TAMAT SEBUAH TOPIK, BERMULANYA TOPIK YANG BARU

Alhamdulillah, setelah lebih daripada seminggu memberikan tumpuan penuh mengurus jentera Pilihan Raya Kampus (PRK) ProMahasiswa UTM Skudai, akhirnya 8 calon diberikan peluang untuk menjadi ‘YB Muda’ di kampus UTM. Walaupun tidak mendapat kemenangan yang besar pada sesi PRK kali ini, tetapi inilah keputusan yang terbaik, yang selari dengan perancangan Ilahi.

PRK kali ini banyak memberikan pengajaran kepada saya tentang keadaan mahasiswa masa kini dan sikap mereka mengikut jurusan yang diambil. Walaupun saya telah berada di Universiti hampir 4 tahun, dan telah mengalami suasana PRK sebanyak 3 kali, PRK kali ini merupakan yang paling ‘hangat’ sepanjang saya berada di UTM. Walaupun tidak se’hangat’ di kampus yang terletak di Lembah Klang, tetapi setelah bertahun-tahun kampus di UTM ini ‘beku’, akhirnya bongkah ais yang beku itu berjaya dicairkan. Samada ia akan terus cair atau kembali beku, bergantung kepada mahasiswa yang akan mewarisi semangat perjuangan yang dibawa oleh barisan mahasiswa pada masa ini.

Persoalannya, adakah mahasiswa khususnya yang berada di UTM sudah sedar bahawa mereka selama ini berada dalam sebuah bongkah ais yang besar? Adakah mahasiswa sedar bahawa mereka berada di dalam zon yang kurang membina budaya intelek? Adakah mahasiswa sedar bahawa mereka berada dalam keadaan mereka mengejar perkara yang dapat membantu mereka melengkapkan diri mereka sekadar mencukupi untuk memenuhi kriteria untuk bekerja semata-mata? Adakah mahasiswa sedar bahawa mereka berada dalam keadaan dikelilingi dengan budaya ‘hedonisme’ dan ‘ampuisme’ di kampus ini?

Bagi segolongan mahasiswa, mereka mungkin sedar akan suasana tersebut, tetapi tidak tahu cara untuk bertindak mengatasinya. Ataupun mereka sedar tetapi hanya mampu untuk membantu ahli kumpulannya sahaja untuk mewujudkan budaya ilmu dan intelek yang holistik. Mungkin juga terdapat segolongan mahasiswa yang masih tidak sedar mereka berada di suasana sebegitu. Mungkin juga terdapat segolongan mahasiswa yang sedar mereka berada di suasana sebegitu tetapi masih mahu kekal kerana baginya dunia mahasiswa hanya sekali. Dan apa yang saya pasti berdasarkan pengalaman saya selama berada di UTM, saya pasti ada segolongan mahasiswa yang sedar mereka berada dalam situasi ini,dan mahu membawa diri mereka dan masyarakat kampus keluar daripada kepompong ini, walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko.

Topik pilihanraya kampus telah pun tamat di kampus UTM dan kampus-kampus lain turut menghampiri penghujung topik ini. Maka secara semulajadi bermulalah topik yang baru untuk dikarang oleh mahasiswa-mahasiswa untuk dijadikan sejarah untuk diambil iktibar dan pengajaran oleh generasi-generasi mendatang.

Samada mahasiswa mahu menjadikan kampus mereka kembali beku, ataupun terus menghangatkan suasana di kampus agar budaya ilmu dan intelek yang holistik dapat berkembang dengan segar-bugar di kampus, bergantung kepada kesanggupan mahasiswa itu sendiri. Bagi saya, saya tetap akan memastikan akan wujud pelapis-pelapis yang dapat menyambung perjuangan yang telah digagaskan sekian lama dan menaikkan lagi tahap perjuangan samada di peringkat kampus, nasional, mahupun antarabangsa.

Moga topik baru yang baru sahaja bermula ini, akan menjadi inspirasi kepada seluruh lapisan masyarakat khususnya kepada mahasiswa-mahasiswa kampus.

HARAPAN BARU INSPIRASI BARU.
STUDENT POWER !!!

Diambil daripada:-
Muhammad Hafiz b Muhamad

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...