Persatuan Berdaftar Dianak Tiri

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 yang juga hari pertama kemasukan mahasiswa baru sesi 2014/15, sekalung tahniah diucapkan kepada semua warga baru kampus Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
Jika dihayati pengertian 'Kemerdekaan' yang sebenarnya adalah,bukan sahaja sebuah kejayaan negara dalam membebaskan diri dari cengkaman pentadbiran penjajah, malah meliputi semua aspek kehidupan. Antaranya kebebasan hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan bersolidariti membangunkan negara melalui sistem pemerintahan demokrasi dengan mengangkat suara rakyat, dan merakyatkan kerajaan. Malah, erti sebuah kemerdekaan juga perlu dihayati dalam aspek mentaliti dan budaya masyarakat yang bebas daripada propaganda penjajah, yang kebanyakannya akan merosakkan pemikiran dan mencemarkan adat ketimuran yang kaya dengan adab.
Namun, adakah dengan pencapaian kemerdekaan ke-57 ini cukup subur dengan nafas penghayatan yang murni seperti yang sepatutnya, khasnya buat warga pentadbiran dan masyarakat kampus UTM sendiri?
Kami dari Pro-Mahasiswa melahirkan rasa kecewa dengan sikap beberapa pegawai pentadbiran UTM yang ternyata seolah-olah masih berada di takuk yang sama. Apakah terlalu sukar bagi pentadbiran universiti melaksanakan tanggungjawab dengan Adil dan Berhemah.
Hari ini berlaku lagi diskriminasi yang sejak dulu menjadi pilihan pentadbiran UTM. STATUS PERSATUAN/KELAB BERDAFTAR kini hanya tinggal di kertas dan omongan kosong tanpa diberikan hak publisiti yang sepatutnya. Apakah wajar sebuah persatuan berdaftar seperti Persatuan Mahasiswa Islam, Kelab Iqra', Persatuan Mahasiswa Buddha, Hindhu, Kristian dan lain-lain tidak diberikan hak kebebasan untuk mendekati mahasiswa baru. Sekadar bergantung harap kepada bilik persatuan di Galeria Siswa yang umpama hidup segan, mati tidak mahu. Keadaan sempit untuk keanggotaan kelab/persatuan yang mencecah puluhan atau ratusan ahli. Sedangkan pada asalnya hak mahasiswa sudah cukup aman dan selesa di Student's Union Building sebelum dirampas oleh HEMA UTM untuk dijadikan bangunan pentadbiran. Diganti dengan bangunan kecil dan sempit untuk puluhan persatuan berdaftar. Syukur itu bagus namun perlu ditafsirkan dengan bijaksana.


Kejadian hari ini(31 OGOS 2014) pula, sebuah persatuan berdaftar iaitu Persatuan Mahasiswa Islam telah diarahkan menurunkan banner persatuan yang digantung di persimpangan jalan bagi mempromosikan persatuan kepada ibu bapa dan mahasiswa baru. Sangat penting impresi pertama daripada mereka akan imej universiti yang turut dinaungi oleh persatuan kerohanian yang terlama di kampus UTM. PMIUTM diarahkan oleh pengawal keselamatan menurunkan banner dengan alasan menerima arahan daripada Timbalan Naib Canselor UTM , Prof. Dr. Mohd Ismail Abd Aziz. Kami yakin dan percaya ramai pihak yang tidak suka dengan sikap yang dipamerkan oleh pentadbiran universiti dalam mengendalikan hak mahasiswa secara saksama.
Menurut beberapa orang saksi kejadian, sebelum PMIUTM menggantungkan banner di persimpangan jalan masuk ke pintu utama UTM, sudah pun tergantung dulu banner daripada organisasi politik bayangan di kampus iaitu Aspirasi Evolusi di tempat kejadian. Persoalannya, mengapa bahan promosi dari organisasi politik tidak berdaftar seperti Aspirasi Evolusi dibenarkan digantung sedangkan Persatuan berdaftar tidak dibenarkan? Ternyata pihak TNC dan beberapa pegawai HEMA UTM gagal melaksanakan tanggungjawab dengan adil dengan'memilih bulu'. Apatah lagi perkara yang boleh melibatkan sentimen politik melalui kehadiran Aspirasi yang dibenarkan bergerak secara bebas di dalam kampus UTM. Pihak pentadbiran dan Kementerian sendiri yang mencipta Perlembagaan khasnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), yang kemudiannya dicabuli oleh tangan mereka sendiri malah bersikap tidak adil demi menjaga kedamaian dan hak sama rata di sebuah kampus penyelidikan.


Sebagai perwakilan mahasiswa yang memperjuangkan hak kesamarataan, Pro Mahasiswa memilih untuk berlapang dada dan akan terus menyokong pihak pentadbiran UTM agar dapat mengubah senario pilih bulu atau diskriminasi kepada pentadbiran yang lebih telus dan adil. Demi mahasiswa dan keamanan kampus sekali gus ke arah mencapai penghayatan kemerdekaan yang tulus dan murni.
"MENGORAK LANGKAH, MENGEMUDI PARADIGMA"
Mohd Helmi Elvis Syefrizal Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Majlis Perwakilan Mahasiswa, Universiti Teknologi Malaysia,Johor.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...