Assalamualaikum wrh wbt dan salam sejahtera.
Sudah hampir sebulan lebih kita bercuti, kini semester baru 2009/2010-2 telah bermula. Saya pasti dan yakin mahasiswa-mahasiswi UTM telah memanfaatkan cuti tersebut dengan perkara-perkara yang berfaedah setimpal dengan gelaran mahasiswa yang telah dianugerahkan.
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat kembali ke kampus kepada seluruh warga UTM khususnya buat mahasiswa-mahasiswi UTM dan semoga semester yang baru ini akan membuka lembaran baru dalam diari kehidupan kita sebagai mahasiswa.
Keputusan peperiksaan semester lepas telah pun kita ketahui. Antara kita, ada yang mendapat keputusan yang cemerlang dan ada pula yang kecundang. Itulah ia warna-warni kehidupan kampus. Adakalanya kita di atas dan adakalanya kita di bawah seakan-akan roda yang berputar.
Akan tetapi, kita mampu mencatur halatuju perjalanan kita sebagai mahasiswa di kampus. Kita perlu merancang strategi pembelajaran bagi mencapai kejayaan yang lebih baik. Dampingi para pensyarah dan tingkatkan kerjasama dengan rakan-rakan agar kejayaan yang diperolehi lebih bermakna.
Sebagai mahasiswa, corak pemikiran kita tidak hanya tertumpu kepada bidang akademik sahaja. Kita juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti non-academic yang dapat memberi nilai tambah kepada setiap yang bakal menempuhi alam pekerjaan kelak.
Janganlah kita sekadar menjadi mahasiswa 3K yang aktiviti hariannya sekadar berkisar pada kuliah, kantin dan kolej. Mahasiswa perlulah mempunyai ciri-ciri yang dinamik, suka bersaing, resposif dan berintegriti ke arah melahirkan pemimpin-pemimpin yang memacu Malaysia ke arah Malaysia Baru.
Sekian. Wassalamualaikum wrh wbt. Terima kasih. Syukran jazilan. Thank You.
NUR AZIM FAHADA BIN AHMAD
Pengerusi Pro-Mahasiswa UTM