IPT diminta tidak salah guna terma ‘Antarabangsa’

Pulau Pinang 16 Disember 04:30p.m │ Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diingatkan supaya tidak menyalahgunakan istilah ‘antarabangsa’ pada setiap program yang mereka anjurkan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jika menyebut antarabangsa, maka sebahagian peserta yang menghadiri program antarabangsa yang mereka anjurkan mestilah datang dari negara luar.

“Saya telah banyak menghadiri program anjuran IPT yang disebut sebagai antarabangsa tetapi bilangan peserta luar negara hanya dua hingga tiga orang sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Antarabangsa Pengajian Tinggi, di sini hari ini.

Forum empat hari itu yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) yang dihadiri 213 peserta dari 32 buah negara.

Saifuddin turut mengingatkan IPT supaya memilih pendekatan yang benar-benar relevan dengan budaya dan tradisi di Malaysia khususnya dalam pengukuran tahap kecemerlangan masingmasing.

“Bukan semua kaedah dan pendekatan yang diguna pakai oleh universiti di Eropah dan Amerika Syarikat sesuai dengan budaya dan tradisi negara kita.

“Oleh itu setiap universiti di negara ini harus ada cara sendiri untuk mengukur tahap kecemerlangan ilmu agar sesuai dan relevan dengan amalan di negara kita,” katanya.

Saifuddin berkata, Kementerian Pengajian Tinggi juga telah memulakan sistem setara sejak 2006 iaitu piawaian yang digunakan untuk mengukur perkembangan setiap IPT di negara ini.

“Sistem ini juga merupakan salah satu komitmen kementerian dalam pengukuran tahap kecemerlangan ilmu yang sesuai dengan keperluan budaya dan tradisi kita,” katanya. – BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...