Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, mengingatkan pentadbiran universiti supaya tidak menghalang ‘kebebasan’ itu dengan menetapkan pelbagai syarat bagi mahasiswa yang ingin bersuara.
“Sudut pidato adalah satu kejayaan suara mahasiswa, oleh itu, pihak universiti perlu memberi kepercayaan kepada pelajar menguruskannya dan juga beri kebebasan mereka bercakap.
“Jangan terlalu banyak sangat syarat kepada mereka (mahasiswa) untuk menggunakan sudut pidato... saya dengar ada universiti suruh mahasiswa isi borang tertentu dan sebagainya terlebih dulu, ini (sudut pidato) bukannya pertandingan.
“Kementerian Pengajian Tinggi tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada mahasiswa untuk menggunakan sudut pidato, tetapi pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti boleh memantaunya,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.
Selepas hampir tiga dekad sudut pidato diharamkan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Universiti Kebangsaan Malaysia (USM) menjadi perintis kepada program itu selepas ia diperkenalkan kembali tahun ini.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Zaini Ujang, bagaimanapun berkata, pelajar perlu bertanggungjawab terhadap apa yang disampaikan dan bersedia menerima hukuman sekiranya melanggar garis panduan ditetapkan universiti.