1) Pro Mahasiswa UTM melahirkan rasa syukur atas kejayaan pihak polis merungkaikan kes pembunuhan kejam jutawan komestik Datuk Sosilawati Lawiyah dan tiga orang pembantunya. Kes ini dapat dirungkaikan dengan kadar yang segera disebabkan tindakan pantas pasukan polis dalam menjalankan siasatan secara menyeluruh.
2) Kes kejam ini merupakan kes yang melibatkan isu rentas kaum, agama, latar belakang politik, dan norma kemanusiaan seperti yang dimomokkan dalam media massa. Nilai kemanusiaan dan integriti rakyat Malaysia seolah-olah dicalar dengan teruk apabila berlakunya kes jenayah berprofil tinggi. Ini disebabkan kes tersebut melibatkan pengamal undang-undang negara.
3) Kes ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia terdedah dengan pelbagai lagi kes yang tidak dapat diselesaikan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Ini terbukti terdapat banyak kertas siasatan yang dibuka semula berhubung kait soal pembunuhan Datuk Sosilawati dan kehilangan pedagang India yang telah dilaporkan sendiri oleh isteri beliau di atas tekanan antarabangsa.
4) Badan legislatif sepatutnya diperkukuh dan dimurnikan semula dari segi penjawatan dan peranan dalam melahirkan Malaysia yang harmoni. PDRM seharusnya bebas dalam melakukan gerak kerjanya tanpa terpengaruh dengan tekanan politik seperti dalam kenyataan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Bin Hassan baru-baru ini. Mahasiswa mengharapkan agar pasukan keselamatan lebih efisyen dalam menyelesaikan sesuatu siasatan kes jenayah yang semakin berleluasa.
4) Pro Mahasiswa UTM mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang pembantunya. Diharapkan seluruh ahli keluarga mereka tabah dalam menghadapi musibah yang menimpa.
5) Akhir sekali, saya mewakili Pro Mahasiswa UTM dan seluruh warga UTM berharap agar kes-kes terpencil tidak kira taraf, agama, bangsa dan taraf sosial dilayan siasatannya sama rata seperti kes-kes ternama yang melibatkan orang kenamaan. Jangan kita menjadi seperti yang disebutkan dalam peribahasa melayu; "Sudah terhantuk baru terngadah". Keselamatan rakyat haruslah menjadi keutamaan kerajaan dalam memelihara suasana harmoni dalam negara kita.
Sekian, terima kasih.
NUR AZIM FAHADA BIN AHMAD
Naib Presiden (Fakulti)
Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM
Merangkap,
Pengerusi Pro Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bharu.
18 September 2010