Hari berganti hari, masa berganti masa, sedar tak sedar, tahun 1430H telah pun ditinggalkan dan tahun 1431H kini menjelma. Ini bermakna, kita telah berada di tahun baru dalam kalendar Islam. Dan apabila sebut sahaja tahun baru, setiap daripada kita mempunyai semangat dan azam baru yang ingin dicapai. Begitu juga bagi tahun ini, kita ingin agar tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Dalam konteks masyarakat kampus, khususnya mahasiswa, kita ingin melihat mahasiswa pada hari ini bukan lagi mahasiswa yang seringkali dilabel lemah, lesu dan tidak cakna. Dari semasa ke semasa, kita senantiasa dibandingkan dengan mahasiswa era dahulu yang dikatakan lebih berkualiti berbanding mahasiswa hari ini. Ini kenyataan yang payah untuk diterima tetapi ada kebenaran. Jika dilihat, tahap kesedaran mahasiswa masih boleh dianggap lemah. Mahasiswa lebih banyak ‘bermain-main’ dalam gelanggang akademik tanpa mengambil cakna akan isu-isu yang berlaku di sekeliling. Apabila terkena pada diri sendiri, barulah mula mencari alternatif. Dalam hal ini, siapa yang perlu dipersoalkan? Adakah kita perlu persoalkan KPT dengan AUKUnya yang sering dikatakan menyekat kebebasan bersuara mahasiswa? Atau pihak pentadbiran universiti iaitu HEP yang dikatakan mengongkong pergerakan mahasiswa? Atau organisasi terbesar mahasiswa iaitu MPP yang suatu ketika gah dengan kebanjiran pimpinan EVOnya tetapi kini dianggap semakin kurang kredibilitinya?
Sebagai mahasiswa yang prihatin dan sedar akan peranan dan tanggungjawab terhadap masyarakat, Pro-M bukan sekadar ‘membaling batu sembunyi tangan’ dalam membangkitkan isu yang patut menjadi perhatian, tetapi apa yang penting adalah cadangan-cadangan yang diutarakan dalam menangani sesuatu isu. Pro-M berupaya menjadi problem solver dan check and balance kepada mahasiswa dan universiti. Perjuangan yang lahir daripada kesedaran adalah lebih bermakna berbanding sekadar ikut-ikutan. Daripada kesedaran inilah kita cuba menghasilkan sesuatu yang dikatakan out of the box.
Mahasiswa merupakan agen perubahan. Tetapi sejauh mana kita menyedari hakikat ini? Maka sebagai mahasiswa yang berkesedaran, sudah tiba masanya untuk membuat pembaharuan dalam arena kemahasiswaan. Kita tidak lagi harus terus berada di takuk lama, bahkan menjadi boneka yang dimainkan untuk kepentingan pihak tertentu yang tidak membawa faedah kepada mahasiswa. Kita juga tidak perlu lagi menjadi tunggul yang boleh dibuat sesuka hati. Kitalah sebenarnya pemimpin masa hadapan. Kita mempunyai kuasa untuk merubah, apatah lagi sesuatu yang bersifat stereotype. Peranan harus kita mainkan. Berhijrah daripada kelesuan minda dan pemikiran, sebaliknya mara ke hadapan dan berani mencipta gelombang pembaharuan!