Purdah & Niqab mengikut empat mazhab




Mazhab Hanafi

Pendapat Mazhab Hanafi, wajah wanita bukanlah aurat, namun memakai purdah/niqab hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib jika dikhuatiri wanita berkenaan akan menimbulkan fitnah.

1. Asy Syaranbalali berkata:
وجميع بدن الحرة عورة إلا وجهها وكفيها باطنهما وظاهرهما في الأصح ، وهو المختار

“Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam serta telapak tangan luar, ini pendapat yang lebih sahih dan merupakan pilihan mazhab kami.” (Matan Nuurul Iidhah)

2. Al Imam Muhammad ‘Alaa-uddin berkata:
وجميع بدن الحرة عورة إلا وجهها وكفيها ، وقدميها في رواية ، وكذا صوتها، وليس بعورة على الأشبه ، وإنما يؤدي إلى الفتنة ، ولذا تمنع من كشف وجهها بين الرجال للفتنة

“Seluruh badan wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam. Dalam suatu riwayat, juga telapak tangan luar. Demikian juga suaranya. Namun bukan aurat jika dihadapan sesama wanita. Jika cenderung menimbulkan fitnah, dilarang menampakkan wajahnya di hadapan para lelaki.” (Ad Durr Al Muntaqa, 81)


3. Al Allamah Al Hashkafi berkata:
والمرأة كالرجل ، لكنها تكشف وجهها لا رأسها ، ولو سَدَلَت شيئًا عليه وَجَافَتهُ جاز ، بل يندب

“Aurat wanita dalam solat itu seperti aurat lelaki. Namun wajah wanita itu dibuka sedangkan kepalanya tidak. Andai seorang wanita memakai sesuatu di wajahnya atau menutupnya, boleh, bahkan dianjurkan.” (Ad Durr Al Mukhtar, 2/189)

4. Al Allamah Ibnu Abidin berkata:
تُمنَعُ من الكشف لخوف أن يرى الرجال وجهها فتقع الفتنة ، لأنه مع الكشف قد يقع النظر إليها بشهوة

“Terlarang bagi wanita menampakkan wajahnya kerana khuatir akan dilihat oleh para lelaki, kemudian timbullah fitnah. Kerana jika wajah dinampakkan, lelaki melihatnya dengan syahwat.” (Hasyiah ‘Alad Durr Al Mukhtaar, 3/188-189)

5. Al Allamah Ibnu Najiim berkata:

قال مشايخنا : تمنع المرأة الشابة من كشف وجهها بين الرجال في زماننا للفتنة

“Para ulama’ mazhab kami berkata bahawa dilarang bagi wanita muda untuk menampakkan wajahnya di hadapan para lelaki di zaman kita ini, kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.” (Al Bahr Ar Raaiq, 284)

Mazhab Maliki

Mazhab Maliki berpendapat bahawa wajah wanita bukanlah aurat, namun memakai purdah/niqab hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib jika dikhuatiri menimbulkan fitnah. Bahkan sebahagian ulama’ yang bermazhab Maliki berpendapat seluruh tubuh wanita itu adalah aurat.

1. Az Zarqaani berkata:

وعورة الحرة مع رجل أجنبي مسلم غير الوجه والكفين من جميع جسدها ، حتى دلاليها وقصَّتها . وأما الوجه والكفان ظاهرهما وباطنهما ، فله رؤيتهما مكشوفين ولو شابة بلا عذر من شهادة أو طب ، إلا لخوف فتنة أو قصد لذة فيحرم ، كنظر لأمرد ، كما للفاكهاني والقلشاني

“Aurat wanita di depan lelaki muslim ajnabi adalah seluruh tubuh selain wajah dan telapak tangan. Bahkan suara wanita juga aurat. Sedangkan wajah, telapak tangan luar dan dalam, boleh dinampakkan dan dilihat oleh kaum lelaki walaupun wanita tersebut masih muda baik sekadar melihat ataupun untuk tujuan perubatan. Kecuali jika dikhuatiri akan menimbulkan fitnah atau tujuan lelaki melihat wanita untuk bersuka-suka, maka hukumnya haram, sebagaimana haramnya melihat amraad. Hal ini juga diungkapkan oleh Al Faakihaani dan Al Qalsyaani.” (Syarh Mukhtashar Khalil, 176)

2. Ibnul Arabi berkata:

والمرأة كلها عورة ، بدنها ، وصوتها ، فلا يجوز كشف ذلك إلا لضرورة ، أو لحاجة ، كالشهادة عليها ، أو داء يكون ببدنها ، أو سؤالها عما يَعنُّ ويعرض عندها

“Wanita itu seluruhnya adalah aurat. Baik badannya mahupun suaranya. Tidak boleh menampakkan wajahnya kecuali dalam keadaan darurat atau ada keperluan mendesak seperti persaksian atau perubatan pada badannya, atau kita dipertanyakan apakah ia adalah orang yang dimaksud (dalam sebuah persoalan).” (Ahkaamul Qur’an, 3/1579)

3. Al Qurthubi berkata:
قال ابن خُويز منداد ــ وهو من كبار علماء المالكية ـ : إن المرأة اذا كانت جميلة وخيف من وجهها وكفيها الفتنة ، فعليها ستر ذلك ؛ وإن كانت عجوزًا أو مقبحة جاز أن تكشف وجهها وكفيها

“Ibnu Juwaiz Mandad (ulama besar Maliki) berkata: Jika seorang wanita itu cantik dan khuatir wajahnya dan telapak tangannya menimbulkan fitnah, hendaknya dia menutup wajahnya. Jika dia wanita tua atau wajahnya buruk/hodoh, boleh baginya menampakkan wajahnya.” (Tafsir Al Qurthubi, 12/229)

4. Al Hathab berkata:
واعلم أنه إن خُشي من المرأة الفتنة يجب عليها ستر الوجه والكفين . قاله القاضي عبد الوهاب ، ونقله عنه الشيخ أحمد زرّوق في شرح الرسالة ، وهو ظاهر التوضيح

“Ketahuilah, jika dikhuatirkan terjadi fitnah, maka wanita wajib menutup wajah dan telapak tangannya. Ini dikatakan oleh Al Qadhi Abdul Wahhab, juga dinukil oleh Syaikh Ahmad Zarruq dalam Syarhur Risaalah. Dan inilah pendapat yang lebih tepat.” (Mawahib Jaliil, 499)

5. Al Allamah Al Banaani, menjelaskan pendapat Az Zarqani di atas:

وهو الذي لابن مرزوق في اغتنام الفرصة قائلًا : إنه مشهور المذهب ، ونقل الحطاب أيضًا الوجوب عن القاضي عبد الوهاب ، أو لا يجب عليها ذلك ، وإنما على الرجل غض بصره ، وهو مقتضى نقل مَوَّاق عن عياض . وفصَّل الشيخ زروق في شرح الوغليسية بين الجميلة فيجب عليها ، وغيرها فيُستحب

“Pendapat tersebut juga dikatakan oleh Ibnu Marzuuq dalam kitab Ightimamul Furshah, katanya : ‘Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki’. Al Hathab juga menukil dari perkataan Al Qadhi Abdul Wahhab bahawa hukumnya wajib. Sebahagian ulama’ bermazhab Maliki menyebutkan pendapat bahawa hukumnya tidak wajib, namun lelaki wajib menundukkan pandangannya. Pendapat ini dinukil Mawwaq dari Iyadh. Syeikh Zarruq dalam kitab Syarhul Waghlisiyyah memperincikan, jika cantik maka wajib, jika tidak cantik maka ianya sunnah.” (Hasyiyah ‘Ala Syarh Az Zarqaani, 176)

Mazhab Syafi’ie

Pendapat mazhab Syafi’ie, aurat wanita di depan lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah seluruh tubuh. Sehingga mereka mewajibkan wanita memakai purdah/niqab di hadapan lelaki ajnabi. Inilah pendapat muktamad mazhab Syafi’ie.

1. Asy Syarwani berkata:

إن لها ثلاث عورات : عورة في الصلاة ، وهو ما تقدم ـ أي كل بدنها ما سوى الوجه والكفين . وعورة بالنسبة لنظر الأجانب إليها : جميع بدنها حتى الوجه والكفين على المعتمد وعورة في الخلوة وعند المحارم : كعورة الرجل »اهـ ـ أي ما بين السرة والركبة ـ

“Wanita memiliki tiga jenis aurat, (1) aurat dalam solat (sebagaimana telah dijelaskan) iaitu seluruh badan kecuali wajah dan telapak tangan, (2) aurat terhadap pandangan lelaki ajnabi, iaitu seluruh tubuh termasuk wajah dan telapak tangan, menurut pendapat yang muktamad, (3) aurat ketika berdua bersama yang mahram, sama seperti lelaki, iaitu antara pusat dan lutut.” (Hasyiah Asy Syarwani ‘Ala Tuhfatul Muhtaaj, 2/112)

2. Syaikh Sulaiman Al Jamal berkata:

غير وجه وكفين : وهذه عورتها في الصلاة . وأما عورتها عند النساء المسلمات مطلقًا وعند الرجال المحارم ، فما بين السرة والركبة . وأما عند الرجال الأجانب فجميع البدن

“Maksud perkataan An-Nawawi, ‘aurat wanita adalah selain wajah dan telapak tangan’, ini adalah aurat di dalam solat. Adapun aurat wanita muslimah secara mutlak di hadapan lelaki yang masih mahram adalah antara pusat hingga lutut. Sedangkan di hadapan lelaki yang bukan mahram adalah seluruh badan.” (Hasyiatul Jamal Ala’ Syarh Al Minhaj, 411)

3. Syaikh Muhammad bin Qaasim Al Ghazzi, penulis Fathul Qaarib, berkata:

وجميع بدن المرأة الحرة عورة إلا وجهها وكفيها ، وهذه عورتها في الصلاة ، أما خارج الصلاة فعورتها جميع بدنها

“Seluruh badan wanita selain wajah dan telapak tangan adalah aurat. Ini aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, aurat wanita adalah seluruh badan.” (Fathul Qaarib, 19)

4. Ibnu Qaasim Al Abadi berkata:

فيجب ما ستر من الأنثى ولو رقيقة ما عدا الوجه والكفين . ووجوب سترهما في الحياة ليس لكونهما عورة ، بل لخوف الفتنة غالبًا

“Wajib bagi wanita menutup seluruh tubuh selain wajah telapak tangan, walaupun penutupnya tipis. Dan wajib pula menutup wajah dan telapak tangan, bukan kerana keduanya adalah aurat, namun kerana secara umum keduanya cenderung menimbulkan fitnah.” (Hasyiah Ibnu Qaasim ‘Ala Tuhfatul Muhtaaj, 3/115)

5. Taqiyuddin Al Hushni, penulis Kifaayatul Akhyaar, berkata:
ويُكره أن يصلي في ثوب فيه صورة وتمثيل ، والمرأة متنقّبة إلا أن تكون في مسجد وهناك أجانب لا يحترزون عن النظر ، فإن خيف من النظر إليها ما يجر إلى الفساد حرم عليها رفع النقاب

“Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang bergambar atau lukisan. Makruh pula wanita memakai niqab (purdah) ketika solat. Kecuali jika di masjid keadaannya susah dijaga dari pandnagan lelaki ajnabi. Jika wanita khuatir dipandang oleh lelaki ajnabi sehingga menimbulkan kerosakan, haram hukumnya melepaskan (tidak memakai) niqab (purdah).” (Kifaayatul Akhyaar, 181)

Mazhab Hanbali

Imam Ahmad bin Hanbal berkata:

كل شيء منها ــ أي من المرأة الحرة ــ عورة حتى الظفر

“Setiap bahagian tubuh wanita adalah aurat, termasuk pula kukunya.” (Dinukil dalam Zaadul Masiir, 6/31)

1. Syeikh Abdullah bin Abdil Aziz Al ‘Anqaari, penulis Raudhul Murbi’, berkata:
« وكل الحرة البالغة عورة حتى ذوائبها ، صرح به في الرعاية . اهـ إلا وجهها فليس عورة في الصلاة . وأما خارجها فكلها عورة حتى وجهها بالنسبة إلى الرجل والخنثى وبالنسبة إلى مثلها عورتها ما بين السرة إلى الركبة

“Setiap bahagian tubuh wanita yang baligh adalah aurat, termasuk pula sudut kepalanya. Pendapat ini telah dijelaskan dalam kitab Ar Ri’ayah… kecuali wajah, kerana wajah bukanlah aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, semua bahagian tubuh adalah aurat, termasuk wajahnya jika di hadapan lelaki. Jika di hadapan sesama wanita, auratnya antara pusat hingga lutut.” (Raudhul Murbi’, 140)

2. Ibnu Muflih berkata:

« قال أحمد : ولا تبدي زينتها إلا لمن في الآية ونقل أبو طالب :ظفرها عورة ، فإذا خرجت فلا تبين شيئًا ، ولا خُفَّها ، فإنه يصف القدم ، وأحبُّ إليَّ أن تجعل لكـمّها زرًا عند يدها

“Imam Ahmad berkata: ‘Maksud ayat tersebut adalah, janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang yang disebutkan di dalam ayat. Abu Thalib menukil penjelasan dari beliau (Imam Ahmad): ‘Kuku wanita termasuk aurat. Jika mereka keluar, tidak boleh menampakkan apapun bahkan khuf (semacam kaus kaki/sarung kaki), kerana khuf itu masih menampakkan lekuk kaki. Dan aku lebih suka jika mereka membuat semacam kancing tekan di bahagian tangan.” (Al Furu’, 601-602)

3. Syeikh Manshur bin Yunus bin Idris Al Bahuti, ketika menjelaskan matan Al Iqna’ , ia berkata:

« وهما » أي : الكفان . « والوجه » من الحرة البالغة « عورة خارجها » أي الصلاة « باعتبار النظر كبقية بدنها »

“’Keduanya, iaitu dua telapak tangan dan wajah adalah aurat di luar solat kerana adanya pandangan, sama seperti anggota badan lainnya.” (Kasyful Qanaa’, 309)

4. Syeikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin berkata:
القول الراجح في هذه المسألة وجوب ستر الوجه عن الرجال الأجانب

“Pendapat yang kuat dalam masalah ini adalah wajib hukumnya bagi wanita untuk menutup wajah dari pada lelaki ajnabi.” (Fatwa Nurun ‘Alad Darb, link )

ZIONIS SEMAKIN MENGGANAS UMAT SEMAKIN LEMAS


“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).” Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan pendorong bagimu.” 
( Surah Al-Baqarah: 120)





Dunia hanya memandang sepi apa yang berlaku di bumi umat Islam. Tiada tindakan komprehensif untuk menghentikan segala kekejaman dan kedurjanaan yang berlaku. Tiada siapa yang diharapkan oleh umat di Palestin kecuali mereka bangun sendiri menentang kezaliman yang dialami oleh mereka dengan menggunakan nyawa mereka sendiri.


Sesungguhnya bumi Palestin yang terdapat di dalamnya kiblat pertama umat Islam adalah watan yang perlu dipertahankan oleh umat Islam seluruh dunia. Apatah lagi Masjid al-Aqsa yang merupakan persinggahan Rasulullah s.a.w sebelum di Mi’rajkan ke langit sekarang ini terancam dengan apa yang dilakukan oleh Yahudi laknatullah terhadap masjid yang mulia ini.

Firman Allah:
﴿ سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَا بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْالحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الِّذي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْر 
Yang bermaksud:
“Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan kepadanya ayat-ayat Kami, sesungguhnya Dialah Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” 
[Al-Isra (17): 1]


Dengan jatuhnya khilafah Othmaniah, bumi Islam telah berpecah dan diagihkan kepada dunia barat termasuk bumi Islam Palestin. Palestin yang dianggap sebagai bandar yang dipenuhi dengan pelbagai tamadun manusia yang gemilang suatu masa dahulu, kini dirampas oleh rejim Zionis melalui perancangan dan tipu muslihat yang teliti bermula melalui perjanjian Balfour pada tahun 1917. Bermula dari situlah umat Islam ditindas dan dihalau di tanah milik mereka sendiri sehingga akhir 80% rakyat Palestin menjadi pelarian yang menghuni khemah-khemah pelarian tanpa prasarana yang diperlukan sebagai seorang manusia yang merdeka.

Umat Islam Palestin merintih, menangis meminta pembelaan daripada saudara seakidahnya sebagai mana mereka pernah merintih dan menangis apabila tentera-tentera Salib menakluki Baitul Maqdis pada 4 Julai 1099 sehingga menyebabkan 70,000 Muslimin dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan.



Kesepakatan musuh-musuh Islam untuk memerangi Islam dan umatnya berpanjangan dan sentiasa berusaha memastikan Deenul Islam yang hanif ini lenyap di muka bumi ini bersama umatnya.

Bumi Palestin adalah bumi para anbiya’ kerana ramainya para nabi yang lahir di sana di antaranya Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf, dan Nabi Ismail a.s. Bumi ini juga menyaksikan pertukaran tongkat kepimpinan dunia daripada Nabi-Nabi sebelumnya kepada Nabi Muhammad s.a.w apabila Baginda mengimami para nabi bersolat di masjid al-Aqsa. Umat Islam perlu bangga kerana peristiwa tersebut menggambarkan kedudukan umat Islam adalah lebih mulia daripada umat-umat lain terutamanya Bani Israel yang sering melakukan tipu daya terhadap Allah dan utusannya.



Namun kini, umat Islam seolah-olah sudah lupa hakikat ini dengan membiarkan kaum yang suka membunuh, menindas dan melakukan perubahan terhadap kitab Taurat dan Injil menguasai dunia dan menyebarkan tamadun yang menyesatkan manusia.

Firman Allah s.w.t:
﴿ لُعِنَ الَّذِيْنَ كَفَرُوا مِنْ بَنِى إِسْرَائِيْلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيْسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُوْنَ﴾
Yang bermaksud:
“Telah dilaknat orang-orang yang telah kafir dari Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam, demikian itu disebabkan perbuatan mereka yang engkar dan sesungguhnya mereka itu orang-orang yang melampau.” [Al-Maidah (5): 78]

Umat Islam membiarkan pengiktirafan yang diberikan oleh Allah ini dengan mengikut tamadun yang membawa kehancuran kepada fitrah yang dimiliki oleh dirinya. Akibatnya apa yang dialami oleh umat Islam di Palestin seperti pembunuhan kejam di Shabra, Shatila dan Jenin hanya mampu dilihat tanpa ada apa-apa perasaan. Jiwa umat Islam lemah dan tunduk kepada segala tekanan dan arahan daripada musush-musuh Islam.

Umat Islam hari ini memerlukan jiwa seperti Saiyidina Umar al-Khatab yang berjaya membebaskan Baitul Maqdis dan mengisytiharkannya sebagai tanah wakaf umat Islam pada tahun 636 M. Jiwa umat Islam perlu dibangunkan seperti jiwa Salahuddin al-Ayyubi yang membebaskan Baitul Maqdis daripada tentera-tentera Salib pada 2 Okt 1187. Jiwa umat Islam seluruh dunia wajib disedarkan sekarang ini, sebagaimanan sedarnya jiwa-jiwa umat Islam Palestin untuk membebaskan masjid al-Aqsa apabila Intifadhah bermula pada 8 Disember 1987. Jiwa umat Islam perlu dimerdekakan daripada jiwa perhambaan yang mengakibatkan umat Islam lemah dan hanyut dengan arus keduniaan dan menjadi hamba kepada kuasa-kuasa yang secara terang-terangan ingin menghapuskan Islam dan umatnya.

Pencerobohan demi pencerobohan terhadap bumi umat Islam dan yang terbaru adalah Lubnan merupakan di antara siri-siri keganasan yang dirakam dan diperlihatkan kepada seluruh dunia betapa kejam dan zalimnya rejim Zionis laknatullah ini.

Tanpa mengira siapa, bayi, kanak-kanak, remaja, wanita dan golongan lelaki, semuanya dianggap sebagai binatang yang boleh diperlakukan apa sahaja. Malah pencerobohan dan keganasan di Lubnan adalah sedikit jika hendak dibandingkan dengan apa yang mereka lakukan terhadap umat Islam di Palestin. Peristiwa pencerobohan terbaru ini memang sudah dijangka kerana itulah impian mereka selama ini iaitu ingin menegakkan negara Israel Raya atau The Greater Israel atau Israel Kubro. Yang meliputi tanah umat Islam di antara sungai Nil di Mesir hingga sungai Furat di Iraq. Iraq sudah jatuh di tangan tentera-tentera penjajah Amerika Syarikat. Yahudi Zionis ingin meluaskan empayar mereka sehinggalah cita-cita mereka tercapai akhirnya. Namun umat Islam hanya melihat tanpa melakukan apa-apa tindakan yang menunjukkan kesatuan dan pendirian teguh mempertahankan tanah milik umat Islam.

Jika terdahulu semasa kegemilangan Islam, dan khalifah adil memerintah, jika seinci bumi Islam diceroboh, maka akan dihantar bala tentera Islam untuk mempertahankan dan merampas kembali. Namun kini semuanya itu hanya tinggal kenangan. Walau bagaimanapun nostalgia kegemilangan ini perlu dibangkitkan dan disegarkan semula agar seluruh umat Islam menyedari bahawa kekuatan sedemikian perlu diwujudkan kembali agar kezaliman yang dialami umat Islam mendapat pembelaan yang secukupnya.

Bumi Palestin dinodai. Umat Islam Palestin dinafikan haknya. Wang RM 55juta sebulan hasil daripada cukai yang diperolehi sama sekali tidak dipulangkan dan diberikan kepada rakyat Palestin. Rakyat Palestin menangis kesedihan kerana mereka yang serba kekurangan dari semua sudut, berlawan bersendirian dengan rejim Zionis yang mendapat sokongan dan dokongan dari dunia barat yang diketuai Amerika Syarikat. Umat Islam Palestin menangis, di saat mereka bergelumang dengan darah dan nyawa mereka. Rejim zionis dengan kekuatan persenjataan yang mereka miliki sedikit demi sedikit meratah nyawa mereka tanpa mengenal siapa.

Umat Islam perlu menyedari hakikat ini! Apalah yang hendak diharapkan daripada musuh-musuh Islam bagi mempertahankan dunia Islam sendiri.

Umat Islam wajib bersatu berganding bahu tanpa membuang masa dan waktu, bangun mempertahankan Baitul Maqdis yang satu. Islam adalah teras kepada kesedaran ini dan bukannya hanya semangat yang ditiup oleh kepentingan individu. Umat Islam juga perlu memberi sumbangan sama ada dalam bentuk wang ringgit, tenaga, doa, dan seumpamanya. Namun buat masa sekarang, sumbangan dalam bentuk wang ringgit amat dan lebih diperlukan oleh rakyat Palestin dan Lubnan yang menjadi mangsa kekejaman serangan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis dan Israel. Marilah kita bersama-sama menyalurkan bantuan untuk membantu anak-anak yatim yang hilang tempat bergantung, pelarian-pelarian yang tiada tempat tinggal, pesakit-pesakit yang memerlukan ubat-ubatan dan rakyat Palestin dan Lubnan secara keseluruhannya yang ditindas dan dizalimi untuk mereka meneruskan kehidupan mereka.  Umat Islam perlu menyumbang semampunya melalui tabung-tabung yang diwujudkan untuk bumi Palestin dan badan-badan yang bertanggungjawab mengurus kebajikan rakyat dan bumi Palestin. 

Jika sekiranya bangsa Yahudi dimotivasikan oleh kitab Talmud mereka, umat Islam mesti dimotivasikan dan dibangunkan jiwanya dengan kitab suci al-Quran. Itulah cara dan jalan terbaik bagi memastikan umat Islam terbela dan mendapat haknya serta tidak lagi diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya kemenangan Islam itu memang pasti akan berlaku, maka beruntunglah bagi mereka yang berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah dikecapi sebelum ini. Islam pasti memerintah semula dunia ini dengan keadilan syariat dan berbahagialah mereka yang bekerja dan berusaha memastikan kegemilangan Islam di muka bumi ini.
Ya Allah, hamba-hambaMu ini menadah tangan memohon pertolongan kepadaMu Yang Amat Pengasih terhadap para hambaNya. Selamatkanlah Masjid al-Aqsa daripada terus dicerobohi dan dimusnahkan oleh Yahudi bangsa yang dilaknat olehMu itu.

Ya Allah, selamatkanlah kiblat pertama umat Islam ini daripada terus dijajah dan dikuasai oleh bangsa yang jelas melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Selamatkanlah tempat isra’ RasulMu itu daripada terus diceroboh dan diroboh oleh bangsa yang beranggapan bahawa mereka adalah umat pilihan Tuhan.

Ya Allah ya Aziz ya Muntaqim, satukanlah hati-hati umat Islam dengan ikatan akidah yang satu demi mempertahankan tanah suci Baitul Maqdis. Berikanlah kepada kami kemenangan yang hakiki dan seterusnya memperoleh kejayaan abadi di akhirat nanti. Lembutkanlah hati-hati kami untuk sentiasa menghulurkan pertolongan dan bantuan kepada saudara kami di Palestin dan jadikanlah kehidupan kami sebagai secebis perjuangan untuk membebaskan bumi yang tercinta Palestin.

Firman Allah s.w.t:
﴿ لُعِنَ الَّذِيْنَ كَفَرُوا مِنْ بَنِى إِسْرَائِيْلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُدَ وَعِيْسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُوْنَ﴾
Yang bermaksud:
“Telah dilaknat orang-orang yang telah kafir dari Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam, demikian itu disebabkan perbuatan mereka yang engkar dan sesungguhnya mereka itu orang-orang yang melampau.” [Al-Maidah (5): 78]

1975 - Malaysia kutuk serangan Israel ke atas Palestin.

2000 - Malaysia kutuk serangan Israel ke atas Palestin.

2012 - Malaysia kutuk serangan Israel ke atas Palestin.

2020 - Malaysia kutuk serangan Israel ke atas Palestin.

2061 - Malaysia kutuk serangan Israel ke atas Palestin.

Adakah ini sahaja pendirian kerajaan Malaysia???

renungkan kembali apa yang telah kita lakukan untuk mereka???

salah satu daripadanya....
apabila ditawarkan burger secara percuma!!!


adakah nilai nyawa dan darah saudara kita ini semurah EGG MCMuffin ??????


Mungkin mereka masih belum tahu apa yang berlaku di Gaza.
Mungkin mereka tak tahu mengapa kita boikot Mcdonald.
Mungkin mereka tak terbaca/terlepas pandang maklumat-maklumat yang kita sebarkan.

Ayuh kita tingkatkan usaha sebarkan dengan lebih meluas ! print senarai boikot dan sebarkan dalam kalangan sahabat-sahabat anda,sekolah anda, kampus anda, pejabat anda, jiran tetangga anda! ceritakan apa yang berlaku di Palestin sekarang kepada orang di sekeliling anda.

#Kepada yang berjaya 'menahan diri' dari mengambil 'tawaran' McDonald pagi tadi, kami ucapkan syabas ! Semoga kita dapat menjawab dihadapan Allah kelak dengan usaha-usaha termampu yang kita lakukan ini.


SUDUT PIDATO HEDONISME



7 November 2012, Dataran Masjid Sultan Ismail UTM - Persatuan Mahasiswa Islam telah bekerjasama dengan Pro-mahasiswa UTM telah mengadakan satu sudut pidato bagi menolak budaya hedonisme. Sudut pidato itu telah dipengerusikan oleh saudara Muhammad Amin bin Muhammad Iskandar.



Pemidato yang pertama iaitu saudara Muhammad Khalid bin Mohd Jali, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM telah menerangkan apakah itu budaya hedonisme yang boleh dirumuskan budaya yang bertuhankan nafsu. Beliau juga telah mengingatkan kembali agenda yahudi untuk melemahkan umat Islam melalui 4S dan 4F. 4S itu ialah (Songs-Lagu, Sex-Seks, Smoke-Rokok dan Sport-Sukan) dan 4F  (Fun-Hiburan, Female-Wanita, Fashion-Fesyen, Food-Makanan)




Sudut pidato diteruskan dengan menampilkan saudara Ahmad Afifi bin Mohammad Lotfi yang merupakan wakil Pro-Mahasiswa. Di dalam pidato beliau banyak menekankan mengenai kelakuan remaja di masa kini yang terlalu suka berhibur mensia-siakan perjuangan nenek moyang kita yang berusaha untuk menyebarkan Islam dan memerdekan bumi Malaysia. Beliau juga memesan jika kadar hiburan di kampus kita terutamanya dan luar kampus amnya tidak dikekang dengan pengisian ilmu maka tidak mustahil masyarakat akan datang akan lebih teruk daripada masyarakat kini.




Pemidato terakhir ialah saudari Nurul Nabila binti Mohd Fadzil yang juga daripada Pro-Mahasiswa telah menyampaikan pidato beliau dengan isi-isi yang bernas. Beliau membentangkan rekod penangkapan khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) yang dilakukan pada bulan kemerdekaan Malaysia. Di sini beliau menekankan betapa rosak akhlak sekelompok masyarakat kini yang menyambut kemerdekaan dengan segala macam kemungkaran walhal generasi sebelum ini telah bergadai nyawa untuk memperoleh kemeradekaan.


Kemudian saudara Ibrahim ketua Pro-Mahasiswa UTM telah membuat satu resolusi daripada sudut pidato ini dengan menggesa HEMA untuk menyegerakan cadangan sidang meja bulat untuk membincangkan mengenai dasar kebudayaan unversiti agar setiap pengajur program di dalam universiti dapat menjadikannya sebagai satu panduan dalam menjalankan program. Di akhir pidato saudara Amin Iskandar menekankan agar setiap persatuan, kelab, jawatankuasa kolej mahasiswa(JKM), Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni(HEMA), pengawal keselamatan dan semua organisasi di dalam universiti untuk berganding bahu menyelesaikan masalah hedonisme di dalam universti.


Semoga usaha sudut pidato ini dapat membuka hati mahasiswa dan staf UTM khususnya dan masyarakat umumnya mengenai kepentingan menolak hedonisme dalam budaya hidup kita.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...