘imun’, ‘aman’ dan ‘amin.’




Imun maknanya kebal daripada maksiat dan kebal daripada rasuah. Aman maknanya dia berasa aman bila bersama Allah, malah di depan orang dia baik, di belakang orang pun dia tetap baik, bukannya hipokrit. Manakala ‘amin’ pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah dipercayai barulah layak menerima amanah .




Waallahualam..1Evo-m, 1Pembohongan, 1Pengkianatan, 1UTM




Pendedahan Eksklusif : Evolusi disebalik tabir.

SURAT TERBUKA BUAT AYAHANDA NAIB CANSELOR SEMPENA PILIHANRAYA KAMPUS (PRK)

AUTONOMI UNIVERSITI YANG DICEMARI : MOHON PENJELASAN

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi rasa syukur saya panjatkan ke atas Ilahi atas limpah rahmat serta kasih sayangNya kita masih lagi dikurniakan pelbagai limpahan nikmat di bumi UTM yang tercinta ini.

2. Saya yakin dan percaya kehadiran surat ini mungkin akan mengundang sedikit rasa kecewa diperingkat Dato’ disebabkan selaku anak saya merasakan ianya agak kurang beradab untuk berbicara dalam ruang sesempit ini. Namun saya lebih yakin bahawa Dato’ akan lebih kecewa apabila melihat sendiri gelagat serta tindakan sebahagian daripada penggerak dan pentadbir universiti yang cuba untuk memburukkan serta mencemarkan imej dan nama baik universiti.

3. Selaku penggerak utama Pro-Mahasiswa, saya merasa sedih dan kecewa dengan tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Mohad Anizu Bin Hj Mohd Noor ( Pengetua Kolej Rahman Putra) kepada salah seorang calon Pro-Mahasiswa yang mana dalam ucapan beliau banyak menyentuh soal pencemaran terhadap autonomi universiti oleh pihak-pihak luar serta mengajar dan mendidik tentang budaya politik kotor yang sememangnya bertentangan dengan politik nilai yang Pro-Mahasiswa perjuangkan.

4. Di sini disertakan bersama rakaman suara lebih kurang 40 minit[link] berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Mohd Anizu Bin Hj Mohd Noor ketika bertemu dengan salah seorang calon Pro-Mahasiswa.

5. Antara kenyataan yang perlu diberi perhatian serta mendapatkan penjelasan terperinci daripada pihak pentadbiran Universiti Teknologi Malaysia setelah mendengar rakaman tersebut adalah seperti berikut :

5.1 AUTONOMI UNIVERSITI YANG DICEMARI

10 : 14 - “Dahulunya tak ada pengaruh luar, bila masuk pengaruh luar ada pemimpin-pemimpin di dalam kampus ini yang terpengaruh dengan pengaruh luar cuba bentuk satu kumpulan baru, sebab tu dulu tak ada aspirasi…”

13 :40 – “ menang diorang nih (PMI) sebab tu universiti tak dibagi apa…setiap universiti yang menang dianggap pembangkang dimana-mana kampus, org UMNO akan bersuara, apa tu pembangkang menang di kampus nih, jangan bagi apa-apa pada mereka…mereka menentang kerajaan..sebab tu lah kita tak dapat apa-apa, kita yang terakhir dapat stadium…”

14 : 08 – “ Jika Pro-M nih menang UTM akan mundur laa…ya, mungkin kerajaan..itu orang kata dasar kerajaan mana-mana sekalipun…”

15 : 00 –“ Budak-budak Pro-M kalau menang nanti kerajaan stop stadium ni apa awak nak ?..”

15 : 38 – “ Sebab tu saya kata kalau menang Pro-M, kita tidak akan dipandang oleh kerajaan..”

27 : 30 – “ Sama-sama..sebab dah mula ada pembangkang, sebab itu kita sendiri UMNO tu dia prihatin dengan pilihan raya kampus..ha…dia prihatin sebab kalau ada pembangkang habis kita..sebab tu la UMNO..memang saya akui UMNO pun support kita(Evolusi)…”

16 : 02 – “kerajaan memang bagi arahan, ya bagi jugak sebab…lima tahun lepas tu pernah dia kutuk UMNO..ahh NC, dia melibatkan sendiri kekalahan aspirasi menyebabkan NC jatuh, TNC NC jatuh, sebab dikira gagal menguasai pelajar…”


5.2 CAMPURTANGAN PENGETUA DALAM PERCATURAN PILIHANRAYA KAMPUS & DEMOKRASI MAHASISWA DITINDAS

8 : 06 – “ Jika awak berada di sebelah sana, awak tak bersama saya lah..sebab tu saya cakap, orang yang bersama saya saja akan dilantik jadi JKM…”

9 : 40 – “ Itu kuasa pengetua, pengetua buat apa yang patut..sebab awak berada di pihat satu lagi, awak tak bersama saya..saya,macam saya cakap tadi,calon-calon saya nih calon Evo..kalau awak nak bertanding mungkin awak nak menang…saya calonkan awak calon Evo..calon bersama pengetua…”

10 : 32 – “ Kira Aspirasi nih bawah pengetua lah..calon-calon aspirasi tu semua bawah pengetua..maknanya calon-calon kamilah..”


5.3 MENGANJURKAN AMALAN POLITIK KOTOR

12 : 07 –“ Kalau aktif kamu dapat kuota, tu macam tak professional..betul tu tak professional tapi orang kata nih hakikat, di luar sekalipun..di luar contoh..pasti dimana-mana pun di luar memerintah negeri pasti dah dia akan cantas parti-parti yang lain…kalau contoh BN perintah, semua org2 PAS dalam tu, contoh cikgu-cikgu kena pindah jauh”

32 :53 – “ Sebab tu wujudnya unsur kronisme, sebab orang ni je yang boleh bekerja dengan kita..takkan dia nak amik orang-orang…”

39 :08 – “Kalu awak bertanding untuk saya..Kita akan bagi support sepenuhnya,kolej akan bagi support, modal..”

6. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan ini membuktikan sememangnya wujud campur tangan pihak politik terutama UMNO dalam mencatur kedudukan serta perjalanan universiti itu sendiri yang sepatutnya menjadi taman akademik melahirkan golongan intelektual yang terhindar daripada pengaruh kotor sebegini. Keadaan ini bukan sekadar menggugat autonomi universiti malah memberi kesan yang buruk kepada warga kampus itu sendiri khususnya mahasiswa. Saya selaku wakil mahasiswa amat kecewa dengan campurtangan politik khususnya UMNO yang mengganggu gugat perjalanan universiti.

7. Kami Pro-Mahasiswa mewakili suara seluruh mahasiswa kampus UTM amat-amat menantikan jawapan penjelasan dari pihak ayahanda NC andai sekiranya kenyataan yang dikeluarkan ini adalah tidak benar dan bercanggah dengan amalan universiti selama ini. Ini kerana, kami melihat perkara ini sebagai suatu masalah yang serius dan mampu mencemarkan nama baik universiti.

8. Sekiranya kenyataan yang dikeluarkan ini bercanggah dengan amalan universiti, saya amat berharap agar satu tindakan tatatertib dikenakan terhadap pihak yang terlibat. Ini kerana, kes seperti ini dilakukan secara berulang oleh orang yang sama. Saya menyarankan agar saksi yang terlibat dalam rakaman ini dijemput bersama untuk memberikan keterangan secara rasmi. Sekiranya pihak universiti gagal untuk menyelesaikan masalah ini, kami diperingkat Pro Mahasiswa akan cuba bawa perbincangan kes ini ke luar melalui khidmat guaman dan beberapa badan berkaitan yang akan cuba kami aturkan agar mahasiswa tidak lagi diperlakukan seperti ini.

9. Saya yakin dan percaya, UTM bukan sahaja mahu melahirkan mahasiswa yang memiliki daya intelektual dan sifat integriti yang tinggi, malah UTM juga mahu melahirkan kakitangan dan pentadbir yang berkualiti serta amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Universiti yang bersih serta tidak tercemar dengan amalan budaya membudakkan mahasiswa akan disanjung tinggi.

10. Akhir kalam, saya mewakili suara seluruh mahasiswa UTM meletakkan setingi-tinggi pengharapan pada Dato’ dalam usaha menjernihkan perkara ini. Harapan yang menggunung tinggi ini serta kerjasama yang diberikan oleh ayahanda Dato’ Naib Canselor kami dahului dengan ucapan jazakallahu khairan jaza’. Mudah-mudahan usaha sama yang dibuat menjaga kualiti serta integriti universiti ini member manfaat untuk jangka masa panjang.


Yang Benar,
MOHD AMIN BIN MOHD HAMAMI
Ketua Jentera
Pro-Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia
No.HP : 013-7143682

Manifesto Umum ProMahasiswa UTM - Kebajikan

Our UTM is Our Responsibility

Kebajikan adalah suatu usaha untuk memastikan mahasiswa sentiasa berada dalam kedudukan yang baik terutamanya dari segi mental, fizikal dan persekitaran. Dalam usaha menyokong gagasan NC untuk menjadi Research University, kebajikan mahasiswa haruslah ditekankan agar usaha ini dapat berjalan dengan lancar.

Oleh itu, kami pro-mahasiswa akan memperjuangkan hak kebajikan mahasiswa dari segi:

Kewangan. Yuran pelajar perlu dikaji semula di peringkat pentadbiran. Ini kerana pelajar dikenakan yuran kolej yang tidak selaras atas alasan kedudukan kolej yang terletak di lingkaran dalam atau di lingkaran luar. Kolej yang berada di lingkaran dalam dikenakan yuran asrama yang lebih mahal berbanding dengan kolej yang berada di lingkaran luar dengan perkiraan RM4.50 untuk bilik double di lingkaran dalam dan RM3.50 untuk bilik double di lingkaran luar. Selain itu, pelajar juga diminta untuk menjelaskan yuran pengangkutan / bas. Keadaan ini berbeza dengan yuran di UTMKL yang mana pelajar dikenakan RM3/sehari untuk bilik double dengan kemudahan bilik air dan keadaan bilik yang lebih selesa berbanding di UTM Skudai. Persoalannya, berbaloikah yuran yang dikenakan ke atas pelajar atas perkhidmatan yang diberikan? Ini kerana UTMKL yang didirikan di atas tanah sewa dikenakan yuran yang lebih rendah berbanding dengan pelajar di UTM Skudai yang berada di tempat sendiri dikenakan yuran yang lebih mahal.

Pembayaran yuran untuk perkhidmatan internet sebanyak RM20/sem. Kemudahan WIFI merupakan satu perkhidmatan yang penting kepada mahasiswa untuk memudahkan mahasiswa mendapatkan maklumat dan bahan-bahan tugasan. Namun, perkhidmatan WIFI di dalam UTM masih berada di tahap yang kurang memuaskan kerana tidak semua kawasan mendapat coverage WIFI yang secukupnya. Jika di kaji dari pembayaran yuran internet, seorang pelajar dikenakan RM20/sem. Dan jumlah pelajar di dalam UTM mencecah hampir 22,000 orang. Dari perkiraan pembayaran ini, pihak pentadbiran mendapat RM440,000 untuk satu semester. Dan dalam setahun pembayaran yuran untuk perkhidmatan WIFI yang diterima mencecah hampir 1 juta. Namun, perubahan perkhidmatan WIFI masih di tahap yang sama. Adakah berbaloi RM20 yang di bayar setiap semester jika di bandingkan dengan penggunaan broadband jenis topup seperti DIGI?

Selain itu, UTM juga menyediakan bantuan kewangan samada dalam bentuk pinjaman atau dermasiswa untuk kebajikan mahasiswa. Namun, tempoh untuk pemprosesan permohonan bantuan kewangan tersebut mengambil masa yang lama. Oleh itu, perlunya usaha untuk menggesa pihak pentadbiran (bendahari) mempercepatkan proses pemohonan pinjaman. Ini kerana tujuan bantuan kewangan disediakan adalah bagi meringankan bebanan pelajar dari segi kewangan. Jika pemprosesan pemohonan ini mengambil masa yang lama, dimanakah peranan kebajikan untuk mahasiswa? Ini kerana masalah kewangan boleh menjadi punca kepada masalah sosial terutamanya di kalangan siswi seperti bekerja part-time sebagai pelayan kelab malam, pelacuran dan sebagainya.

Kedua, keselamatan. Keadaan keselamatan di UTM masih berada di tahap terkawal. Namun terdapat beberapa kesalahan yang menyebabkan tindakan tatatertib AUKU dikenakan seperti kes bercumbu, skodeng @ meneropong ke asrama siswi dan sebagainya. Di antara sebab terjadinya keadaan ini ialah kedudukan asrama siswa dan siswi yang berdekatan. Jika dilihat kes di atas hanyalah beberapa kes yang berjaya di kesan dan di ambil tindakan sedangkan jumlah sebenar kes seperti ini tidak dapat di kesan sepenuhnya. Persoalannya, dimanakah tahap keselamatan mahasiswa terutamanya siswi di dalam UTM? Dan kenapa pencegahan tidak dilaksanakan? Oleh itu, pengkajian semula penempatan asrama siswa dan siswi terutamanya di kolej yang menempatkan kedua-dua gender perlu dilakukan. Di samping menambah bilangan mak guard dan pak guard untuk diletakkan di setiap kolej untuk memastikan keselamatan terkawal terutamanya di waktu malam.

Manifesto Umum ProMahasiswa UTM - Inovasi

Penerapan dan penghayati budaya Inovasi di dalam kehidupan mahasiswa bagi meningkatkan daya saing mahasiswa dalam usaha menyokong sekaligus membantu merealisasikan Dasar Pembangunan Mahasiswa berasaskan nilai tinggi kreativiti dan inovasi.

Huraian:

Menurut buku tulisan NC, Prof Dato Ir Dr Zaini Ujang yang bertajuk ‘Siri syarahan Perdana Naib Canselor: Universiti Kreativiti dan Inovasi di halaman 4 ~ Definasi budaya inovasi merujuk kepada kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam aspek kehidupan untuk kemakmuran, kedamaian, kesenangan, kesejahteraan dan kelestarian menerusi penyelesaian kreatif.

“Kesediaan berubah, mencuba perkara dan cara baru dalam aspek kehidupan”

Sedar atau pun tidak segelintir mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini gagal mencapai kejayaan sepenuhnya dalam pengajian kerana mereka masih mengamalkan budaya 3K iaitu ‘Kolej, Kuliah dan Kantin’ dalam rutin harian mereka.
Akibat terikat dengan rutin itu, pergaulan mereka dengan mahasiswa lain serta dunia luar agak terhad sehingga menyebabkan wujud kekurangan dari segi pengetahuan berkomunikasi yang menjadi bekalan utama menempuh alam pekerjaan.

Mahasiswa yang mengamalkan budaya 3K ini, hanya memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik. Rutin harian mereka hanyalah keluar dari kolej dan terus ke bilik kuliah sebelum ke kantin apabila sampai masa rehat. Kemudiannya, akan menyambung kuliah dan selepas itu balik semula ke kolej tanpa menyertai aktiviti lain.

Sebagai mahasiswa budaya 3K haruslah dikurangkan malah kalau boleh dihapuskan kerana ia hanya akan membuatkan pengetahuan mahasiswa itu terhad. Oleh itu, kami memperjuangkan transformasi Budaya 3K kepada Budaya Inovasi sejajar dengan Dasar Pembangunan Mahasiswa yang digagaskan oleh ayahanda Naib Canselor UTM, Profesor Dato Ir. Dr. Zaini Ujang yang bertujuan untuk melahirkan graduan holistik yang bercirikan kepatuhan kepada Tuhan dan mempunyai keseimbangan jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial (JERIS) untuk memenuhi kehendak pasaran masyarakat tempatan dan global.

Mahasiswa proaktif haruslah sedar kepentingan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri yang menjadi aset utama kita mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.“Kita harus seimbangkan akademik dan aktiviti kokurikulum kerana kedua-duanya yang sebenarnyamenentukan kualiti seseorang graduan.

‘Budaya 3P sebagai nilai tambah kepada Budaya 3K’

Proaktif: mahasiswa mengambil inisiatif
Prihatin: cakna isu bersifat global dan responsive
Pimpin: Boleh memimpin diri sendiri dan masyarakat

Manifesto Umum ProMahasiswa UTM - Akademik

Pemerkasaan akademik secara keseluruhan merangkumi peningkatan PNGK yang konsisten, nilai sahsiah yang tinggi dan juga kemahiran generik yang baik dalam diri setiap mahasiswa.

Prof Dato’ Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia di dalam buku beliau, Menghayati Budaya Ilmu menyatakan bahawa universiti bukanlah tempat untuk mendapatkan ilmu untuk kepentingan diri sendiri seperti persediaan ke alam kerja semata-mata tetapi lebih luas dan lebih jauh daripada matlamat tersebut, beliau menyeru semua warga Universiti Teknologi Malaysia, mahasiswa khususnya dan semua staf akademik dan staf bukan akademik untuk sama-sama menjadikan UTM sebagai sebuah pusat tamadun yang menjadikan ilmu sebagai teras kehidupan.

Oleh itu, kami di pihak PRO-MAHASISWA menyambut gagasan ini dan kami ingin membawa satu pendekatan kepada mahasiswa iaitu pemerkasaan akademik secara keseluruhan merangkumi peningkatan PNGK yang konsisten, nilai sahsiah yang tinggi dan juga kemahiran generik yang baik dalam diri setiap mahasiswa. Kita semua mengetahui bahawa kemahiran-kemahiran yang dikuasai oleh mahasiswa merupakan satu nilai tambah di samping pengetahuan dalam bidang masing-masing. Jika mahasiswa mampu untuk mengurus organisasi pada hari ini contohnya, mahasiswa juga pasti mampu untuk mengurus keadaan yang lebih besar di luar alam kampus suatu hari nanti.

Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas ada menyebut bahawa ‘orang yang tanpa kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila dia memanfaatkan kemampuan berfikirnya dan memiliki pengetahuan yang cukup mengenai pokok bahasan yang diminatinya. Persoalannya ialah, adakah kita sebagai mahasiswa dengan kelayakan akademik telah mengaplikasikan segala ilmu dan hikmah yang telah kita pelajari di UTM selaras dengan visi dan misi UTM sendiri mahupun selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang mensasarkan pembangunan mahasiswa dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

Budaya ilmu merupakan amalan masyarakat yang bertamadun. Oleh itu, kami ingin memperbanyakkan program-program berbentuk akademik yang dapat meningkatkan kualiti mahasiswa secara dalaman dan luaran. Sebagai contoh, NC telah mengeluarkan idea yang sangat baik iaitu program Saturday Night Event sebagai saluran untuk mahasiswa berhibur di samping mencambah buah fikiran dengan forum, diskusi dan sebagainya. Berhibur tiada salahnya tetapi hiburan bagaimana yang mahasiswa sebagai ahli intelek perlukan?

Agenda PRO-M juga selari dengan Dasar Pembangunan Mahasiswa UTM yang dibangunkan oleh TNC melalui 3 objektif iaitu pembangunan akademik, pembangunan individu dan sosial serta pembangunan kerjaya. Melalui pembangunan akademik, mahasiswa juga perlu cakna dan peka terhadap keadaan sekeliling dan kreatif dalam mengaplikasi ilmu yang pelbagai sesuai dengan bidang masing-masing. Allahyarham Mohamad Natsir (Tokoh negarawan, pemikir, pendakwah dari Indonesia) seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan. Dalam situasi mahasiswa pada hari ini, jgn kita hanya membangun PNGK sahaja tetapi akhlak, sahsiah, integriti juga perlu membangun seiring. Kami menantikan mahasiswa yang dididik dengan budaya ilmu ini pada akhirnya mampu menjadi seorang yang pakar dalam bidang profesionnya serta mampu membaiki keadaan masyarakat sekeliling.

PRO-MAHASISWA sangat komited untuk memanfaatkan dan memperkasakan ‘books corner’ sebagai satu kemudahan kepada mahasiswa untuk menambah ilmu yang mempunyai pendekatan bahan bacaan yang lebih santai tetapi sarat dengan ilmu semasa sesuai dengan keadaan semasa. Kami akan berusaha untuk mempelbagaikan bahan-bahan bacaan dari bahan yang sedia ada kepada pelbagai jenis bahan bacaan ilmiah lain sesuai dengan keintelektulan mahasiswa. Dengan cara ini,kami yakin dan percaya bahawa mahasiswa lebih mudah untuk mencapai ilmu di mana-mana sahaja seterusnya akan melahirkan mahasiswa yang mampu mendepani massa dan menyelesaikan isu secara global dengan fakta dan penilaian yang tepat.

Manifesto Umum ProMahasiswa UTM - Perpaduan

Bagaimana untuk meng”utuh”kan perpaduan masyarakat kampus?

Perpaduan menurut acuan 1Malaysia bukanlah satu konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad kita merdeka. Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti.

Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar Kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Jika "Bangsa Malaysia" yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan kearah matlamat itu.

Pengertian ini adalah bertunjangkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1Malaysia menekankan sikap "Penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Formula 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua ialah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.

Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah saya huraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap "penerimaan" antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara; dan ketiga adalah keadilan sosial. Teras-teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian dari budaya hidup rakyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat menghormati, Tawaddhu', kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

Memperkasa Toleransi Agama Di Kampus Universiti

Mahasiswa yang menuntut di pusat pengajian tinggi seluruh negara terdiri daripada mereka yang menganut agama yang berbeza.Namun begitu perbezaan agama tidak sewajarnya menjadi penghalang kearah usaha memperkasa perpaduan, mengeratkan ukhwah dan menyemai cinta dan kasih sayang di kalangan mahasiswa.

Dalam konteks Malaysia sebagai masyarakat majmuk,mahasiswa sepatutnya sedar dan insaf bahawa mereka perlu hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni dan tidak terpengaruh dengan dakyah perkauman dan pemahaman agama yang sempit.Ajaran agama perlu difahami dengan tepat dan terbuka memandangkan perbezaan agama tidaklah bermakna kita perlu saling bermusuhan dan benci-membenci antara satu sama lain bahkan mesej agama itu sendiri ialah cinta.

Perjuangan agama seperti agama Islam itu ialah perjuangan cinta.Wajah agama itu ialah wajah yang toleran,menyeru kearah kedamaian,keamanan dan saling hormat-menghormati.Ajaran agama Islam menolak sikap taksub melampau,peperangan,permusuhan,pertelingkahan bahkan menyeru kita menghormati kepelbagaian aliran pemikiran agama.

Melihat realiti di kampus universiti,tahap kesedaran dikalangan mahasiswa terhadap sikap toleransi terhadap agama masih rendah.Masih ada mahasiswa yang cenderung bergaul dan bersahabat hanya dengan mereka yang satu bangsa dan satu agama dengannya.

Di kafeteria,mereka duduk makan sesama sendiri sahaja.Di bilik-bilik kolej kediaman mereka hanya mahu tinggal sekelompok mereka sahaja.Program-program yang melibatkan bangsa dan agama lain mereka tidak akan hadir.

Ini tentunya menyebabkan integrasi social tidak berlaku.Mahasiswa yang mempunyai pemikiran sebegini pastinya tidak akan faham dan mengerti akan budaya,ajaran agama sahabat mereka yang lain dan akhirnya jadilah mereka umpama kera sumbang dan katak di bawah tempurung.

Persatuan-persatuan berasaskan agama seperti Persatuan Mahasiswa Islam ,Kristian,Hindu,Buddha, dan lain-lain di kampus universiti bolehlah mengadakan program bersama yang melibatkan kerjasama mahasiswa dari pelbagai agama seperti mengadakan program-program kebajikan yang melibatkan masyarakat seperti menziarahi rumah anak-anak yatim dan warga tua,ziarah pesakit di hospital,gotong-royong dan sebagainya.

Ini dapat memupuk perasaan kasih sayang terhadap semua golongan tanpa mengira agama dan kepercayaan apapun seterusnya menyedarkan mahasiswa dari anutan agama yang berbeza bahawa mereka semuanya tidak lain tidak bukan ciptaan Tuhan yang Maha Esa.
Dialog antara agama juga perlu selalu diadakan agar mahasiswa dapat memahami selok-belok ajaran agama lain dengan harapan mereka dapat menghormati penganut agama lain.Menghormati penganut agama lain tidak sedikit pun mengurangkan iman kita terhadap agama yang kita anuti bahkan lebih membuatkan orang lain menghormati agama anutan kita.Semoga pemikiran mahasiswa lebih matang dengan mengamalkan toleransi agama seterusnya menyemarakkan perjuangan cinta antara manusia

Manifesto Umum ProMahasiswa UTM - Kepimpinan

Satu platform kepimpinan yang lebih matang, dinamik dan responsif dalam mendepani massa dalam isu-isu pada peringkat kampus, nasional dan antarabangsa.

Huraian:

Pemimpin merupakan teras dalam sesebuah koloni dalam membawa halatuju masyarakat yang dipimpin ke arah kecermelangan bagi segenap ruang lingkup kepimpinannya. Secara khususnya, kepimpinan mahasiswa diertikan sebagai kepimpinan yang diasaskan oleh rasa tanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan umum. Ia juga dikatakan sebagai medan latihan sebelum terjun ke medan sebenar.Jika sekarang kita dikelilingi rakan-rakan mahasiswa/i yang sama tahap keintelektualannya,cuba bayangkan bila kita berada di pentas dunia realiti , kita akan berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza latar belakang dan inilah liku-liku kehidupan serta cabaran yang harus kita tempuh sebenarnya.Jika tidak disambut cabaran dalam kampus ini,BILA LAGI UNTUK MENGUJI KEMAMPUAN KITA UNTUK MEMIMPIN?.Bukankah setiap dari kita adalah pemimpin. Pada ketika ini kita tiada pemimpin, diri inilah adalah pemimpin diri bagi menuju era kepimpinan yang lebih besar.Walaupun tiada daya dan kekuatan, namun kita kena menjadi kuat menghadapi. SIAPA LAGI HENDAK MEMIMPIN KALAU BUKAN KITA YANG MULA MEMIMPIN.

Pada peringkat Pro Mahasiswa UTM,kami menyediakan satu platform kepimpinan yang lebih matang, dinamik dan responsif dalam mendepani massa dalam isu-isu pada peringkat kampus, nasional dan antarabangsa.. mahupun isu-isu kampus yang seharusnya diambil cakna oleh pihak pentadbiran universiti demi menjaga kelangsungan kebajikan mahasiswa/i secara menyeluruh. Dalam erti kata lain, kita cuba mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan dekat di hati antara mahasiswa/i dan pihak pentadbiran sekaligus dapat menjana sinergi dalam memacu gagasan tranformasi kreatif dan inovasi yang disuarakan oleh ayahanda NC,Prof Dato’ Dr Ir Zaini Bin Ujang.

Selain mengagendakan pelaksanaan pelan tranformasi pembangunan mahasiswa dan sebagainya,kami amat komited dalam memperjuangkan sekaligus melindungi hak mahasiswa tanpa mengira bangsa dan agama di bawah satu payung kesejagatan mahasiswa terpimpin.Semua mahasiswa berhak menyatakan keperluan asasinya sebagai mahasiswa selagi mana tidak bercanggah dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti,Perlembagaan Malaysia serta Deklarasi Universal tentang Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.Apalah ertinya sebuah universiti tanpa MAHASISWA. Apalah pula ertinya mahasiswa tanpa NILAI DAN KEGIATAN KEMAHASISWAAN yang sederhana.

Sebagai wadah kepimpinan yang telus serta berintegriti, kami juga amat komited untuk memperkasakan mahasiswa dengan elemen yang baik dalam sebuah ekosistem akademik yang lebih bersifat ’mesra siswa’. Ini bagi menjamin ketidaktandusan kepimpinan pada masa akan datang tanpa mengira apa jua lapangan sekalipun sama ada persatuan-persatuan,kelab-kelab mahupun Jawatankuasa Kolej Mahasiswa di kolej-kolej. Kami tidak mahu wujudnya sikap ’kita-kita je’ atau suatu kelompok eksklusif di kalangan mahasiswa/i yang langsung tidak dapat dicapai mahupun didekati oleh mahsiswa/i amnya di UTM ini.Ingat kita semua SERUPA tapi yang membezakan adalah ILMU,MENTALITI serta KEMATANGAN kita sebagai mahasiswa terpilih untuk berada di gedung ilmu ini.

Dalam melahirkan waris kepimpinan yang baik, kita perlu bersama menyingsing segala kekuatan yang ada dalam mencorakkan gaya kepimpinan yanag akan mentadbir negara ini pada masa akan datang. Dalam hal ini, golongan mahasiswa seharusnya mengekalkan status serta identiti yang diberikan oleh masyarakat sejak dari awal 30an lagi bahawa mereka telah dinobat sebagai jurubicara masyarakat, penerus kepimpinan mampan dan penyala obor ummah.

Justeru itu, di universitilah antara platform yang terbaik dalam mengasah bakat kepimpinan dan mempertajamkan kemahiran –kemahiran yang boleh dijadikan sebagai senjata ampuh dalam mempertahankan dan menjaga negara mahupun kampus tercinta ini dari sebarang ancaman mara bahaya serta anasir-anasir kebencian akan kesatuan di bawah nama MAHASISWA.

Peraturan kempen PRK UTM mencabul demokrasi kampus


UTM Skudai, 26 Jan : Kempen pilihanraya kampus UTM telah digerakkan bermula hari ini. Sebanyak 51 kerusi yang dipertandingkan dengan pertambahan 6 kerusi di dua fakulti baru berbanding 46 kerusi pada pilihanraya kampus sebelum ini.

Namun, calon-calon serta pengerak dari kedua-dua parti iaitu Pro Mahasiswa UTM dan Evolusi Mahasiswa dikejutkan dengan peraturan kempen yang membunuh demokrasi kampus secara keseluruhannya. Peraturan kempen dilihat semakin ketat dan calon-calon terpaksa berhadapan dengan birokrasi yang tinggi daripada pihak pentadbiran.

Antara peraturan yang dikenakan kepada calon mahasiswa dalam pilihanraya kampus kali ini adalah seperti:

1. speaker corner hanya boleh diadakan ditempat yang dibenarkan oleh pihak urusetia pilihanraya sahaja.

2. Setiap calon hanya terhad berucap 3 kali sahaja semasa kempen di speaker corner

3. Calon juga diberi masa yang terhad untuk berucap ketika berkempen

4. Tidak dibenarkan berkempen di bilik kuliah kecuali dengan kebenaran dekan

5. tidak dibenarkan berkempen secara kumpulan

6. Dan bermacam-macam lagi sekatan yang diberikan.

Masa kempen yang terhad disamping birokrasi untuk berkempen yang semakin ketat menjadikan Pilihanraya kampus kali sangat tidak demokratik malah menyekat sifat kreatif mahasiswa untuk berkempen. Ini merupakan salah satu sejarah terburuk demokrasi kampus UTM yang pernah dilalui sepanjang pilihanraya kampus berlangsung.

Pro Mahasiswa UTM juga mendapat laporan daripada sahabat kampus lain bahawa peraturan kempen seperti ini bukan sahaja berlaku di UTM malah hampir disetiap kampus. Apa makna semua ini?? adakah ini salah satu pembodohan tersistematik yang ingin dilakukan oleh pihak pentadbiran kepada mahasiswa??adakah anda sebagai mahasiswa ingin terus diperbodohkan seperti ini? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab dan dinilai oleh mahasiswa mahupun pihak pentadbiran.

Mahasiswa dilihat semakin diperbudakkan dengan mengenakan peraturan kempen yang tidak munasabah. Kalau inilah amalan yang ingin diteruskan oleh pihak pentadbiran dalam pemilihan pemimpin mahasiswa, kita akan melihat kepimpinan Mahasiswa UTM yang dipilih hanyalah berdasarkan paras rupa yang cantik dan kacak, bukan pula dinilai dari sudut kreadibiliti kepimpinan dan kebolehan dalam memimpin.

Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa

Student Power!!!


Penamaan Calon Lancar

UTM Skudai, 25 Jan : Pilihanraya Kampus bagi Universiti Teknologi Malaysia telah berlangsung secara rasminya dengan bermulanya proses penamaan calon 9.00 pagi tadi. Seperti yang dijangkakan kedua-dua pihak Pro Mahasiswa dan Evolusi Mahasiswa tampil dengan calon masing-masing.

Proses penamaan calon yang baru sahaja berakhir, 1.00 petang tadi telah memperlihatkan kekuatan kedua-dua belah pihak yang bertanding. Kelihatan beberapa wakil daripada bebas yang tidak berat kepada mana-mana pihak juga menghantarkan calon untuk merebut beberapa kerusi fakulti.

Pro M tampil dengan suasana berkabung berikutan kemangkatan Sultan Johor minggu lepas. Menjadi kebiasaan, sikap bersahaja calon dan penyokong Pro M memudahkan proses penamaan calon terbersebut berjalan.

Saudara Nur Azim Fahada mantan Pengerusi Pro M sesi lepas juga kelihatan bertanding lagi
untuk sesi kali ini. "Kami datang dengan strategi, dan untuk kali ini, matlamat kami adalah untuk Kerajaan Mahasiswa", katanya ringkas ketika ditanya mengapa beliau bertanding untuk kali yang kedua.

Tiada sebarang perarakan dilakukan berikutan dengan syarat terbaru Pilihanraya Kampus (PRK) yang melarang calon deripada berarak. Wakil-wakil daripada Evo M juga kelihatan tenang tetapi sedikit gusar akan kelibat calon dan penyokong Pro M yang dilihat lebih teratur.

"Saya amat berpuas hati dengan proses penamaan calon yang berjalan dengan lancar dan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan proses penamaan calon ini, semoga situasi tenang ini berterusan sehingga berakhirnya PRK kali ini", ujar Saudara Amin Hamami ketika ditemu bual.

Senarai penuh calon yang layak bertanding akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada petang ini jam 5.00 petang ini.

Semoga perjalanan PRK kali ini berjalan dengan lancar dan selamat.


"Dari Mahasiswa untuk Mahasiswa"

Student Power!!

Majlis Makan Malam

6.15 pm
beberapa wakil Pro M sedang mengikuti van-van UTM yang sedang menuju ke tempat yang tidak diketahui.

6.20 pm
tempat yang bakal ditujui ini dipercayai adalah tempat untuk mengisi borang penamaan calon kerana tempat asal di Ulu Tiram telah tersebar dan telah diketauhi umum. Apa sebenarnya yang dirahsiakan oleh mereka?

6.40 pm
wakil Pro M memaklumkan bahawa van-van tersebut telah mengubah haluan ke Pasir Gudang. dipercayai, majlis makan malam ini telah di ubah tempat oleh para pengetua kerana berlakunya kebocoran maklumat di Blog dan juga Facebook.

6.50 pm
"Kami sedang memasuki perkarangan Hotel Selesa di Pasir Gudang (gambar)", lapor wakil Pro M.

7.45 pm
Sukarelawan Pro M memaklumkan terdapat beberapa buah van UTM dan milik kolej-kolej. Dijangka semua pengetua kolej hadir dalam perjumpaan ini. Sukarelawan Pro-M masih berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan. "Kami sedang cuba untuk memasuki kawasan majlis tersebut.", lapor wakil Pro M.

8.30 pm
Proses mengisi borang masih berjalan. Semua calon-calon Evolusi Mahasiswa masih belum keluar.

10.30 pm
Sukarelawan Pro M masih menunggu di luar hotel. Calon-calon Evolusi Mahasiswa sedang mengisi borang pencalonan. Selain itu, sebuah kereta milik seorang pegawai HEP turut berada di kawasan hotel.

11.30 pm
Calon-calon sudah beransur keluar dari hotel dan menaiki van. Sukarelawan Pro M akan cuba mendapatkan maklumat bayaran untuk majlis pada ini daripada pihak pengurusan hotel.

12.20 pm
Sukarelawan Pro M mengucapkan selamat kembali ke UTM kepada calon-calon Evolusi Mahasiswa. Malam ini dunia sekali lagi menyaksikan harta universiti dan harta rakyat telah disalah gunakan oleh Evolusi Mahasiswa, sebuah kumpulan yang tidak berdaftar di UTM.

Catatan:
Inilah permainan oleh pihak yang mengaku mengaku membantu kerajaan dalam membangunkan negara.

Inilah pihak yang menggunakan wang rakyat dengan 'sebaiknya'.

Ayuh mahasiswa, amalkan politik nilai.

Nilailah dengan baik siapa yang mahu dilantik menjadi pemimpin anda.


"Bersama Mahasiswa Memimpin Negara"


Sultan Johor mangkat


Sumber : Malaysiakini



Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat pada jam 7.15 malam ini di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru selepas memerintah hampir tiga dekad. Baginda berusia 77 tahun.

Pengumuman kemangkatan baginda dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

Menurut menteri besar, jenazah baginda akan disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pada 2 petang esok. Baginda dikejarkan ke Hospital Pakar Puteri, pagi tadi kerana gering.



Baginda meninggalkan Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta dua putera dan lapan puteri iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor unku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah minah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah smailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri unku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah.

Baginda yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Australia pada usia 16 tahun sebelum ke Devon Technical College, England lima tahun kemudian.

Setelah menamatkan pengajian pada 25 Januari 1956, baginda pulang ke Johor pada 1956 dan terus berkhidmat sebagai pegawai tadbir dalam Perkhidmatan Awam Negeri Johor sehingga 1959.

Sultan Iskandar dilantik Tengku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 berikutan kemangkatan nenda baginda, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar di London.

Pada Disember 1966, baginda dilantik Raja Muda Johor oleh ayahanda baginda dan turut menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan menubuhkan beberapa syarikat seperti Mados Enterprises dan Mados-Cito-Daiken.

Pada 10 Mei 1981, baginda dilantik Pemangku Raja pada 11 Mei 1981, selepas Sultan Ismail gering dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden.

Petang tadi, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.

Manakala pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar petang esok.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak takziah kepada kerabat diraja Johor di atas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar malam ini.

"Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat merakamkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah dan anakanda-anakanda serta kerabat baginda di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri ke India selama lima hari sejak Selasa lepas.

Najib berkata: "Baginda Sultan merupakan seorang raja yang amat prihatin terhadap segala perkembangan dalam negerinya dan juga sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

"Baginda memainkan peranan yang besar dalam pembangunan dan kejayaan negeri Johor dan selalu menekankan betapa pentingnya rakyat Malaysia bersatu padu," kata Perdana Menteri.

Berikutan kemangkatan Sultan Johor, Najib memendekkan lawatannya ke India dan berlepas pulang ke tanah air pada pukul 8.30 malam ini waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang awal pagi esok.

Mengikut jadual, Najib sepatutnya berlepas pulang petang esok.

Ketua Biro JKM KRP menjadi calon Pro Mahasiswa


UTM Skudai, 22 Jan : Mahasiswa Kolej Rahman Putra hari ini dikejutkan dengan pengisytiharaan sebagai calon Pro Mahasiswa oleh Saudara Muhammad Ibrahim Khalil B Noh, Fakulti Sains dan Geoinformasi selaku Ketua Biro Dokumentasi dan Penerbitan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Kolej Rahman Putra (JKM KRP) lebih kurang pukul 9.30 malam tadi.

Pengumuman dan pengisytiharan secara rasmi Saudara Ibrahim untuk menyertai Pro Mahasiswa UTM telah diberitahu oleh Ketua Jentera Pro M, Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami melalui ucapannya sebentar tadi.

Saudara Ibrahim apabila diminta mengulas berkenaan keputusannya untuk bertanding atas tiket Pro Mahasiswa kali ini berkata, "Saya sebagai mahasiswa punya hak untuk bertanding atas tiket mana-mana sama ada evolusi atau pro Mahasiswa. Tetapi antara kedua-dua parti mahasiswa ini, saya lebih meyakini Pro M. Keputusan ini muktamad dan InsyaAllah saya tidak akan ubah." Jawabnya ringkas.

Sebelum ini, Saudara Siti Hadjar, Timbalan Presiden MPP yang pada pilihanraya kampus yang lepas bertanding atas tiket Evolusi telah mengambil keputusan mengisytiharkan dirinya untuk menyertai Pro Mahasiswa pada pilihanraya kampus kali ini. Keputusan dibuat setelah mempertimbangkan dan menilai kedua-dua pihak dari pelbagai sudut.

Perpindahan Saudari Siti Hadjar ternyata memberi impak yang baik kepada Pro Mahasiswa apabila jentera pusat yang diketuai oleh Saudara Mohd Amin telah memaklumkan bahawa beberapa orang mahasiswa telah menawarkan diri secara sukarela untuk menjadi penggerak Pro M.

Begitu juga dengan calon di beberapa kolej lain yang sedang mempertimbangkan untuk menarik diri dari bertanding dibawah tiket Evolusi Mahasiswa dan berpindah kepada Pro Mahasiswa. Keputusan ini akan diumumkan oleh ketua jentera sendiri sedikit masa lagi.

Keyakinan mahasiswa terhadap Pro M dilihat semakin meningkat dan mahasiswa juga semakin matang dalam menilai suasana politik kampus. Kesan daripada penilaian ini bakal diterjemahkan sedikit masa lagi. Pro Mahasiswa ingin mengingatkan bahawa anda, sebagai mahasiswa mempunyai kuasa untuk memilih. Oleh itu, pilihlah dengan bijak.

"Dari Mahasiswa untuk Mahasiswa"

Student Power!!

Srikandi Pro M bersama Mahasiswa Cina

UTM Skudai, 20 Jan : Srikandi Pro Mahasiswa UTM telah berpeluang untuk mengadakan program bersama mahasiswa cina bertempat di Kolej Tuanku Canselor. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara kaum bagi menjayakan agenda perpaduan yang ingin digagaskan oleh Pro Mahasiswa UTM.

Chung Pei Ni, Mahasiswa Fakulti Pendidikan (TESL) telah menawarkan diri untuk mengajar asas-asas seni pertahanan diri yang biasa diamalkan oleh masyarakat cina iaitu wushu.

Wushu adalah olahraga atau seni beladiri dari China . Selain untuk olahraga dan membela diri, wushu juga merupakan suatu bentuk seni. Dengan demikian wushu menggabungkan teknik melindungi diri, memperkuat fizikal, dan nilai hiburan serta seni.

Beberapa pergerakan asas yang telah diajar kepada srikandi Pro M pada petang tersebut. Antaranya ialah 2 cara pergerakan yang melibatkan Kaki (10 teknik) dan tangan (10 teknik). Walaupun masa agak singkat, tetapi rata-rata yang hadir berpuas hati dan tertarik dengan seni wushu yang diajarkan oleh Chung Pei Ni.

Program bersama mahasiswa cina mahupun india bukanlah kali pertama malah sering kali diadakan seperti lawatan Pro M ke pesta tanglung dan pesta tahun baru cina, pesta ponggal yang disambut oleh masyarakat india dan juga perlawanan persahabatan bola sepak antara Mahasiswa hindu dan juga Pro Mahasiswa. Pro Mahasiswa amat berharap hubungan antara kaum di UTM dapat disuburkan bagi merealisasikan agenda perpaduan demi kesejahteraan semua.

Turut hadir dalam aktiviti pada petang itu adalah saudari Siti Hadjar, Mantan Timbalan Presiden MPPUTM sesi 08/09.

Walaupun baru beberapa hari bersama Pro Mahasiswa setelah berhijrah dari Evolusi, beliau dilihat sangat aktif dalam membantu dalam melakukan gerak kerja dan memberi pandangan berkenaan Pilihanraya kampus serta memberikan taklimat kepada jentera dan bakal calon Pro M. Moga hijrah beliau kepada Pro M memberi impak yang baik dan positif kepada Pro M pada masa akan datang, InsyaAllah. Sekian.

Student Power!!!

Pro-M Kekal Kemenangan di UIAM


UIAM Gombak, 21 Jan - Pro Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai We Unite For Islam (WUFI) telah berjaya mengekalkan kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Kampus UIAM hari ini.

Keputusan di kampus Gombak memperlihatkan kumpulan Pro-M menang dua kerusi di Fakulti Ekonomi dan Fakulti Kejuruteraan, masing-masing satu kerusi di Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan dan Fakulti Undang-undang. Lapan kerusi lagi dimenangi di kampus Kuantan.

Sebanyak 29 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya kampus kali ini - 16 di Gombak dan 13 di Kuantan.

Kumpulan Pro-Aspirasi (Pro-A) pula menang empat kerusi - dua di Fakulti Teknologi Maklumat dan Informasi, manakala masing-masing satu kerusi di Fakulti Undang-undang dan Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan.

Calon bebas pula memenangi enam kerusi di Fakulti Seni Bina dan kerusi antarabangsa.

Sementara itu, Nur Azim Fahada bin Ahmad, Pengerusi Pro Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia mengucapkan tahniah buat Pro-M UIAM atas kemenangan yang dicapai dan berharap agar Pro-M UTM juga dapat mengecapi kemenangan dalam PRK kali ini.

Terdahulu, kampus UIAM telah dicemari dengan penyebaran risalah yang diedar di sekitar kampus yang memaparkan gambar anjing berkopiah yang dilihat sebagai satu cubaan memfitnah dan memburuk-burukkan WUFI.

Pro Mahasiswa UTM berharap agar tektik politik kotor seperti ini tidak diamalkan di UTM bagi menjaga kampus dari anasir-anasir jahiliah yang boleh mencemarkan martabat ilmu di sini.

STUDENT POWER!!!

Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar UTM sesi 08/09


UTM Skudai, 20 Jan
: Majlis Perwakilan Pelajar UTM bagi sesi 08/09 dibubarkan hari ini bagi membolehkan Pilihanraya Kampus diadakan.

Sehubungan dengan itu, notis makluman berkenaan tarikh dan undang-undang pilihanraya kampus pada tahun ini telah ditampal di semua kolej dan fakulti. Penamaan calon akan berlangsung pada 25hb Januari 2010 manakala proses pengundian akan dijalankan pada 28hb Januari 2010.

Sebanyak 51 kerusi bakal dipertandingkan yang mana 10 kerusi merupakan kerusi umum, 36 kerusi fakulti UTM skudai manakala 5 lainnya dipertandingkan di UTM international city campus Kuala Lumpur.

Kerusi yang dipertandingkan pada tahun ini bertambah sebanyak 6 kerusi berbanding tahun-tahun sebelumnya yang hanya mempertandingkan 45 kerusi bagi kampus Induk UTM Skudai dan kampus UTMKL disebabkan pertambahan 2 fakulti baru di UTM Skudai.

Tempoh bagi calon membeli borang dan mengurus pada tahun ini juga dilihat agak singkat berbanding pilihanraya kampus yang lepas kerana calon-calon hanya mempunyai lebih kurang 3 hari untuk melengkapkan semua dokumen dan pengesahan yang diperlukan.

"Saya tidak tahu kenapa universiti memberi ruang masa yang begitu pendek kepada mahasiswa untuk menyiapkan segala perkara ini kerana kita mahasiswa mempunyai ruang masa yang terhad untuk mengurus perkara ini disamping perlu melaksanakan tanggungjawab akademi juga." Jelas Pengerusi Pro Mahasiswa, Saudara Nur Azim Fahada yang juga bakal bertanding pada semester kali ini apabila ditanya berkenaan tempoh masa untuk melengkapkan borang.

Saudara Mohd Amin, ketua jentera Pro M juga sempat dihubungi untuk mendapatkan respon berkenaan masa kempen yang agak singkat pada kali ini. Beliau berkata,"Kami diperingkat Pro Mahasiswa akan cuba mengatur strategi bagi memastikan kempen yang kami jalankan berkesan walaupun pada pandangan saya, tempoh masa yang singkat ini adalah tidak wajar dan agak sukar untuk kami sampai kepada semua mahasiswa, tapi kami akan cuba sebaik mungkin."

Pembubaran MPP pada hari ini menandakan bahawa gendang pilihanraya kampus telah mula dipalu. Pro Mahasiswa berharap PRK kali ini berlaku dengan telus dan adil walaupun sebelum ini pelbagai diskriminasi yang telah dilakukan kepada pihak kami. Sekian.

Student Power!!!


MPP Evolusi menyertai Pro Mahasiswa UTM


UTM Skudai, 19 Jan : Ketua Jentera Pro Mahasiswa UTM, Saudara Mohd Amin Mohd Hamami sebentar tadi telah mengesahkan secara rasmi penglibatan seorang Majlis Perwakilan Pelajar yang bertanding atas tiket Evolusi pada sesi pilihanraya kampus lepas. MPP Evolusi yang dimaksudkan adalah saudari Siti Hadjar Mohd Arshad, Timbalan Presiden MPPUTM sesi 08/09.

Beliau juga telah menulis dalam blognya (lihat disini) tentang penyertaannya dalam Pro Mahasiswa, "Saya pasti. Keputusan ini bakal mewujudkan kontroversi. Tapi, demi erti sebuah kehidupan. Saya tekad untuk keluar dari Evolusi dan memilih Pro Mahasiswa. Saya takkan lakukan sesuatu tanpa alasan kukuh dari analisis panjang. Sudah lama saya fikir, perhati dan pertimbangkan. Sebelum segalanya terlambat. Biarlah saya keluar bebas dan pilih apa yang saya nak."

Hasrat murni ini disambut baik oleh ketua jentera Pro M yang sama sekali tidak menyangka dengan keputusan yang telah diambil oleh beliau.

“Saya tekad memilih keputusan ini dan tidak akan sesekali menyesalinya ”, ujarnya dalam perbualannya bersama Saudara Amin dan beberapa orang penggerak Pro Mahasiswa yang lain.

Walaupun hanya berbaki 2 hari sebelum pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar dilakukan, Beliau amat berharap keputusan yang diambil ini bakal mengubah paradigma berfikir mahasiswa UTM untuk memilih kepimpinan dengan lebih bijak pada pilihanraya kampus yang bakal berlangsung.

Saudara Amin, selaku ketua jentera sangat terbuka menerima sesiapa sahaja untuk menyertai Pro M. Sebelum mengakhiri perbualan, saudari Siti Hadjar sempat ditanya tentang kemungkinan lebih ramai lagi yang akan mengikut jejak beliau.

“InsyaAllah, tunggu dan lihat”. Jawab beliau ringkas

Mengikut maklumat yang diperolehi daripada jentera pusat Pro Mahasiswa, beberapa orang mahasiswa yang terdiri daripada JKM di sebuah kolej, mahasiswa kolej 11 dan beberapa persatuan lain juga telah bercadang untuk mengisytiharkan diri secara terbuka untuk menyertai Pro M disebabkan beberapa faktor yang telah dipertimbangkan dan setelah membuat perbandingan antara Pro M dan Evolusi.

Pro M melihat bahawa tahap berfikir mahasiswa UTM sudah semakin matang untuk menilai suasana politik kampus pada masa kini. Mahasiswa juga sudah tidak boleh "digula-gulakan" dengan "baju merah" dan material yang diberikan secara percuma oleh pihak evolusi yang didokongi oleh beberapa orang pengetua.

Justeru, Pro Mahasiswa mengajak semua mahasiswa untuk bersama-sama dengan kami. Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Saudari Siti Hadjar yang dahulunya Evolusi sudah bersama dengan Pro Mahasiswa. Anda bila lagi??

Student power!!!!

Selamat Berjuang Bersama Pro Mahasiswa kepada Saudari Siti Hadjar Mohd Arshad!!!

Tahniah Pro-M UMT !


UMT Kuala Terengganu, 17 Jan : Pro Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (PRO-M UMT) telah berjaya menawan kampus UMT dengan kemenangan mudah pada pilihanraya kampus yang diadakan hari ini. Proses pengundian ditutup lewat setengah jam iaitu pada pukul 5.30 petang disebabkan kelewatan masa mula mengundi.

Seramai 50 peratus daripada jumlah keseluruhan mahasiswa UMT telah turun mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka memilih kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2010.

Kemenangan ProM UMT ini sedikit sebanyak memberi semangat baru kepada semua penggerak Pro Mahasiswa dikampus-kampus lain khususnya UTM agar bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan Pro Mahasiswa pada pilihanraya kampus kali ini.

Ketua Jentera Pro-M UTM, saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami apabila diminta untuk mengulas berkenaan kemenangan Pro-M di UMT berkata,

"Kemenangan Pro Mahasiswa dalam Pilihan Raya Kampus di UMT merupakan satu berita baik yang merupakan catalyst bagi kami Pro Mahasiswa di UTM untuk berjuang dengan lebih gigih bagi memenangi PRK di UTM kali ini"

Sementara itu, Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Saudara Nur Azim Fahada bin Ahmad pula berpendapat,

"Kemenangan ini merupakan hasil usaha intensif untuk mencapai kemenangan. Perjuangan bukan sekadar kemenangan yang telah dicapai sekarang, tetapi akan ditonjolkan dalam seluruh sesi kepimpinan yang akan dihadapi."

Ujar beliau lagi, "Sebagai sahabat, pimpinan akan tetap memberi sokongan dan bantuan unutuk meletakkan mahasiswa di taraf yang terbaik dalam mendokong pembangunan negara."

Akhir sekali, seluruh penggerak Pro Mahasiswa UTM mengucapkan selamat memimpin kepada Pro M UMT. Berusahalah sebaik mungkin dalam memperjuangkan hak-hak mahasiswa yang telah memberi kepercayaan kepada kepimpinan anda. Memimpinlah dengan jujur, amanah dan berintegriti. Sekali lagi, tahniah kami ucapkan. Sekian.


Mahasiswa UTM semakin berani bersama Pro Mahasiswa, Tahniah!! - Pengerusi Pro M

UTM Skudai, 17 Jan : Kehangatan pilihanraya kampus UTM semakin dirasai oleh mahasiswa khususnya penggerak Pro Mahasiswa UTM mahupun Evolusi sendiri.

Pertembungan dua kelompok mahasiswa ini dilihat sebagai pertembungan dua entiti yang mempunyai gaya dan cara tersendiri. Pertembungan ini telah mendapat perhatian daripada mahasiswa yang menjadi penilai kepada situasi yang berlaku. Kesan kepada penilaian ini akan diterjemahkan dalam kertas undi sedikit masa lagi.

Pro Mahasiswa setakat ini telah dijemput oleh banyak pihak sama ada melalui persatuan mahupun individu untuk mendapatkan penjelasan berkenaan gagasan perjuangan yang ingin dibawa. Dan dalam siri pertemuan tersebut, beberapa kumpulan dan individu mula menyatakan kesediaan untuk menyertai Pro Mahasiswa.

Kesediaan mereka untuk bersama adalah atas dasar keyakinan bahawa Pro Mahasiswa dapat membawa satu kelainan dalam gagasan baru kepimpinan di peringkat kampus UTM. Solidariti diperingkat Pro Mahasiswa kampus IPT seluruh negara juga dilihat sebagai satu “signal” bahawa perjuangan Pro Mahasiswa adalah satu keseriusan.


Justeru, beberapa individu dari kalangan MPP Evolusi yang bertanding pada pilihanraya kampus lepas dan Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) Kolej yang baru dilantik telah bersedia untuk mengisytiharkan diri sebagai Penggerak Pro Mahasiswa manakala individu yang terlibat dalam JKM kolej telah bersedia untuk meletakkan jawatan untuk bertanding atas tiket Pro Mahasiswa. Perkara ini telah disampaikan kepada Ketua Jentera sendiri, Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami.

Mungkin ini adalah penterjamahan kepada suara tidak puas hati mahasiswa terhadap sekatan yang dilakukan terhadap Pro M dan sikap pilih kasih pihak pentadbiran mahupun campur tangan daripada pihak pengetua dalam soal pilihanraya kampus mahasiswa.

“Kami masih memberi ruang kepada beberapa orang individu tersebut untuk berfikir sebelum melakukan tindakan ini. Namun, di peringkat Pro Mahasiswa kami sangat mengalu-alukan semua mahasiswa untuk bersama-sama dalam perjuangan kami” Jelas Saudara Amin.

Tambah beliau lagi, “Dalam sedikit masa lagi, kita akan umumkan siapa mereka. Diharapkan ini akan lebih meyakinkan semua mahasiswa tentang kepimpinan mana yang sepatutnya mereka pilih pada pilihanraya kampus akan datang.”

Salah seorang individu daripada JKM Kolej yang bakal bertanding atas tiket Pro Mahasiswa menyatakan keputusan yang dibuat adalah nekad atas kesedaran diri sendiri dan bukanlah atas paksaan mana-mana pihak.

“Mahasiswa UTM semakin berani bersama Pro Mahasiswa, Tahniah!!. Oleh itu, saya mempelawa kepada semua Mahasiswa UTM untuk bersama-sama kami dalam memperjuangkan hak mahasiswa yang lain.

"Saya tahu, pihak evolusi memberi memberikan anda baju secara percuma tapi tidak mengapa, anda ambillah. Namun, apabila tiba masa mengundi bakal kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar kelas, berfikirlah secara bijak dan matang sebelum mengundi kerana anda adalah mahasiswa yang sudah boleh menilai.”
kata Saudara Azim, Pengerusi Pro Mahasiswa UTM semasa ditemui dalam Forum Isu-Isu Islam Mutakhir anjuran PMIUTM sebentar tadi.


IPT tidak boleh sekat kebebasan bersuara mahasiswa

Kuala Lumpur, 17 Jan: Pentadbiran universiti tidak boleh menyekat kebebasan bersuara mahasiswa yang disuarakan melalui sudut pidato yang diwujudkan kembali selepas diharamkan pada 1971.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, mengingatkan pentadbiran universiti supaya tidak menghalang ‘kebebasan’ itu dengan menetapkan pelbagai syarat bagi mahasiswa yang ingin bersuara.

“Sudut pidato adalah satu kejayaan suara mahasiswa, oleh itu, pihak universiti perlu memberi kepercayaan kepada pelajar menguruskannya dan juga beri kebebasan mereka bercakap.

“Jangan terlalu banyak sangat syarat kepada mereka (mahasiswa) untuk menggunakan sudut pidato... saya dengar ada universiti suruh mahasiswa isi borang tertentu dan sebagainya terlebih dulu, ini (sudut pidato) bukannya pertandingan.

“Kementerian Pengajian Tinggi tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada mahasiswa untuk menggunakan sudut pidato, tetapi pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti boleh memantaunya,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Selepas hampir tiga dekad sudut pidato diharamkan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Universiti Kebangsaan Malaysia (USM) menjadi perintis kepada program itu selepas ia diperkenalkan kembali tahun ini.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Zaini Ujang, bagaimanapun berkata, pelajar perlu bertanggungjawab terhadap apa yang disampaikan dan bersedia menerima hukuman sekiranya melanggar garis panduan ditetapkan universiti.

Sumber : Berita Harian

Suara Mahasiswa Berkumandang di UKM

UTM Skudai, 16 Jan : Ruang dan peluang telah dibuka seluas-luasnya kepada mahasiswa-mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) apabila Sudut Pidato atau Speakers' Corner (SC) telah diwujudkan semula setelah diharamkan hampir 40 tahun.

Jika disoroti sejarah, pada tahun 1965, Speaker Corner yang pertama di Malaysia telah diadakan di Universiti Malaya (UM) setelah mahasiswa disana mendapat inspirasi daripada pemindato-pemidato bebas yang hebat di Hyde Park, London. Mahasiswa ketika itu menjadikan SC tempat untuk mereka meluahkan pandangan dan pendapat masing-masing.

Ketika itu, Mahasiswa UM menghabiskan masa hujung minggu mereka dengan menghadiri SC untuk mendengar isu-isu terbaru yang diutarakan oleh sahabat-sahabat mereka. Secara tidak langsung, masa mereka dipenuhi dengan benda yang bermanfaat dan menjana minda. Namun kegemilangan SC di UM tidak bertahan lama apabila AUKU 1971 digubal dan SC telah diharamkan dan pentas SC dirobohkan.

Pro Mahasiswa UTM (Pro M) melihat ini sebagai satu situasi yang positif yang mana peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami Ketua Jentera Pro M, ketika ditemu bual menyatakan hasratnya untuk merealisasikan SC di bumi UTM.

"Di pihak kami (Pro M), kami akan cuba untuk menyakinkan pihak pentadbiaran universiti untuk melaksanakan SC di sini (UTM) kerana impak SC pada pembangunan minda dan sosial mahasiswa amat memberangsangkan", tambahnya lagi.

Diharapkan agar Speaker Corner yang menjadi tempat pertembungan idea-idea mahasiswa ini berkekalan supaya nilai mahasiswa itu tidak lesu dan mati kerana bekunya minda manusia yang bergelar 'pemimpin muda ini'.

Pro M : Salam pidato untuk semua!


Petikan Berita Harian 15/1/2010

  • UKM perintis selepas aktiviti diharamkan 1971
  • Pentas suarakan pandangan mahasiswa

    BANGI: Selepas kira-kira tiga dekad diharamkan, akhirnya Sudut Pidato atau Speakers' Corner di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan diwujudkan semula dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini menjadi perintis dalam memperkenalkan sudut itu, semalam.

    Sudut Pidato UKM itu terletak di kawasan terbuka di Teres Eko Niaga bersebelahan Perpustakaan Tun Sri Lanang yang menjadi tempat pelajar universiti berkenaan berehat dan menjamu selera.

    Sempena pelancarannya yang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tiga pelajar diberi peluang untuk berpidato, masing-masing selama lima minit.

    Mereka ialah Izzat Fathi Hisham, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi Fakulti Sains Sosial, Adlin Noramirah Mohamed, 19 (Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan) dan Syamimi Ab Rahman, 23 (Ijazah Sarjana Muda Syariah Perundangan Islam).

    Ketiga-tiganya menyentuh isu keusahawanan dengan Izzat mengaitkan masalah pengangguran di kalangan graduan dengan menimbulkan persoalan sama ada ia berpunca daripada sikap pelajar yang lebih selesa makan gaji atau sistem pendidikan di universiti sendiri.

    Sudut Pidato menjadi pentas popular untuk menyuarakan pandangan di kalangan mahasiswa pada 1960-an hingga 1970-an, sebelum diharamkan selepas pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.

  • Februari tahun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi menarik balik larangan itu menerusi pindaan semula AUKU, tetapi sejak itu belum ada universiti melaksanakannya. Dilema sudut pidato turut menjadi fokus dalam Varsiti sisipan terbaru Berita Harian pada edisi sulungnya, semalam.

    Pada sidang medianya selepas melancarkan Sudut Pidato UKM, Mohamed Khaled berkata, IPT lain mungkin masih menunggu permohonan daripada penuntut masing-masing untuk memperkenalkan sudut itu.

    Beliau bagaimanapun, berharap sudut itu menjadi medan terbaik bagi membangunkan kemampuan dan sikap bertanggungjawab pelajar, terutama dalam melontarkan pandangan serta mengupas pelbagai isu secara kritis dan intelektual.

  • "Kementerian tidak menetapkan garis panduan kepada penuntut dalam menggunakan sudut itu, sebaliknya menyerahkan kepada pentadbir IPT. Kita juga memberi kebebasan kepada pelajar dalam menyuarakan pandangan mereka, asalkan tidak menyentuh sensitiviti tertentu.

    "Apa yang penting, penuntut perlu bertanggungjawab dengan apa yang disuarakan kerana orang lain mendengar, melihat dan menyaksikan mereka.

    "Saya juga tidak ada masalah sekiranya mereka berbeza pendapat dengan saya tetapi matlamatnya sama iaitu untuk kebaikan," katanya yang turut merasmikan Teres Eko Niaga dan Pelancaran Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) UKM. Hadir sama Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

    Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menerima memorandum daripada sekumpulan pelajar Kolej Kediaman Pendeta Zaaba yang membantah tindakan tidak profesional pengurusan kolej, antaranya menaikkan yuran yang didakwa membebankan pelajar.

    Mohamed Khaled bagaimanapun, menegaskan orang luar tidak dibenarkan menggunakan sudut itu kerana ia khas untuk penuntut.

    "Mengapa perlu orang luar datang bagi memimpin penuntut, sebaliknya mereka perlu menjadi ketua," katanya.

    Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan menubuhkan Unit Keusahawanan di Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Kolej Komuniti dan Jabatan Politeknik dalam usaha mewujudkan nilai, budaya dan pemikiran keusahawanan di kalangan penuntut IPT.

    "Saya akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan supaya peruntukan RM20 juta yang dikhususkan untuk melaksanakan program keusahawanan di kalangan penuntut IPT di bawah program Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dulu disalurkan kepada kementerian untuk menjayakan program ini," katanya.

  • LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...