Manifesto Umum ProMahasiswa UTM - Perpaduan

Bagaimana untuk meng”utuh”kan perpaduan masyarakat kampus?

Perpaduan menurut acuan 1Malaysia bukanlah satu konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad kita merdeka. Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti.

Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar Kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Jika "Bangsa Malaysia" yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan kearah matlamat itu.

Pengertian ini adalah bertunjangkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1Malaysia menekankan sikap "Penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Formula 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua ialah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi.

Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah saya huraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap "penerimaan" antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara; dan ketiga adalah keadilan sosial. Teras-teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian dari budaya hidup rakyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat menghormati, Tawaddhu', kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

Memperkasa Toleransi Agama Di Kampus Universiti

Mahasiswa yang menuntut di pusat pengajian tinggi seluruh negara terdiri daripada mereka yang menganut agama yang berbeza.Namun begitu perbezaan agama tidak sewajarnya menjadi penghalang kearah usaha memperkasa perpaduan, mengeratkan ukhwah dan menyemai cinta dan kasih sayang di kalangan mahasiswa.

Dalam konteks Malaysia sebagai masyarakat majmuk,mahasiswa sepatutnya sedar dan insaf bahawa mereka perlu hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni dan tidak terpengaruh dengan dakyah perkauman dan pemahaman agama yang sempit.Ajaran agama perlu difahami dengan tepat dan terbuka memandangkan perbezaan agama tidaklah bermakna kita perlu saling bermusuhan dan benci-membenci antara satu sama lain bahkan mesej agama itu sendiri ialah cinta.

Perjuangan agama seperti agama Islam itu ialah perjuangan cinta.Wajah agama itu ialah wajah yang toleran,menyeru kearah kedamaian,keamanan dan saling hormat-menghormati.Ajaran agama Islam menolak sikap taksub melampau,peperangan,permusuhan,pertelingkahan bahkan menyeru kita menghormati kepelbagaian aliran pemikiran agama.

Melihat realiti di kampus universiti,tahap kesedaran dikalangan mahasiswa terhadap sikap toleransi terhadap agama masih rendah.Masih ada mahasiswa yang cenderung bergaul dan bersahabat hanya dengan mereka yang satu bangsa dan satu agama dengannya.

Di kafeteria,mereka duduk makan sesama sendiri sahaja.Di bilik-bilik kolej kediaman mereka hanya mahu tinggal sekelompok mereka sahaja.Program-program yang melibatkan bangsa dan agama lain mereka tidak akan hadir.

Ini tentunya menyebabkan integrasi social tidak berlaku.Mahasiswa yang mempunyai pemikiran sebegini pastinya tidak akan faham dan mengerti akan budaya,ajaran agama sahabat mereka yang lain dan akhirnya jadilah mereka umpama kera sumbang dan katak di bawah tempurung.

Persatuan-persatuan berasaskan agama seperti Persatuan Mahasiswa Islam ,Kristian,Hindu,Buddha, dan lain-lain di kampus universiti bolehlah mengadakan program bersama yang melibatkan kerjasama mahasiswa dari pelbagai agama seperti mengadakan program-program kebajikan yang melibatkan masyarakat seperti menziarahi rumah anak-anak yatim dan warga tua,ziarah pesakit di hospital,gotong-royong dan sebagainya.

Ini dapat memupuk perasaan kasih sayang terhadap semua golongan tanpa mengira agama dan kepercayaan apapun seterusnya menyedarkan mahasiswa dari anutan agama yang berbeza bahawa mereka semuanya tidak lain tidak bukan ciptaan Tuhan yang Maha Esa.
Dialog antara agama juga perlu selalu diadakan agar mahasiswa dapat memahami selok-belok ajaran agama lain dengan harapan mereka dapat menghormati penganut agama lain.Menghormati penganut agama lain tidak sedikit pun mengurangkan iman kita terhadap agama yang kita anuti bahkan lebih membuatkan orang lain menghormati agama anutan kita.Semoga pemikiran mahasiswa lebih matang dengan mengamalkan toleransi agama seterusnya menyemarakkan perjuangan cinta antara manusia

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...