UTM Skudai, 4 Jan : Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia, Skudai bersama Pengetua-pengetua kolej dan puluhan staf pentadbiran universiti hari ini telah membanjiri “Dataran Agora UTM” bagi membantah keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dalam cetakan bahasa Melayunya.
Bantahan ini merupakan bantahan pertama dalam sejarah Universiti Teknologi Malaysia, Skudai apabila keseluruhan jentera universiti telah turun bersama-sama dalam menyatakan pendirian berhubung isu ini. Seramai 150 orang mahasiswa termasuk staf universiti telah berkumpul di dataran agora yang kemudiannya berarak ke Pusat Islam, UTM bagi menyerahkan memorandum kepada Naib Canselor UTM, Prof Dato’ Dr Ir Zaini Ujang untuk disampaikan kepada pihak yang berwajib.
Saudara Mohd Zaki, Naib Presiden Fakulti, Majlis Perwakilan Pelajar UTM dalam ucapannya semasa demonstrasi tersebut membantah sekeras-kerasnya penggunaan Kalimah Allah oleh Herald Catholic. Isu penggunaan kalimah Allah ini ditakuti akan mengelirukan umat Islam dan yang lebih buruk apabila penggunaan kalimah Allah disalahgunakan oleh orang bukan Islam.
Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Saudara Nur Azim Fahada apabila ditemui selepas demonstrasi tersebut berkata, “Adalah suatu yang amat malang apabila kesejahteraan hidup beragama di negara ini yang telah sekian lama bertahan atas dasar tolak ansur dan saling memahami, tiba-tiba digoncang oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab yang sengaja ingin mencetus suasana ketegangan dan huru-hara. Kami mahasiswa berharap Keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan isu ini dapat ditarik semula setelah rayuan dijalankan oleh pihak kerajaan”
Apabila ditanya berkenaan demonstrasi yang mendapat “restu” daripada pihak pentadbiran hari ini,beliau menjawab, ”Kami diperingkat Pro Mahasiswa sentiasa menyokong usaha-usaha yang selari dengan apa yang kami perjuangkan. Kehadiran pengetua kolej, staf pentadbiran HEP, Pegawai keselamatan yang menjaga keadaan tenang demonstrasi amat kami hargai. InsyaAllah, kami diperingkat Pro Mahasiswa UTM akan lebih proaktif dalam melakukan bantahan umum seperti ini sama ada melibatkan masalah kampus, rakyat malaysia apatahlagi tentang isu agama.
Tambah beliau, “Inilah budaya Mahasiswa yang perlu kita hidupkan. Mahasiswa perlu respon terhadap isu-isu yang berlaku disekitar kita. Ini kerana Pelbagai isu yang timbul pada ketika ini seperti isu kenaikan harga gula, kehilangan dua buah enjin Pesawat F-5E, termasuk isu penggunaan kalimah Allah ini. Selain itu, Mahasiswa perlu menjadi check and balance kepada setiap isu yang berlaku dan mempunyai pendirian sendiri tidak kira pihak Evolusi Mahasiswa, Pro Mahasiswa ataupun persatuan-persatuan lain. Mahasiswa perlu berani tampil untuk menyatakan respon tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.”
Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam. Isu penggunaan kalimah Allah oleh Herald catholic telah menjadi satu isu yang hangat diperkatakan di Malaysia. Ini disebabkan ianya telah melibatkan isu agama umat Islam dalam mempertahankan kalimah "Allah" sebagai kalimah suci umat Islam.