4,000 siswa hadapi masalah air yang serius

Lebih 4,000 pelajar dari dua buah institusi pengajian tinggi di Labuan iaitu Kolej Matrikulasi dan Universiti Malaysia Sabah dikatakan sedang menghadapi masalah bekalan air yang serius.

Jurucakap Dewan Perniagaan Bersama Labuan, Yussof Mohammad berkata masalah tersebut yang dialami sejak awal tahun ini turut dialami oleh kira-kira 85,000 penduduk Labuan.

Yussof membangkitkan perkara tersebut dalam majlis perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan turut disertai wakil-wakil Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan (DPMML), Dewan Perniagaan India, Dewan Perniagaan Cina dan Dewan Perniagaan Labuan, di Labuan hari ini.

Raja Nong Chik memberi jaminan akan mengadakan rancangan jangka pendek untuk mengatasi masalah tersebut.

Pengerusi DPMML, Rokiah Ibrahim berkata pelajar institusi pengajian berkenaan terpaksa mandi di tempat terbuka di dalam kawasan kolej mereka.

Para pelajar terpaksa bergantung kepada bekalan yang disediakan oleh Jabatan Air, begitu juga dengan para penduduk, katanya.

Masalah bekalan air di Labuan dijangka selesai menjelang akhir 2010 apabila projek saluran paip bawah laut yang baru bernilai RM365 juta dari Sungai Padas, Beaufort di tanah besar siap disambung.

Masalah kekurangan air berlaku ekoran dua daripada tiga empangan di Sungai Pagar dan Sungai Kerupang telah kering. BERNAMA

Hadiah Hari Lahir

UTM Skudai, 28 Dis - Salah seorang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang telah di'lamar' oleh jentera Evolusi untuk menjadi calon tajaan mereka telah menyatakan hasratnya untuk bersama-sama dengan perjuangan Pro Mahasiswa.

Beliau Muhammad Uzair Azizan seorang mahasiswa Kolej Kediaman 11 yang mempunyai bakat kepimpinan semulajadi telah menarik minat Dr. Sulaiman Bin Kadikon (pengetua K11) untuk dijadikan sebagai calon pilihan pengetua. Perhubungan yang baik diantara mereka telah menambahkan lagi keyakinan pengetua terhadap beliau.

Perbezaan idealogi dan gagasan yang dibawa oleh Pro M telah menyebabkan Uzair terbuka untuk menerima Pro M. Katanya lagi, "Saya tidak dipaksa oleh mana-mana pihak untuk mengubah pendirian ini".

Akhirnya beliau Uzair, telah berjumpa dengan Ketua Jentera Pro M, Saudara Mohd Amin Hamami dan menyatakan hasrat beliau kepadanya. Kehadiran beliau telah disambut baik oleh rakan-rakan Pro M yang lain. "Uzair yang juga disifatkan sebagai calon 'favourite' untuk menang di dalam Pilihanraya Kampus 2010 ini nanti bakal memberikan kredit yang amat bermakna bagi Pro M", ulas Amin.

Keputusan pengetua kolej beliau yang membenarkannya untuk menjadi calon Pro M merupakan hadiah yang amat bermakna bagi ulang tahun hari lahirnya yang ke-21 yang kebetulan jatuh pada hari yang sama pengetua Kolej 11 melepaskan Uzair untuk bersam-sama Pro M. Ini adalah hadiah yang paling tidak disangka oleh Uzair dan juga Pro M.


Pro M : Selamat Hari Lahir dan Selamat Berjuang Uzair.

PRK 2010 : Pro-M hantar memorandum kepada NC


UTM Skudai, 28 Dis- Pro-Mahasiswa Universiti Teknologi Mahasiswa hari ini telah menyerahkan satu memorandum kepada Naib Canselor UTM bagi menyuarakan suara mahasiswa UTM berhubung Pilihan Raya Kampus yang akan diadakan tidak lama lagi.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Naib Chancelor UTM melalui Pembantu Peribadi beliau, oleh Pengerusi Pro-Mahasiswa UTM, Nur Azim Fahada bin Ahmad.

Pertemuan antara Azim Fahada dan empat wakil Pro-Mahasiswa yang lain bersama pihak pentadbiran Universiti berlangsung kira-kira 2 jam.

Ketika ditemui selepas di perkarangan Pusat Islam UTM yang hanya terletak di hadapan Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Azim berkata pro-mahasiswa terpanggil untuk menyatakan tuntutan agar Pilihanraya Kampus akan datang dapat dijalankan dengan adil setelah melihat PRK lalu yang terdapat banyak kelopongan.

Menurut Azim lagi, mereka mengambil tindakan menghantar memorandum tersebut adalah untuk menyemarakkan lagi gagasan Budaya Ilmu dalam pada seluruh peringkat di UTM. Hal ini adalah bagi memperbetulkan segala kecatatan yang terdapat pada Pilihan Raya Kampus terdahulu supaya PRK yang akan datang dapat memperlihatkan kematangan semua pihak khususnya dalam perlaksanaan bidang politik kampus.

"Dalam pertemuan tadi, perbincangan kami lebih tertumpu kepada bagaimana semua pihak dapat bekerjasama dalam menjayakan Pelan Pembangunan Mahasiswa dan melestarikan pembudayaan ilmu di semua peringkat"

Sementara itu, ketua jentera Pilihanraya Pro-Mahasiswa, Mohd Amin bin Hamami yang turut memberi kenyataan menyebut bahawa pihak pentadbiran menyambut baik wakil mereka dalam menyuarakan isu tersebut.

"Pihak pentadbiran telah memberi maklum balas yang baik kepada kami dan kami sebagai mahasiswa akan bersama-sama turut membantu dalam menjayakan gagasan ini. Kami akan melakukan persaingan yang baik agar hasrat murni ini dapat terlaksana." ujarnya merujuk kepada persaingan yang akan berlaku dalam merebut kerusi majlis Perwakilan Mahasiswa nanti.

Berhubung dengan memorandum tersebut, Amin berkata, pihaknya telah menggariskan enam tuntutan bagi perhatian pihak pentadbiran universiti.

Antaranya ujarnya adalah berkaitan dengan tuntutan agar nama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dapat ditukar secara rasmi dengan nama yang baru iaitu Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) selaras dengan transformasi UTM yang mana telah menggunakan perkataan "Mahasiswa" bagi menggantikan "Pelajar" bagi segala urusan rasmi, mewujudkan Majlis Pengenalan Calon, calon dibolehkan untuk menggunakan motto dan cogankata untuk berkempen.

Pro-M Edar Petisyen Pemurnian Pilihanraya Kampus (PRK)



Di atas kesedaran untuk mempertahankan ketinggian martabat budaya ilmu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan demi menjamin suasana demokrasi tulen subur di perbukitan ilmu ini, maka kami mewakili seluruh Mahasiswa yang berdaftar sebagai pelajar Universiti Teknologi Malaysia menuntut 6 atau salah satu daripada perkara berikut dijalankan dan dikuatkuasakan dengan tegas oleh pihak pentadbiran.
1. Menukar nama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM).
2. Mewujudkan Majlis Pengenalan Calon.
3. Menuntut agar calon dibolehkan untuk menggunakan motto dan cogankata untuk berkempen.
4. Menuntut agar semua calon yang bertanding dalam PRK diberikan kebebasan untuk berkempen di mana-mana tempat.
5. Menggesa agar calon diberikan kebebasan untuk menghasilkan poster sendiri mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak Urusetia Pemilihan MPM.
6. Pengetua kolej tidak boleh terlibat sama sekali dalam urusan Pilihan Raya Kampus (PRK) dengan erti kata lain, mempengaruhi, mengugut, dan menakut-nakutkan mahasiswa.

Semua mahasiswa/i dialu-alukan untuk menandatangani petisyen tuntutan pengembalian hak mahasiswa ini yang akan menemui anda di bilik-bilik kuliah masing-masing. Gunakanlah hak kebebasan bersuara yang telah dijamin dalam Perkara 10 (a) Perlembagaan Persekutuan. Jangan gentar dan takut akan bayang-bayang sendiri kerana nilai mahasiswa hanya laku selama 3 atau 4 tahun kita di Universiti. Jadi, gunakanlah nilai mahasiswa yang mahal harganya itu untuk kita berdemokrasi secara bebas dan berpilihanraya secara adil dan bersih.

*petisyen ini mula diedar oleh sukarelawan pro-mahasiswa bermula 21 disember 2009

Pro-Mahasiswa UTM sertai kerja amal

SKUDAI 20 Dis - Pro-Mahasiswa UTM hari ini telah menyahut seruan Naib Canselor, Prof. Dato’ Zaini bin Ujang untuk melahirkan mahasiswa berkemahiran insaniah dan prihatin terhadap sosial apabila seramai lebih 80 orang mahasiswa turun padang untuk menyertai program Kerja Amal di sekitar Skudai.

Kerja Amal yang bermula sejak semalam bertujuan untuk mengumpul dana sempena Pilihanraya Kampus 2010. Ia juga merupakan suatu inisiatif Pro-Mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa kampus.

Selain itu, Pro-Mahasiswa UTM berusaha untuk menghasilkan mahasiswa yang cuba memahami dan mengambil kira hal kemanusiaan sejagat dan kepentingan masyarakat dalam kehidupan mereka.

Para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang bertindak melawat rumah-rumah masyarakat setempat untuk membantu dengan kerja-kerja harian dan diberi upah mengikut budi bicara tuan rumah. Antara kerja-kerja yang telah dilakukan oleh peserta adalah mencuci kereta, mengemas rumah, mencabut rumput dan menyapu sampah.

Seorang peserta yang hanya ingin dikenali sebagai Muhammad berkata, “Saya ingin memuji usaha keras Pro-Mahasiswa yang berpenat-lelah dan berdikari untuk mengumpul dana tanpa bantuan mana-mana pihak.”

Katanya lagi, “Ini merupakan suatu pengalaman baru bagi saya dan tidak mungkin akan dilupakan. Perasaan saya bercampur baur antara kagum dan bangga melihat sahabat-sahabat yang tidak mengenal erti putus asa memberi salam dari rumah ke rumah untuk mencari kerja untuk dilakukan. Masyarakat setempat juga amat peramah dan menyambut kami dengan tangan terbuka tanpa sekelumit rasa syak wasangka.”

Kerja Amal telah mencatatkan pengumpulan dana sebanyak hampir RM 6,000 dalam masa hanya dua hari. Kejayaan untuk mengumpul dana sebanyak ini merupakan suatu titik tolak bagi Pro-Mahasiswa UTM untuk menghadapi Pilihanraya Kampus 2010 yang bakal berlangsung pada awal Januari nanti. - ADH

Masa untuk berubah!


Hari berganti hari, masa berganti masa, sedar tak sedar, tahun 1430H telah pun ditinggalkan dan tahun 1431H kini menjelma. Ini bermakna, kita telah berada di tahun baru dalam kalendar Islam. Dan apabila sebut sahaja tahun baru, setiap daripada kita mempunyai semangat dan azam baru yang ingin dicapai. Begitu juga bagi tahun ini, kita ingin agar tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Dalam konteks masyarakat kampus, khususnya mahasiswa, kita ingin melihat mahasiswa pada hari ini bukan lagi mahasiswa yang seringkali dilabel lemah, lesu dan tidak cakna. Dari semasa ke semasa, kita senantiasa dibandingkan dengan mahasiswa era dahulu yang dikatakan lebih berkualiti berbanding mahasiswa hari ini. Ini kenyataan yang payah untuk diterima tetapi ada kebenaran. Jika dilihat, tahap kesedaran mahasiswa masih boleh dianggap lemah. Mahasiswa lebih banyak ‘bermain-main’ dalam gelanggang akademik tanpa mengambil cakna akan isu-isu yang berlaku di sekeliling. Apabila terkena pada diri sendiri, barulah mula mencari alternatif. Dalam hal ini, siapa yang perlu dipersoalkan? Adakah kita perlu persoalkan KPT dengan AUKUnya yang sering dikatakan menyekat kebebasan bersuara mahasiswa? Atau pihak pentadbiran universiti iaitu HEP yang dikatakan mengongkong pergerakan mahasiswa? Atau organisasi terbesar mahasiswa iaitu MPP yang suatu ketika gah dengan kebanjiran pimpinan EVOnya tetapi kini dianggap semakin kurang kredibilitinya?

Sebagai mahasiswa yang prihatin dan sedar akan peranan dan tanggungjawab terhadap masyarakat, Pro-M bukan sekadar ‘membaling batu sembunyi tangan’ dalam membangkitkan isu yang patut menjadi perhatian, tetapi apa yang penting adalah cadangan-cadangan yang diutarakan dalam menangani sesuatu isu. Pro-M berupaya menjadi problem solver dan check and balance kepada mahasiswa dan universiti. Perjuangan yang lahir daripada kesedaran adalah lebih bermakna berbanding sekadar ikut-ikutan. Daripada kesedaran inilah kita cuba menghasilkan sesuatu yang dikatakan out of the box.

Mahasiswa merupakan agen perubahan. Tetapi sejauh mana kita menyedari hakikat ini? Maka sebagai mahasiswa yang berkesedaran, sudah tiba masanya untuk membuat pembaharuan dalam arena kemahasiswaan. Kita tidak lagi harus terus berada di takuk lama, bahkan menjadi boneka yang dimainkan untuk kepentingan pihak tertentu yang tidak membawa faedah kepada mahasiswa. Kita juga tidak perlu lagi menjadi tunggul yang boleh dibuat sesuka hati. Kitalah sebenarnya pemimpin masa hadapan. Kita mempunyai kuasa untuk merubah, apatah lagi sesuatu yang bersifat stereotype. Peranan harus kita mainkan. Berhijrah daripada kelesuan minda dan pemikiran, sebaliknya mara ke hadapan dan berani mencipta gelombang pembaharuan!

IPT diminta tidak salah guna terma ‘Antarabangsa’

Pulau Pinang 16 Disember 04:30p.m │ Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diingatkan supaya tidak menyalahgunakan istilah ‘antarabangsa’ pada setiap program yang mereka anjurkan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jika menyebut antarabangsa, maka sebahagian peserta yang menghadiri program antarabangsa yang mereka anjurkan mestilah datang dari negara luar.

“Saya telah banyak menghadiri program anjuran IPT yang disebut sebagai antarabangsa tetapi bilangan peserta luar negara hanya dua hingga tiga orang sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Antarabangsa Pengajian Tinggi, di sini hari ini.

Forum empat hari itu yang berakhir hari ini dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) yang dihadiri 213 peserta dari 32 buah negara.

Saifuddin turut mengingatkan IPT supaya memilih pendekatan yang benar-benar relevan dengan budaya dan tradisi di Malaysia khususnya dalam pengukuran tahap kecemerlangan masingmasing.

“Bukan semua kaedah dan pendekatan yang diguna pakai oleh universiti di Eropah dan Amerika Syarikat sesuai dengan budaya dan tradisi negara kita.

“Oleh itu setiap universiti di negara ini harus ada cara sendiri untuk mengukur tahap kecemerlangan ilmu agar sesuai dan relevan dengan amalan di negara kita,” katanya.

Saifuddin berkata, Kementerian Pengajian Tinggi juga telah memulakan sistem setara sejak 2006 iaitu piawaian yang digunakan untuk mengukur perkembangan setiap IPT di negara ini.

“Sistem ini juga merupakan salah satu komitmen kementerian dalam pengukuran tahap kecemerlangan ilmu yang sesuai dengan keperluan budaya dan tradisi kita,” katanya. – BERNAMA

Selamat Kembali Ke Kampus

Assalamualaikum wrh wbt dan salam sejahtera.

Sudah hampir sebulan lebih kita bercuti, kini semester baru 2009/2010-2 telah bermula. Saya pasti dan yakin mahasiswa-mahasiswi UTM telah memanfaatkan cuti tersebut dengan perkara-perkara yang berfaedah setimpal dengan gelaran mahasiswa yang telah dianugerahkan.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat kembali ke kampus kepada seluruh warga UTM khususnya buat mahasiswa-mahasiswi UTM dan semoga semester yang baru ini akan membuka lembaran baru dalam diari kehidupan kita sebagai mahasiswa.

Keputusan peperiksaan semester lepas telah pun kita ketahui. Antara kita, ada yang mendapat keputusan yang cemerlang dan ada pula yang kecundang. Itulah ia warna-warni kehidupan kampus. Adakalanya kita di atas dan adakalanya kita di bawah seakan-akan roda yang berputar.

Akan tetapi, kita mampu mencatur halatuju perjalanan kita sebagai mahasiswa di kampus. Kita perlu merancang strategi pembelajaran bagi mencapai kejayaan yang lebih baik. Dampingi para pensyarah dan tingkatkan kerjasama dengan rakan-rakan agar kejayaan yang diperolehi lebih bermakna.

Sebagai mahasiswa, corak pemikiran kita tidak hanya tertumpu kepada bidang akademik sahaja. Kita juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti non-academic yang dapat memberi nilai tambah kepada setiap yang bakal menempuhi alam pekerjaan kelak.

Janganlah kita sekadar menjadi mahasiswa 3K yang aktiviti hariannya sekadar berkisar pada kuliah, kantin dan kolej. Mahasiswa perlulah mempunyai ciri-ciri yang dinamik, suka bersaing, resposif dan berintegriti ke arah melahirkan pemimpin-pemimpin yang memacu Malaysia ke arah Malaysia Baru.

Sekian. Wassalamualaikum wrh wbt. Terima kasih. Syukran jazilan. Thank You.

NUR AZIM FAHADA BIN AHMAD
Pengerusi Pro-Mahasiswa UTM

2009 dan jatuh bangun gerakan mahasiswa Malaysia

Oleh: Mohd Aizat Salleh*

Sewajarnya, untuk membandingkan aktivisme gerakan mahasiswa dahulu, dengan gerakan mahasiswa hari ini adalah amat tidak releven. Seumpama meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.

Mahasiswa dahulu diambil kira kehebatannya melalui gerakan-gerakan demonstrasi dan siri-siri desakan yang kebanyakannya menuju kepada pihak pemerintah. Sebagai contoh dalam tahun 1974, mahasiswa menggerakkan demonstrasi 5,000 rakyat di Kelab Sultan Selangor mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap masalah kemiskinan di Baling.

Lebih dari itu pada tahun yang sama di Universiti Malaya, mahasiswa yang diketuai presiden PMUM Kamaruzzaman Yaakub, membina sejarah apabila mengambil alih pentadbiran UM hanya kerana isu kenaikan harga makanan.

Nampak ketika itu, mahasiswa begitu konsisten bersifat radikal dan desakan dan ia diterima sebagai satu perjuangan di mata rakyat.

2009 dan gerakan mahasiswa

Tempoh setahun pasca Pilihan Raya Umum ke-12, membuka dimensi baru gerakan mahasiswa dalam membentuk landskap negara Malaysia. Terkesan dengan angin perubahan yang melanda rakyat, lalu memberi impak kepada kemenangan kumpulan Pro Mahasiswa di kampus Universiti Malaya setelah hampir enam tahun dikuasai kumpulan Pro Kerajaan.


Bermula kemenangan itu, mahasiswa mula membuka satu lapangan baru dalam mendepani isu-isu serta mencorak gerakan. Barisan Bertindak Mahasiswa Nasional (BBMN) telah diwajahkan kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN). Perjuangan bercorak negosiasi profesional membawa MPMN menjuarai isu-isu sosial nasional negara.

Permulaan gerakan, transformasi Malaysia


Kegagalan kerajaan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak menangani kebajikan rakyat, kemelesetan ekonomi, serta hubungan kaum dan agama, membawa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) membentuk satu ‘Deklarasi Mahasiswa’ demi menyelamatkan generasi dan Malaysia.

Satu kongres telah diadakan di Shah Alam yang dihadiri front-front mahasiswa seluruh Malaysia bagi membincangkan domain-domain penting ke arah pembentukan negara Malaysia yang lebih baik. Antaranya aspek hubungan kaum, kedudukan agama, perlembagaan dan demokrasi, undang-undang, pendidikan, pembangunan ekonomi dan hak-hak asasi rakyat Malaysia.

Perjuangan rakyat antarabangsa


Pertengahan bulan Julai, mahasiswa sekali lagi turun di jalanan apabila membantah perlakuan kejam pembunuhan beramai-ramai di masjid wilayah Selatan Thailand. Hampir 1000 mahasiswa berarak bermula dari Masjid As-Syakirin ke kedutaan Thailand dan diakhiri dengan penyerahan memorandum bantahan.

Beberapa rakan-rakan aktivis yang ditahan atas provokasi polis namun dilepaskan selepas 6 jam dalam tahanan.

Mahasiswa membela rakyat


Mahasiswa sentiasa menjadi urat nadi kepada kesengsaraan rakyat yang ditindas dan dizalimi. Seringkali suara-suara rakyat digemakan mahasiswa melalui perjuangan pembelaan kelompok kecil dan marhaen.

Isu kudeta negeri Perak pada bulan Februari menjadi perhatian mahasiswa apabila GAMIS dan SMM bertindak memobilasi mahasiswa dalam perhimpunan rakyat Perak di Masjud Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.

Dalam masa yang sama di Istana Negara, kumpulan-kumpulan mahasiswa yang prihatin dan simpati dengan perjuangan rakyat Perak telah menghantar satu memorandum bantahan kudeta kepada Yang Dipertuan Agung. Di dalam tuntutan tersebut, mahasiswa mendesak agar dibubarkan segera DUN Perak bagi memberi mandat kepada rakyat Perak memilih pemimpin.

Selain daripada itu, isu kekurangan bekalan air kepada masyarakat Labuan pada awal Disember, telah sekali lagi mendesak mahasiswa yang dianggotai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) dan MPMN bertemu dengan Perdana Menteri di Putrajaya bagi membincangkan penyelesaiannya. Pihak kerajaan akhirnya bersetuju menimbangkan tuntutan mahasiswa di dalam isu tersebut.

Membela hak mahasiswa


Disamping menjadi suara penghubung antara rakyat kepada pemerintah, gerakan mahasiswa turut tidak terlepas dalam memperjuangkan isu yang menimpa hak-hak mahasiswa.

Umpamanya di dalam isu kenaikan harga yuran yang terlampau tinggi dan membebankan di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), telah mendesak tertubuhnya gerakan mahasiswa sedar (GMS) yang menuntut agar pentadbiran KUIS mengkaji dan menurunkan yuran segera. Perjuangan ini mendapat perhatian Menteri Besar Selangor dan akhirnya membuat keputusan memberikan peruntukan kebajikan khas kepada mahasiswa.

Desakan demi desakan keatas undang-undang yang cuba menyekat aktivisme serta membunuh idealisme mahasiswa terus giat dilakukan. Apabila kerajaan bersetuju untuk menggunakan sistem E-Undi di dalam pilihan raya kampus (PRK) , mahasiswa seluruh universiti bangkit dan menubuhkan satu gerakan yang dinamakan Gabungan Mahasiswa Membantah E-Voting (BANTAH), dengan bermatlamat menyekat berlakunya pencabulan demokrasi kampus melalui sistem ini.

Dan pada bulan November, gerakan ini berjaya menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan mahasiswa kepada menteri dan timbalan menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), setelah satu himpunan bantahan E-Voting dilancarkan di UPM.

2009 dan gelombang baru mahasiswa


Tahun 2009 menyaksikan satu gelombang bentuk baru kepada gerakan mahasiswa telah terjadi. Seakan mahu mengembalikan kegemilangan gerakan mahasiswa era 80-an namun dalam dimensi baru yang lebih terkehadapan.

Status check and balance kepada kerajaan pemerintah, mahupun mana-mana pihak masih lagi menjadi prinsip utama gerakan mahasiswa yang tegar untuk digugah walau zaman demi zaman telah berlalu. Mahasiswa akan kekal menjadi kelompok watch dog, menyuarakan pandangan tanpa dikongkong, menjadi benteng pertama rakyat dan bersedia menggantikan kepimpinan seandainya ia memerlukan.

Apa yang pasti, sekatan dan tekanan kepada mahasiswa pasti akan berlangsung tanpa henti. Namun, ini sekali-kali bukan menjadi tunggul yang menghalang dari gerakan itu mati atau rebah sekalipun semua pemimpinnya dibunuh.

Benar seperti ungkapan seorang tokoh aktivis mahasiswa, “Kerajaan atau mana-mana pihak boleh memenjarakan mahasiswa, namun mereka tidak boleh menghalang kebangkitan mahasiswa!”.

————
*Aizat Salleh ialah exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dan suka mengajak rakan aktivis kepada revolusi pemikiran vis-à-vis ‘Liberal Syariatik’. Malah dengan secawan kopi, beliau mudah berkongsi idea dan pandangan. Kini beliau menerajui Gabungan Mahasiswa Bantah E-undi (BANTAH)

sumber : mahasiswakini

Akhlak pelajar kolej komuniti membimbangkan


KUALA LUMPUR, 10 Dis: Dr. Lo' Lo' Ghazali (PAS-Titiwangsa) mendakwa sahsiah dan akhlak pelajar-pelajar Kolej komuniti membimbangkan menyebabkan ibu bapa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka melanjurtkan pelajaran ke institusi berkenaan.

Dr. Lo' Lo' sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi ingin tahu samada mata pelajaran Pendidikan Agama Islam diajar atau tidak di kolej berkenaan.

"Saya mendapat rungutan daripada ibu bapa yang gusar untuk menghantar anak mereka ke kolej komuniti kerana ia dicemari dengan budaya negatif seperti budaya couple, vandalisme, buli dan sebagainya.

"Adakah mata pelajaran Agama Islam turut diajar kepada mereka bagi memastikan mereka bukan sahaja menjadi pekerja yang amanah tetapi tinggi akhlak dan sahsiahnya," soalnya.

Sebelum itu, Datuk Dr. Tekhee @ Tiki anak Lafe (BN-Mas Gading) meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan jumlah terkini Kolej Komuniti dan jumlah keseluruhan pelajar sepenuh masa mengikut bidang kursus yang mereka ikuti di seluruh negara dan mekanisme yang digunakan untuk memastikan mereka tidak akan menyumbang kepada masalah graduan menganggur di negara ini nanti.

Timbalan Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah (BN-Temerloh) dalam jawapannya memberitahu, sehingga Oktober 2009, terdapat 42 buah kolej komuniti induk dan 18 buah kolej komuniti cawangan yang beroperasi di seleruh negara.

Bilangan enrolmen pelajar program sepenuh masa, bagi sesi pengajian Julai 2009 ialah seramai 17,279 orang. Sebanyak 34 program pendidikan dan latihan dalam bidang teknkal, teknologi, perdagangan dan perkhidmatan dijalankan di kolej komuniti.

Beberapa langkah telah dilaksanakan bagi memastikan graduan kolej komuniti memenuhi pasaran kerja, antaranya ialah menggunakan pendekatan Work-Based Learning (WBL) yang mewajibkan pelajar menjalankan latihan pekerjaan selama setahun di tempat kerja.

Selain itu, Kementerian juga melaksanakan Skim Pengukuhan Graduan (SPG) yang bersifat enrichment, reinforcement, dan updating berkonsepkan tambah nilai, khususnya dalam bidang teknikal, teknologi, perkhidmatan dan keusahawanan.

Sumber : harakahdaily

Masalah air desak mahasiswa ke Putrajaya



Putrajaya 08 Disember 07:58a.m │ Berikutan masalah bekalan air yang terus yang telah melanda Wilayah Persekutuan Labuan telah mendesak mahasiswa terutamanya dari Sabah dan Sarawak turun ke Putrajaya bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Penyerahan memorandum berkenaan diketuai oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) disamping beberapa front yang bernaung bersama dibawah koalasi mahasiswa berkenaan termasuk Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-M), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) serta Markas Siswa Siswi Islam Sabah Sarawak (MARSIS).

Majoriti mahasiswa di negeri berkenaan telah merungut kerana masalah ini telah lama berlarutan sehingga kini dan mengakibatkan ketidakselesaan berlaku di kalangan mahasiswa dalam menjalani sesi pengajian mereka.

Tambahan lagi, perkara ini telah menyebabkan masalah-masalah lain di kalangan masyarakat kampus telah timbul seperti kesukaran pelajar untuk menjaga kebersihan diri seperti membasuh pakaian dan mandi, keadaan bilik kuliah yang panas kerana penghawa dingin tidak dapat berfungsi dengan baik dan sebagainya.


“Usaha ini sebagai memperjuangkan kebajikan mahasiswa di sana (Sabah), dalam masa yang sama demi kebaikkan penduduk di Labuan,”ujar seorang wakil dari Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia Negeri Sabah.

Memorandum berjaya diserahkan kepada pegawai khas perdana menteri.-Mahasiswakini

2 Mahasiswa Maut Kereta Terjunam Dari Parkir Pasar Raya

Sebuah kereta jenis Ford Laser TX3 berwarna kuning dipercayai dipandu dengan laju dibahagian atas tempat letak kereta Pasaraya KB Mall dan merempuh dinding penghadang lalu tembus ke bahagian tengah escalator utama Pasaraya KB Mall sehingga mengakibatkan kematian 2 orang pengunjung dan 2 lagi dilaporkan parah.

Mereka yang terbunuh dikatakan sedang berada diatas escalator sebelum ditimpa oleh kereta tersebut yang jatuh dari tempat letak kereta tingkat 3 bangunan KB Mall. mereka yang terbunuh dan tercedera dimaklumkan sebagai mahasiswa Kolej Masterskill Kota Bharu yang berjunjung ke KB Mall.

Mangsa, Siti Nor Amira Samsuddin 19, Siti Nor Diana Azman 18 dan Rashidah Ahmad Lutfi 24, berada dieskalator berkenaan ketika kejadian berlaku. Siti Nor Amira yang cedera parah dikepala, terbunuh ditempat kejadian, manakala Siti Nor Diana menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital setelah mengalami pendarahan yang teruk di kepala.

Seorang lagi mangsa, Rashidah yang cedera parah masih berada di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta berkenaan dipercayai melarikan diri dan gagal dikesan sehingga kini. pihak KB Mall telah menghentikan dengan serta-merta semua operasi perniagaan didalam KB Mall sebaik sahaja kemalangan tersebut berlaku. tidak diketahui berapa hari operasi perniagaan akan dihentikan berikutan pihak KB Mall terpaksa melakukan kerja baik pulih yang banyak.

Setakat ini, jumlah kerugian masih belum diketahui dan punca sebenar kejadian juga masih dalam siasatan pihak polis.

Demontrasi: Mahasiswa pertikai pemuda PAS-PKR buat laporan polis

SOLiDARiTi Mahasiswa Malaysia (SMM) pagi tadi mengkritik tindakan Dewan Pemuda PAS Kelantan (DPPK) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung dua perhimpunan tanpa permit di kedua-dua negeri terbabit.

Pengerusinya, Shazni Munir Mohd Ithin berpendapat bahawa kedua-dua laporan terbabit seolah-olah menghalang perhimpunan rakyat, sebagaimana yang dijamin perlembagaan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948(UHDR).

“Membuat laporan Polis seolah-olah pihak terbabit (DPPK dan AMK Pulau Pinang) cuba menghalang kebebasan berhimpun seperti dalam Perlembagaan dan deklarasi hak asasi (UHDR),” jelasnya ketika dihubungi wartawan.

Dakwanya lagi, amalan mendapatkan permit berhimpun daripada Polis merupakan amalan Umno dan BN demi mengekang suara rakyat.

“Orang yang nak desak satu-satu perhimpunan perlu ada permit Polis macam Umno. Kerajaan Pakatan Rakyat tidak perlu ikut Umno menghalang perhimpunan aman,” ujarnya.

Ujarnya lagi, kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat seharusnya bersikap terbuka dalam aksi demontrasi rakyat, hatta Umno sendiri.

“Demontrasi rakyat tidak kira mana pihak sekalipun, walau datangnya dari Umno, kerajaan perlu bersikap terbuka.”

“Kalau dulu sebelum memerintah, pembangkang (Pakatan Rakyat) selalu melaung-laungkan kebebasan berhimpun (walaupun) tanpa permit Polis, kenapa hari ini mendesak pihak yang dibangkang (Umno/BN) mendapatkan permit Polis terlebih dahulu,” ujarnyalagi.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) meminta pihak yang terbabit menarik semula laporan polis dan segera meminta maaf kepada rakyat.

“Kita minta laporan POlis ditarik balik dan segera minta maaf kepada rakyat,” jelasnya lagi.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Baihaqi Atiqullah yang dihubungi kemudian menjelaskan bahawa pihaknya tidak berniat menghalang mana-mana perhimpunan rakyat.

Sebaliknya, beliau berpendapat mana-mana perhimpunan rakyat perlu mengikut peraturan serta mendapatkan permit Polis terlebih dahulu.

“Nak berhimpun, kita (Pemuda) tidak ada masalah. Sebagaimana kita (Pemuda PAS) diminta dapatkan permit polis, kita minta (Umno Kelantan) buat permintaan (permit berhimpun) yang sama,”jelasnya.

Jelasnya lagi, keputusan membuat laporan Polis tersebut demi memastikan ketenteraman awam terpelihara.

“Kita buat (laporan) kerana tidak mahu ada gangguan ketenteraman awam di SUK (Bangungan Setiausaha Kerajaan Negeri),” jelasnya.

Beliau yang juga Adun Pasir Tumboh berkata, Perhimpunan 10 ribu Menyokong Kepimpinan To Guru pagi ini turut dimaklumkan kepada Polis.

“Kita pun maklum kepada Polis…kita (Pemuda PAS) ambil kesempatan dengan perhimpunan biasa yang sah pagi ini (iaitu kuliah Jumaat).”

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Amir Ghazali pula menegaskan laporan polis yang dibuat pihaknya bukan berniat menghalang perhimpunan tanpa permit.

Sebaliknya, laporan tersebut berkaitan tindakan pemuda Umno negeri menggoncang pagar Dewan Undangan Negeri (DUN), yang didakwa berunsurkan provokatif.

“Kita buat laporasn polis bukan kerana perhimpuan haram…kita buat laporan Polis kerana provokasi pemuda Umno menggoncang pagar DUN Pulau Pinang.”

Jelasnya, tindakan provokasi itu sekali gus seolah-olah menghina kewibawaan DUN dan kerajaan yang memerintah.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya turut membuat laporan polis berkaitan laporan palsu TV3 kononnya perhimpunan pemuda Umno tersebut ekoran sikap kerajaan negeri membohongi rakyatnya.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa AMK menggalakkan sebarang perhimpunan aman sebagaiman yang dijamin dalam Perlembagaan dan UHDR.

Isnin lepas, lebih 100 pemuda Umno negeri melancarkan demontrasi di depan DUN Pulau Pinang.

Demontrasi tersebut ekoran beberapa tindakan kerajaan negeri yang didakwa tidak menguntungkan rakyat.

Selasa lepas, lebih 100 pemuda Umno negeri berhimpun di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK) membantah kepemimpinan Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bantahan tersebut ekoran kenyataan Nik Aziz menyeru rakyat berdoa agar Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dibinasakan kerana enggan memberikan hak menguruskan wang royalti minyak negeri itu.

sumber > http://zainulfaqar.wordpress.com/

Dilemma Biro Tata Negara

Oleh : Nur Azim Fahada Bin Ahmad*

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ‘ kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang’. Inilah pepatah yang cukup sesuai dengan isu yang sedang hangat diperkatakan dalam media arus perdana kita pada masa sekarang ini. Isu Biro Tatanegara kini menjadi topik hangat dikalangan masyarakat Malaysia pada ketika ini.

Isu ini menjadi hangat apabila Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah untuk mengharamkan pelajar-pelajar dan kakitangan awam dibawah pentadbiran kerajaan negeri daripada mengikuti program Biro Tatanegara (BTN) yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri(JPM) .

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mengambil langkah yang sama dengan mengharamkan penglibatan kakitangan kerajaan dan pelajar-pelajar institusi di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Apa itu BTN?

BTN adalah satu program kelolaan terus daripada Jabatan Perdana Menteri. Ia merupakan program berbentuk kenegaraan yang bermatlamatkan untuk membentuk semangat patriotik kepada peserta BTN tersebut.

Antara program yang dianjurkan semasa kem BTN ini adalah modul kenegaraan dimana peserta didedahkan dengan sejarah-sejarah negara kita ini.

Malangnya, BTN ini telah dijadikan alat oleh kerajaan sekarang untuk mendoktrinisasikan rakyat Malaysia dengan mengambarkan beberapa pihak sebagai penjenayah,pengkhia nat dan sebagainya sebaliknya menerapkan hanya kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang ini sahajalah yang layak untuk mentadbir Malaysia.

Doktrin-doktrin yang bersifat perkauman dan permusuhan inilah telah menyebabkan matlamat BTN yang pada asalnya untuk menyemai semangat patriotik telah bertukar kepada matlamat untuk mencatuhkan sesetengah pihak.

Doktrin-doktrin ini jugalah telah menyebabkan persoalan apa itu BTN boleh disalah ertikan kerana matlamat penganjuran kem tersebut telah terpesong daripada matlamat asalnya.

Boikot dan Haramkan BTN

Niat jahat kem BTN dalam menimbulkan kebencian rakyat kepada sesetengah pihak menjadikan ia sudah tidak relevan untuk dilaksanakan lagi pada ketika ini. Ia juga menjadi satu bentuk yang kontradik dengan konsep 1 Malaysia yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri.

Jalan penyelesaian cukup terbatas sama ada BTN ini harus diharamkan atau BTN ini harus diboikot selagi tidak ada jaminan daripada kerajaan Malaysia sendiri terhadap modul-modul yang menyemai semangat kebencian kepada sesetengah pihak dalam kem BTN ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk merombak semula kurikulum BTN yang disifatkan sudah agak ketinggalan zaman.

Pandangan bekas Timbalan Perdana Menteri ini jelas menunjukkan bahawa BTN ini memang tidak relevan lagi kerana banyak kepincangan yang berlaku semasa proses pelaksanaan kem tersebut.

BTN juga disalahguna untuk menjadi senjata ampuh yang dapat menyebarkan doktronisasi dalam setiap lapisan atau golongan masyarakat semata-mata untuk kepentingan peribadi sehingga menyebabkan berlakunya budaya ‘Pak Turut’ dan terkesan di dalam semua agensi kerajaan khasnya dan masyarakat umumnya.

Ini bukan budaya Melayu

Budaya memperlekehkan orang lain bukanlah budaya masyarakat Melayu. Tetapi inilah realiti yang berlaku dalam kem BTN. Pendedahan mengenai doktrin bangsa lain bangsa penumpang adalah satu bentuk doktrin yang cukup keterlaluan kepada kita.

Cubaan untuk menyemaikan perkara-perkara ini jelas bertentangan dengan prinsip 1 Malaysia dan ia juga tidak langsung membantu menwujudkan perpaduan kaum dalam negara Malaysia.

Tragedi berdarah 13 Mei harus diambil pengajaran. Kem BTN janganlah memainkan isu perkauman dan menyalakan api-api permusuhan antara kaum kerana ia jelas akan merencatkan perjalanan susur jalur pentadbiran dan ekonomi negara. Inilah yang kita cukup bimbangkan.

Kesan doktrin-doktrin jahat daripada BTN ini memberikan implikasi buruk kepada pembangunan insan negara dan pembangunan ekonomi negara.

Oleh itu, saya melihat bahawa masalah BTN sepatutnya diselesaikan di awal pemerintahan Dato’ Seri Najib dan seharusnya bertepatan konsep 1 malaysia. Tetapi ianya dijadikan alat menjadi untuk memenangkan satu pihak dan memburukan satu pihak yang lain.

Usaha menukar konsep dan pendekatan berdasarkan modul-modul berkonsepkan 1 malaysia nampaknya dipandang remeh dan dilambatkan walaupun perbincangan konsep BTN dikatakan pernah diadakan. Gesaan telah dibuat untuk dikaji semula modul-modul BTN ini.

Segala kepincangan yang didedahkan kepada umum harus diambil serius oleh semua pihak. Janganlah disebabkan doktrin-doktrin jahat ini akan menyebabkan sistem keamanan negara terjejas dek kerana ketamakan kuasa pemimpin-pemimpin negara sekarang ini.

————

*Penulis merupakan Pengerusi Exco Kebajikan MPPUTM sesi 2009 merangkap Pengerusi Pro Mahasiswa UTM Skudai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...