Kementerian benar sudut pidato diwujudkan di IPT

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
Kementerian benar sudut pidato diwujudkan di IPT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi membenarkan sudut pidato atau Speaker's Corner
diperkenalkan semula di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengasah
bakat pengucapan umum berkesan di kalangan warga kampus.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata aktiviti yang boleh
dilaksanakan pada bila-bila masa itu sebelum ini dihentikan berikutan
pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU). Sambil menjelaskan
aktiviti itu boleh diperkenalkan semula setelah AUKU dipinda Februari lalu,
beliau berkata, sudut itu memberi pelajar peluang menyuarakan pendapat menerusi
pidato umum yang dinanti-nantikan warga kampus.

"Kementerian memberi peluang pelajar berkongsi pengetahuan dengan mengemukakan
isu dan topik bernas untuk dikongsi bersama, selain dapat memperkemaskan sistem
pengurusan sedia ada dalam usaha memartabatkan IPT.

"Mahasiswa adalah golongan pencetus minda positif dan idea membina dalam
membangunkan komuniti kampus serta masyarakat sekeliling," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya
Aidilfitri 2009 Peringkat Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus
Antarabangsa dan pelancaran Tabung Kemanusiaan Gempa Sumatera, di Kuala Lumpur,
kelmarin.

Saifuddin berkata, pelajar bebas berpidato dengan mengemukakan isu semasa,
antaranya politik, ekonomi dan sosial selain pandangan serta kritikan bernas
dalam memperkasakan pentadbiran IPT dan negara.

"Kami lebih liberal dalam hal ini kerana yakin pelajar mempunyai wawasan dan
pandangan jelas mengenai setiap topik dan isu yang akan mereka kemukakan.

"Usaha ini adalah antara langkah kementerian lakukan bagi melahirkan pelajar
serba boleh dan mempunyai semangat juang tinggi," katanya.
Mengimbau kembali kegemilangan sudut pidato di IPT sekitar 1960-an hingga 1970,
katanya, pemimpin pelajar ketika itu di kalangan mereka yang petah berpidato dan
mempunyai idea bernas untuk dikongsi bersama. Beliau berkata, pemimpin kampus
juga mempunyai pengikutnya yang berpengaruh dalam memperjuangkan hak dan
kepentingan rakyat, hasilnya negara mempunyai pemimpin yang berani dengan
semangat juang tinggi.

"Ramai pemimpin negara hari ini lahir di kalangan pemidato yang bernas mindanya
ketika di kampus dan kini menjadi tokoh disegani," katanya.

Mengulas kemungkinan kelonggaran itu menyebabkan pelajar menjadi alat pihak
tertentu menyalurkan dakyah politik mereka, Saifuddin berkata, warga kampus
golongan berpelajaran.

Katanya, mahasiswa tidak terpengaruh dengan anasir negatif yang cuba
mempengaruhi mereka kerana masing-masing berfikiran matang, manakala topik
perbincangan pula dikupas secara rasional sesuai tahap pendidikan.

* dipetik dari Berita Harian online
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Pendidikan/20091015072153/Art\
icle/index_html

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...