Oleh : Razali Zaidin
Pindaan AUKU 2008 yang telah dipinda pada tahun ini di parlimen antara lain memberikan semula kuasa autonomi kepada universiti. Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi sendiri, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sendiri di parlimen memaklumkan kepada wakil parlimen bahawa tarikh pilihanraya kampus dan penggunaan e-voting ditentukan oleh Naib Canselor setiap kampus. Perkara yang penting ialah parti politik tidak dibenarkan sama sekali mengganggu urusan universiti. Namun ucapan dan kata-kata ini hanya berkumandang di parlimen sahaja.
Beberapa rangka kerja yang telah dilakukan diperingkat kementerian talah dibuat untuk memastikan kumpulan mahasiswa yang menyokong kerajaan menang pada kali ini. Ini terbukti dengan beberapa bengkel yang telah diadakan diperingkat kampus dan nasional untuk binding group ASPIRASI.
Pada hujung bulan 12 dan pada ketika ini , kelihatan kumpulan ASPIRASI yang pro kepada Barisan Nasional telah pun mengumpulkan kekuatan untuk menghadapi pilihanraya kampus yang dijangkakan pada awal bulan Januari 2009. Ini terbukti dengan beberapa bengkel bersiri yang diadakan. Sahabat boleh melihat gerak kerja yang telah mereka lakukan adalah seperti berikut :
a) Pada 24 hingga 26 November yang lalu bertempat di Hulu Langat telah diadakan Bengkel Jentera peringkat UM anjuran HEP. Setiap kolej kediaman diminta menghantar 4 orang wakil untuk brainstorm kemenangan ASPIRASI di kampus nanti
b) Pada 24 hingga 27 juga diperingkat IPT dan nasional telah diadakan bengkel jentera ASPIRASI bertempat di Kem PLKN Rachado Bay, Port Dickson. Antara objektif bengkel jentera ini diadakan ialah : meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahun serta mengatur langkah gemilang dikalangan pemimpin mahasiswa IPTA ke arah perlaksanaan pilihanraya kampus 2009 yang majlis penutupnya oleh YB Datuk Idris Haron, Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi.
c) Pada 21 Disember 2008 (semalam), semua presiden kolej kediaman telah berkumpul di PWTC untuk berbincang tentang calon mereka di peringkat nasional diatur oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal pelajar di setiap kampus terutamanya di Lembah Kelang.
Adalah tidak adil dan mendukacitakan bagi sesebuah kementerian dan Hal Ehwal Pelajar yang mengadakan bengkel calon dan jentera hanya pada kumpulan mahasiswa tertentu sahaja. Persoalannya kenapa tawaran ini hanya dinikmati oleh kelompok mahasiswa ASPIRASI?
Kita sedia maklum bahawa jentera ASPIRASI ini hanya akan hidup selepas arahan daripada KPT dan HEP juga tawaran-tawaran yang ditawarkan seperti duit elaun, tinggal di kolej dan kerjawa sebagai pegawai HEP selapas tamat belajar. Namun asuhan seperti ini sedikit sebanyak mematikan idealis mahasiswa dan menjadikan pemimpin mahasiswa yang lebih kepada menurut perintah berbanding pemimpin yang berprinsip dan kalibernya sendiri.
Moga keseluruhan mahasiswa lain sedar bahawa, mereka perlu berubah gaya berfikir dan tindakan. Diperingkat global, Barack Hussein Obama telah membuktikan rakyat Amerika boleh berubah, diperingkat nasional dalam Pilihanraya Umum Ke-12 juga menyaksikan rakyat Malaysia membuktikan kuasa rakyat yang boleh berubah arah dengan dibuktikan 5 negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Hanya tinggal generasi baru mahasiswa sahaja yang tidak diuji lagi. Indikatornya berlaku semasa Pilihanraya Kampus. Kini adalah masa untuk perubahan dan ianya bermula dengan anda seorang insan bergelar mahasiswa
Penulis merupakan Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional. Blog beliau boleh dilawati di http://razalizaidin.blogspot.com