Dalam suatu perbincangan antara Naib Canselor UPM, Prof Dato Nik Mustapha R. Abdullah dengan 6 orang wakil Pro-Mahasiswa UPM berhubung tuntutan pilihan raya kampus bersih dan adil yang diadakan petang tadi, beliau memberi jaminan tiadanya campurtangan pengurusan kolej dan MTM kolej dalam proses pilihan raya kampus kali ini.
Jaminan ini diberi berikutan berlakunya tekanan daripada pengetua dan pengurusan kolej terhadap calon yang bertanding bukan tajaan daripada BHEP dalam beberapa sesi pilihan raya kampus UPM sebelum ini.
“Pengurusan kolej dan MTM kolej tidak berhak membuat sebarang ugutan terhadap mana-mana calon yang bertanding”, tambahnya lagi.
Menurut beliau lagi, semua mahasiswa berhak untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kampus kali ini samada menjadi calon bagi proses pilihan raya kali ini mahupun terlibat dalam proses kempen calon.
Menurut Naib Canselor UPM itu lagi beberapa tuntutan yang dikemukakan wakil Pro-Mahasiswa ini akan dipertimbangkan dan ditunaikan. Antaranya adalah menyediakan layar bagi keputusan pengundian semasa dan badan pemantau bebas di kalangan mahasiswa sendiri.
“Kami melihat, satu proses pemurnian dalam demokrasi kampus UPM bakal terealisasi hasil daripada perbincangan ini”, ujar Ahmad Faris Rakbi, Pengerusi Pro Mahasiswa UPM yang mengetuai delegasi bertemu Naib Canselor petang tadi.
Sumber - http://promahasiswaupm.wordpress.com
*Catatan :
Pihak pentadbiran UTM seharusnya mengambil kira dan mempertimbangkan tuntutan dalam memorandum yang telah hantar kepada yang berbahagia Naib Canselor, Prof Dato' Dr.Ir Zaini Ujang baru-baru ini.
Usaha murni pihak pentadbiran USM dilihat salah satu penghargaan kepada intelektualisme mahasiswa dalam memimpin bukan memperbudakkan. Ini berbeza dengan situasi yang berlaku di UTM dimana jentera pentadbiran seolah-olah dikerah untuk melawan Pro Mahasiswa pada pilihanraya kampus kali ini dengan melakukan sekatan maklumat dan sebagainya.