Dilemma Biro Tata Negara

Oleh : Nur Azim Fahada Bin Ahmad*

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘ kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang’. Inilah pepatah yang cukup sesuai dengan isu yang sedang hangat diperkatakan dalam media arus perdana kita pada masa sekarang ini. Isu Biro Tatanegara kini menjadi topik hangat dikalangan masyarakat Malaysia pada ketika ini.

Isu ini menjadi hangat apabila Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah untuk mengharamkan pelajar-pelajar dan kakitangan awam dibawah pentadbiran kerajaan negeri daripada mengikuti program Biro Tatanegara (BTN) yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri(JPM) .

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mengambil langkah yang sama dengan mengharamkan penglibatan kakitangan kerajaan dan pelajar-pelajar institusi di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Apa itu BTN?

BTN adalah satu program kelolaan terus daripada Jabatan Perdana Menteri. Ia merupakan program berbentuk kenegaraan yang bermatlamatkan untuk membentuk semangat patriotik kepada peserta BTN tersebut.

Antara program yang dianjurkan semasa kem BTN ini adalah modul kenegaraan dimana peserta didedahkan dengan sejarah-sejarah negara kita ini.

Malangnya, BTN ini telah dijadikan alat oleh kerajaan sekarang untuk mendoktrinisasikan rakyat Malaysia dengan mengambarkan beberapa pihak sebagai penjenayah,pengkhia nat dan sebagainya sebaliknya menerapkan hanya kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang ini sahajalah yang layak untuk mentadbir Malaysia.

Doktrin-doktrin yang bersifat perkauman dan permusuhan inilah telah menyebabkan matlamat BTN yang pada asalnya untuk menyemai semangat patriotik telah bertukar kepada matlamat untuk mencatuhkan sesetengah pihak.

Doktrin-doktrin ini jugalah telah menyebabkan persoalan apa itu BTN boleh disalah ertikan kerana matlamat penganjuran kem tersebut telah terpesong daripada matlamat asalnya.

Boikot dan Haramkan BTN

Niat jahat kem BTN dalam menimbulkan kebencian rakyat kepada sesetengah pihak menjadikan ia sudah tidak relevan untuk dilaksanakan lagi pada ketika ini. Ia juga menjadi satu bentuk yang kontradik dengan konsep 1 Malaysia yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri.

Jalan penyelesaian cukup terbatas sama ada BTN ini harus diharamkan atau BTN ini harus diboikot selagi tidak ada jaminan daripada kerajaan Malaysia sendiri terhadap modul-modul yang menyemai semangat kebencian kepada sesetengah pihak dalam kem BTN ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk merombak semula kurikulum BTN yang disifatkan sudah agak ketinggalan zaman.

Pandangan bekas Timbalan Perdana Menteri ini jelas menunjukkan bahawa BTN ini memang tidak relevan lagi kerana banyak kepincangan yang berlaku semasa proses pelaksanaan kem tersebut.

BTN juga disalahguna untuk menjadi senjata ampuh yang dapat menyebarkan doktronisasi dalam setiap lapisan atau golongan masyarakat semata-mata untuk kepentingan peribadi sehingga menyebabkan berlakunya budaya ‘Pak Turut’ dan terkesan di dalam semua agensi kerajaan khasnya dan masyarakat umumnya.

Ini bukan budaya Melayu

Budaya memperlekehkan orang lain bukanlah budaya masyarakat Melayu. Tetapi inilah realiti yang berlaku dalam kem BTN. Pendedahan mengenai doktrin bangsa lain bangsa penumpang adalah satu bentuk doktrin yang cukup keterlaluan kepada kita.

Cubaan untuk menyemaikan perkara-perkara ini jelas bertentangan dengan prinsip 1 Malaysia dan ia juga tidak langsung membantu menwujudkan perpaduan kaum dalam negara Malaysia.

Tragedi berdarah 13 Mei harus diambil pengajaran. Kem BTN janganlah memainkan isu perkauman dan menyalakan api-api permusuhan antara kaum kerana ia jelas akan merencatkan perjalanan susur jalur pentadbiran dan ekonomi negara. Inilah yang kita cukup bimbangkan.

Kesan doktrin-doktrin jahat daripada BTN ini memberikan implikasi buruk kepada pembangunan insan negara dan pembangunan ekonomi negara.

Oleh itu, saya melihat bahawa masalah BTN sepatutnya diselesaikan di awal pemerintahan Dato’ Seri Najib dan seharusnya bertepatan konsep 1 malaysia. Tetapi ianya dijadikan alat menjadi untuk memenangkan satu pihak dan memburukan satu pihak yang lain.

Usaha menukar konsep dan pendekatan berdasarkan modul-modul berkonsepkan 1 malaysia nampaknya dipandang remeh dan dilambatkan walaupun perbincangan konsep BTN dikatakan pernah diadakan. Gesaan telah dibuat untuk dikaji semula modul-modul BTN ini.

Segala kepincangan yang didedahkan kepada umum harus diambil serius oleh semua pihak. Janganlah disebabkan doktrin-doktrin jahat ini akan menyebabkan sistem keamanan negara terjejas dek kerana ketamakan kuasa pemimpin-pemimpin negara sekarang ini.

————

*Penulis merupakan Pengerusi Exco Kebajikan MPPUTM sesi 2009 merangkap Pengerusi Pro Mahasiswa UTM Skudai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...